FYROSE cukup mahir menata gaya tudung hingga jadual padat dengan tempahan pelbagai pihak inginkan sentuhannya.
FYROSE cukup mahir menata gaya tudung hingga jadual padat dengan tempahan pelbagai pihak inginkan sentuhannya.
Hafiz Ithnin


“LOOK like queen please!,” jelas penulis kepada wanita berusia 34 tahun itu.

Bukan apa, penulis inginkan gayanya untuk menghiasi muka depan Wanita Metro (WM) kali ini kelihatan begitu dominan sebagai jurugaya bertudung yang diapit dua model, Nur Fatin Fatehah Samad dan Siti Nur Maisarah Akhil.

Sukar dan memang janggal, tetapi itulah realiti yang dihadapi oleh sesiapa pun yang biasanya bekerja di belakang tabir untuk mengikut kehendak pengarah kreatif jika diminta memberikan gaya di hadapan lensa kamera.

Namun, jika ingin diminta memberi sentuhan menggayakan tudung, Fyrose Zainuddin, 34, begitu pantas menjalankan tugasnya. Campaklah apa juga jenis material tudung, pasti menjadi!

Mempunyai latar belakang secara formal dalam bidang fesyen, sehingga memiliki kelulusan Sarjana Teknologi Reka Bentuk (Peruncitan Fesyen) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebenarnya amat membantu wanita itu memahami dunia penggayaan tudung.

FYROSE mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang fesyen dan penggayaan tudung.
FYROSE mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang fesyen dan penggayaan tudung.

Jelasnya, jika sebelum ini ada yang memberi persepsi bahawa pemakaian tudung itu bakal menafikan seseorang wanita itu untuk menyerlah dalam penggayaan, sebenarnya sudah semakin pudar.

“Lihat sahaja ketika ini, ramai wanita sudah memakai tudung kerana pertamanya sudah pasti dituntut agama dan keduanya, penggayaan tudung berupaya menyerlahkan keanggunan dan keberanian seorang wanita.

“Industri tudung di Malaysia juga semakin berkembang dan usahawan tudung lahir bagai cendawan selepas hujan.

“Kerana apa? Permintaannya begitu tinggi di pasaran dan sudah semestinya wanita di negara ini juga bijak menjadikan tudung sebagai salah satu elemen untuk tampak bergaya,” katanya.

Sentuhan Fyrose di dalam dunia rekaan pakaian juga menarik tetapi ibu kepada Iris Jasmin yang berusia lima tahun itu, nampaknya lebih cenderung aktif dalam dunia penggayaan tudung.

SENTIASA memastikan ketelitian dalam menggayakan tudung pelanggan.
SENTIASA memastikan ketelitian dalam menggayakan tudung pelanggan.

Di dalam dunia penggayaan, sudah pasti golongan jurumekap, pereka fesyen, jurugaya busana menjadi perhatian namun jarang sekali mendengar mengenai jurugaya hijab yang sebenarnya mempunyai permintaan tinggi.

Fyrose berkata, jika tidak mana mungkin jadual kerjanya padat kerana mendapat tempahan daripada pelbagai pihak untuk menggayakan tudung sama ada untuk iklan komersial, editorial, pentas peragaan sehingga menghias ratu sehari.

“Latar belakang pendidikan saya di dalam bidang fesyen sebenarnya banyak membantu untuk aktif di dalam bidang ini kerana menerusi pembelajaran formal di universiti, kita dapat memahami jenis tekstil secara terperinci, padanan warna yang sesuai dan paling utama mampu menonjolkan sesuatu yang kreatif kepada pelanggan.

“Bukan tidak mempunyai perniagaan di dalam fesyen untuk menghasilkan helaian pakaian, tetapi sejak terbabit pada 2015 saya melihat ‘kerjaya’ ini mempunyai potensi yang besar untuk diterokai,” katanya yang turut aktif menyertai pelbagai pertandingan rekaan fesyen tempatan.

MINAT dalam dunia fesyen membantu Fyrose memahami perincian mengenai penggayaan.
MINAT dalam dunia fesyen membantu Fyrose memahami perincian mengenai penggayaan.

Wanita itu juga pernah menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta tempatan, mengajar di dalam bidang fesyen.

Katanya, memandangkan penggayaan amat berkait rapat dengan industri fesyen, sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan itu amat penting.

Ini kerana dia tidak mahu hanya mampu memberikan sentuhan kreatif semata-mata tetapi dalam masa sama diri diisi dengan falsafah serta kajian di dalam bidang itu.

“Saya berpendirian, ilmu adalah kunci dalam melakukan sebarang pekerjaan kerana menerusi pembelajaran kita dapat menjadi pemerhati yang bijak dan menghasilkan sesuatu sentuhan yang menarik.

“Selain itu, pelanggan juga akan melihat kita lebih profesional kerana kita bukan sekadar pandai memberikan sentuhan menarik malah dari sudut teknikal apabila diminta diberi penerangan, individu itu boleh berbicara secara ‘berisi’,” katanya.

ANTARA sentuhan kreatif Fyrose.
ANTARA sentuhan kreatif Fyrose.

Ketika ditanya mengenai unjuran warna dan gaya bertudung pada tahun ini, katanya, 2020 memberikan sesuatu inspirasi dan menonjolkan tahap keberanian seorang wanita.

Tambahnya, jika warna busana diunjurkan lebih bersifat bulat dan menampilkan ‘garang’ seorang wanita, warna tudung juga sebenarnya bergerak seiring dengannya.

“Namun, ia bergantung kepada penyatuan pakaian itu sendiri. Warna tudung perlu seiring dengan busana pakaian supaya tidak nampak canggung. Mungkin warna pastel hijab dilihat terus menjadi pilihan kerana mudah untuk dimasukkan dengan pelbagai jenis warna pakaian.

“Tambahan, wanita pada hari ini gaya hidup mereka semakin sibuk. Bagi wanita bekerjaya terutama jika memakai satu tudung tetapi mempunyai pelbagai acara dalam sehari, sudah pasti tidak mahu berganti tudung. Jadi warna-warna pastel sebenarnya lebih selamat untuk golongan wanita seperti itu,” katanya.

KETIKA mengikuti kursus fesyen jangka masa pendek di London.
KETIKA mengikuti kursus fesyen jangka masa pendek di London.

“Dari segi gaya, ia terpulang kepada keselesaan dan pilihan wanita itu sendiri kerana untuk tahun 2020 seperti diketahui, wanita perlu lebih bersuara dalam apa juga yang dikehendaki mereka termasuk dalam berfesyen, asalkan, ia tidak menentang norma masyarakat.

“Jika individu itu merasakan turban pilihan untuk tampak ranggi, mengapa tidak untuk dipadankan? Kerana keselesaan itu adalah kunci utama dalam penggayaan dan keberanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe