X
MESKIPUN aktif dan lasak, Norshakila sentiasa menjaga penampilan.
MESKIPUN aktif dan lasak, Norshakila sentiasa menjaga penampilan.
Hafiz Ithnin


JIKA ada yang mentafsirkan tugas wanita apabila menjadi penguat kuasa hanya duduk di kerusi empuk menguruskan kerja dokumentasi sahaja, sebenarnya tidak tepat.

Mengejar si pesalah dengan berbaju kebaya dan berkasut tumit tinggi antara pengalaman hidup si pemilik nama Norshakila Abd Razak yang kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Cawangan Gombak, Selangor.

Dalam tawa mengingat kembali kisah itu sekitar 2007 sememangnya suatu peristiwa yang sukar untuk dilupakan. Ketika itu, dia ditugaskan di KPDNHEP Cawangan Sungai Petani, Kedah.

“Sebelum ini, kami penguat kuasa belum mempunyai pakaian beruniform seperti sekarang. Apabila menjalankan serbuan kami akan memakai pakaian seperti orang biasa. Jika terlalu kemas, pesalah dapat mengesan kami sebagai penguat kuasa.

“Kejadian itu berlaku di dalam sebuah pasar malam. Peniaga di situ siap bertepuk tangan melihat saya mengejar pesalah dengan berbaju kebaya. Berterabur cakera padat (CD) cetak rompak. Meskipun bertumit tinggi, larian saya tidak kecundang untuk menangkap lelaki berkenaan,” katanya.

BERSAMA suami yang sentiasa memahami tugasnya sebagai isteri dan ibu bekerjaya.
BERSAMA suami yang sentiasa memahami tugasnya sebagai isteri dan ibu bekerjaya.

Bingkisan pengalaman ketika dalam operasi itu mencerminkan konsep pakaian yang disarungkan milik pereka fesyen, Fyrose Zainuddin. Tampak warna lembut, tetapi ada kuasa kental di sebaliknya!

Menyertai unit itu sejak 2006, Norshakila sentiasa bekerja keras menggalas setiap amanah yang diberikan sehingga dua kali dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang pada 2014 ketika menjadi pembantu penguat kuasa dan 2017 ketika menjawat jawatan penolong pegawai penguat kuasa. Tidak sekadar itu, dia juga adalah penerima Anugerah Apresiasi KPDNHEP Selangor (Anggota Cawangan KPDNHEP Gombak) tahun lalu.

Baginya wanita yang bergincu dan memakai tumit tinggi bukan perlu dilihat sekadar untuk menjadi pemanis mata, tetapi mereka juga mempunyai kekuatan dalam melakukan tugas lasak.

Selain kisah itu, diikuti tonto juga adalah perkara biasa ketika dia belum berkahwin. Kadangkala dia mengetahui individu yang berada berdekatan dengan rumahnya adalah golongan itu.

“Pernah suatu hari tidak bekerja dan saya melihat ada tonto di hadapan rumah. Saya cakap kepada mereka yang hari ini saya tidak bekerja dan mereka boleh balik. Walaupun mungkin ia boleh mendatangkan risiko kepada seorang wanita, tetapi saya sudah biasa berdepan individu seperti ini.

NORSHAKILA (tiga dari kiri) mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 ketika menjawat jawatan pembantu penguat kuasa.
NORSHAKILA (tiga dari kiri) mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 ketika menjawat jawatan pembantu penguat kuasa.

“Sebenarnya mereka juga tahu bahawa kita bekerja dan menjalankan tugas dan mereka juga menjalankan ‘tugas’, tetapi bezanya golongan ini berkhidmat kepada individu yang tidak mengikut undang-undang,” katanya.

Suri kepada Mohd Raimy Zahran Ahmad itu juga sentiasa mementingkan keseimbangan kerjaya dan keluarga meskipun berada di dalam bahagian itu memerlukan Norshakila bekerja tanpa mengira masa.

“Di dalam bahagian ini kami bekerja dengan masa yang tidak menentu, tetapi kita perlu tahu untuk mengimbangkan masa bersama keluarga. Saya bersyukur suami sentiasa memahami keadaan ini walaupun dia bukan individu yang bekerja dalam pasukan beruniform.

“Tolak ansur dan saling memahami menjadikan saya dan suami mudah untuk membahagikan masa menjaga dua cahaya mata kami iaitu Zara Nur Rania, 8, dan Muhammad Dany Rafael, 4,” katanya.

Wanita berusia 34 tahun itu juga melihat kumpulan rakan setugas terutama ketuanya amat memahami keadaan kakitangan wanita yang sudah berkeluarga sepertinya dengan memberikan kelonggaran kepada mereka untuk menentukan jadual kerja masing-masing, tetapi tetap tidak mengetepikan tanggungjawab diberikan.

Dia juga berpendapat keluarga bukan penghalang bagi wanita yang berkerjaya dalam pasukan beruniform dan sinonim dengan tugas berisiko tinggi.

SENTIASA fokus dalam menjalankan amanah yang diberikan.
SENTIASA fokus dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Lebih penting ialah berkomunikasi, menguruskan kumpulan dengan baik, berdisiplin dan menyiapkan segala tugasan mengikut masa diberikan. Jangan pernah berlengah dan tunjukkan komitmen kerja yang baik. Itu sahaja petua yang saya amalkan dalam pekerjaan.

“Malah, walaupun saya disahkan mengalami masalah saraf dan otot, saya masih bekerja seperti biasa kerana minat yang tinggi di dalam kerjaya ini. Apatah lagi, apabila kita sudah diberikan tanggungjawab, ia bukan sesuatu yang mudah untuk diketepikan,” katanya yang turut mendapat sokongan moral daripada ibunya, Suriha Awang dan ayahnya, Abd Razak serta datuknya, Awang Noh dan arwah neneknya, Rokiah Abdullah sebagai tulang belakang kejayaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe