IBU BAPA perlu bijak bahagi masa pastikan pekerjaan tidak terganggu dan pada masa sama keperluan anak terjaga. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
IBU BAPA perlu bijak bahagi masa pastikan pekerjaan tidak terganggu dan pada masa sama keperluan anak terjaga. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
Muhamaad Razis Ismail


PENULARAN wabak Covid 19 di negara ini menyebabkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap semua rakyat Malaysia selama dua minggu bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan secara beramai-ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Dalam tempoh dua minggu itu, ibu bapa dan anak-anak perlu berada dalam rumah untuk memastikan wabak tidak terus merebak.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu, pegawai dan kakitangan daripada sektor swasta dan kerajaan tetap perlu bekerja dari rumah.

Bagi ibu bapa pastinya berdepan cabaran apabila perlu menyelesaikan tugasan pejabat selain menjadi suri rumah mengemas rumah dan menyiapkan keperluan anak.

Oleh itu, mereka perlu bijak membahagikan masa dalam memastikan pekerjaan mereka tidak terganggu dan pada masa sama keperluan anak di rumah terjaga dengan baik.

Bagi pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan, Aida Abdul Razak, 37, bekerja di rumah memerlukan pengurusan masa yang baik.

AIDA meluangkan masa bermain dengan anaknya. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
AIDA meluangkan masa bermain dengan anaknya. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain

Katanya, apabila bekerja di rumah, dia juga perlu menjaga keperluan tiga anaknya berusia dua sehingga tujuh tahun.

“Biasanya rutin harian saya bermula seawal 5 pagi untuk siapkan kerja pejabat sementara menunggu anak bangun pada 6.30 pagi. Biasanya selepas bangun mereka ke ruang tamu untuk bermain dan menonton televisyen.

“Selepas itu mereka mandi serta sarapan pagi dan kemudian kami mulakan dengan pelbagai aktiviti termasuk mewarna, membaca dan pada ketika ini saya ambil kesempatan untuk sambung kerja pejabat di meja makan sambil melihat aktiviti mereka sambildibantu suami.

SUAMI Aida turut membantu menjaga anak ketika bekerja di rumah. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
SUAMI Aida turut membantu menjaga anak ketika bekerja di rumah. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain

“Hari pertama agak mencabar, tapi apabila sudah hampir seminggu di rumah, saya dapat biasakan diri dengan mengulangi rutin yang sama,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, jika bekerja di pejabat, dia dapat memberi fokus terhadap tugasnya sebagai pensyarah termasuk menyiapkan perancangan pengajaran atau kerja pejabat lain.

“Berbanding di rumah, cabaran utama adalah pengurusan masa. Biarpun masih boleh bekerja, namun pada masa sama kita perlu berhenti untuk lakukan perkara lain.

“Anak pastinya mahukan perhatian daripada kita dan di sini kita kena bijak uruskan masa dengan baik,” katanya.

AKTIVITI mewarna dapat menghilangkan rasa bosan di rumah. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
AKTIVITI mewarna dapat menghilangkan rasa bosan di rumah. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain

Biarpun begitu ibu kepada tiga anak ini melihat penguatkuasaan PKP ini daripada sudut positif terhadap hubungan ibu bapa dan anak.

“Sebelum ini, saya dan suami tidak mempunyai banyak masa dengan anak kerana tuntutan tugas dan biasanya hanya pada hari minggu dapat bersama mereka.

“Pada saya, ketika tempoh pelaksanaan PKP ini adalah masa terbaik untuk luangkan masa memasak untuk mereka. Selain itu, pelbagai aktiviti boleh dijalankan bersama untuk eratkan hubungan,” katanya.

ANDA pelu sabar dengan keletah anak-anak. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
ANDA pelu sabar dengan keletah anak-anak. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain

Perkara sama turut diakui eksekutif komunikasi dan perhubungan korporat di sebuah kolej swasta, Norafini Zulkurnain yang terpaksa bekerja di rumah di samping menjaga keperluan dua anaknya di rumah sepanjang PKP dilaksanakan.

Norafini mengakui bekerja di rumah memerlukan perancangan masa yang baik untuk mengelakkan tugasan terganggu.

NORAFINI memilih lokasi berdekatan dapur memudahkannya bergerak. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain
NORAFINI memilih lokasi berdekatan dapur memudahkannya bergerak. FOTO: Ihsan Aida Abdul Razak & Norafini Zulkurnain

Katanya, dia bersyukur kerana suaminya, Mohd Hanif Azman yang juga jurutera banyak membantu mengurangkan bebanan tugasnya di rumah.

“Bekerja di rumah memerlukan disiplin dan semangat tinggi. Apabila berada di pejabat saya boleh fokus dengan pekerjaan, bagaimanapun di rumah, kadangkala anak sentiasa mahu ‘berkepit’ dengan kita.

“Oleh itu, saya dan suami perlu sentiasa berkomunikasi dan bergilir-gilir menjaga anak untuk memastikan kerja pejabat dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

“Untuk menjimatkan masa saya lakukan kerja rumah dan pejabat secara serentak, contohnya sambil membasuh baju dengan mesin basuh, merebus atau mengukus makanan saya siapkan kerja pejabat. Sebab itu saya pilih menjadikan meja makan sebagai ‘pejabat’ kerana berdekatan dapur untuk saya menyiapkan kerja di samping menyediakan makanan untuk anak,” katanya.

Katanya, apabila kerja pejabat selesai, dia akan meluangkan lebih masa dengan anak termasuk menonton rancangan kegemaran, menyiram pokok dan membasuh baju.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe