DR NOR FADHLINA menunjukkan sistem buah pinggang manusia yang bekerja keras di dalam sistem badan manusia.
DR NOR FADHLINA menunjukkan sistem buah pinggang manusia yang bekerja keras di dalam sistem badan manusia.
Hafiz Ithnin


MASALAH buah pinggang biasanya berlaku pada golongan dewasa kerana antara puncanya mengambil makanan sampingan yang mampu memberi mudarat kepada diri sendiri.

Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu tahu penyakit buah pinggang juga boleh berlaku terhadap kanak-kanak dan sudah semestinya tidak boleh dipandang remeh kerana organ berkenaan memainkan peranan penting dalam sistem tubuh badan manusia.

Pensyarah dan Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Nor Fadhlina Zakaria berkata, penyakit buah pinggang kronik dalam kalangan kanak-kanak kebanyakannya bermula ketika dalam kandungan lagi.

Ia membabitkan kecacatan saluran air kencing seperti refluks, kecacatan bentuk, dilahirkan tanpa buah pinggang ataupun penyakit genetik seperti polycystic kidney disease.

Kata Dr Nor Fadlina, jangkitan kuman seperti radang buah pinggang (glomerulonephritis) dan jangkitan kepada saluran air kencing juga menjadi penyumbang kepada masalah itu.

KANAK-KANAK perlu membuat pemeriksaan klinikal jika terdapat gejala masalah buah pinggang.
KANAK-KANAK perlu membuat pemeriksaan klinikal jika terdapat gejala masalah buah pinggang.

“Sindrom nefrotik adalah salah satu penyakit buah pinggang yang boleh berlaku kepada kanak-kanak di mana pesakit mengalami kehilangan protein dalam air kencing dan menyebabkan aras protein dalam darah menjadi rendah.

“Aras protein dalam darah yang rendah akan menyebabkan bengkak di sekitar mata, perut dan kaki.

“Penyakit ini berlaku kira-kira dua hingga 15 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun,” katanya.

Pakar itu menjelaskan, punca sindrom nefrotik dalam kalangan kanak-kanak bagaimanapun masih tidak diketahui.

Berkemungkinan besar, penyakit itu berkait rapat dengan sistem imun badan dan tidak diwarisi daripada ahli keluarga atau disebabkan oleh jangkitan dan pemakanan yang salah.

Tambahnya, dalam kalangan remaja, penyakit itu boleh berlaku berikutan masalah perubatan yang lain seperti diabetes atau penyakit ‘systemic lupus erythematosus’.

“Selain kerosakan buah pinggang yang bersifat kronik atau kekal, kanak-kanak juga boleh terdedah kepada kerosakan akut atau sementara.

“Analgesia atau ubat penahan sakit seperti ubat jenis antiradang bukan steroid atau Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs) boleh menyebabkan kerosakan ini.

“NSAID seperti ibuprofen, mefenamic acid (ponstan), voltaren (diclofenac) dan naproxen sering digunakan terutama untuk merawat sakit dan mengurangkan demam dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

BUAH pinggang manusia perlu dijaga dengan baik.
BUAH pinggang manusia perlu dijaga dengan baik.

Nor Fadhlina menambah, menurut satu kajian sekumpulan penyelidik dari Jabatan Pediatrik, Indiana University School of Medicine, Indianapolis, Amerika Syarikat, penggunaan ubat itu menyebabkan kerosakan akut buah pinggang.

“Kajian ini mendapati pesakit yang berumur kurang daripada lima tahun lebih serius terjejas dan lebih memerlukan rawatan lanjut seperti dialisis.

Namun begitu, kerosakan buah pinggang akut dalam kalangan kanak-kanak adalah berkeupayaan untuk pulih, tetapi 30 peratus daripada kanak-kanak berpotensi mengalami kerosakan buah pinggang kronik yang berterusan selepas pemulihan daripada insiden AKI.

“Seperti orang dewasa, tanda-tanda kerosakan untuk penyakit juga tidak ketara, kanak-kanak mungkin kerap demam atau mengalami bengkak anggota badan.

“Selain itu, pesakit juga berasa pedih ketika membuang air kencing, kekerapan membuang air kencing atau gagal dalam kawalan pembuangan air kencing, kencing malam ataupun mempunyai tekanan darah yang tinggi,” katanya.

Justeru, Dr Nor Fadhlina berkata, ibu bapa perlu lebih peka dengan setiap gejala klinikal dan sekiranya anak mereka berisiko tinggi, dinasihatkan supaya berhubung dengan doktor pakar dengan segera.

“Sesetengah penyakit seperti sindrom nefrotik mempunyai potensi untuk pulih sepenuhnya dengan rawatan yang betul.

“Prognosis adalah baik untuk kanak-kanak yang menunjukkan maklum balas positif terhadap rawatan dan tidak mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

“Sakit itu akan ‘hilang’ dengan masa dan berlaku semasa kanak-kanak melangkau zaman remaja dalam kebanyakan kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe