SOKONGAN pakar perubatan amat membantu Nur dan suami untuk terus berusaha. - Gambar hiasan.
SOKONGAN pakar perubatan amat membantu Nur dan suami untuk terus berusaha. - Gambar hiasan.
Hafiz Ithnin

“KAU tak ‘power bro’ atau ‘tengok sepupu kau’, dah berderet anak dia, kau?’

Dua kata-kata sinis itu sentiasa melekat di jiwa wanita berusia 40 tahun itu sebelum dia dikurniakan zuriat sendiri selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga.

Jiwa wanita mana yang tidak terguris apabila suami diperlekeh rakan sendiri walaupun mereka rasakan ia adalah gurauan.

Hanya terukir senyuman di bibir tatkala dibanding-bandingkan dengan sepupu lain yang sudah mempunyai zuriat, namun siapa tahu lubuk jiwanya yang sebenar?

Ketika temu bual ini dibuat, penulis sudah berjanji kepadanya untuk merahsiakan identiti dan keluarganya. Bukan apa, ada hati yang perlu dijaga dan ada rahsia yang perlu disimpan. Cukup namanya dikenali sebagai Nur yang baru bergelar ibu pada usia sekitar 40 tahun.

Dalam tempoh 16 tahun bergelar suami isteri, Nur dan suami tidak pernah berputus asa. Daripada berubat secara klinikal sehingga tradisional semuanya dicuba untuk mengisi zuriat di dalam rahim sendiri.

RAWATAN menerusi IVF kali ketiga membantunya mendapatkan zuriat. - Gambar hiasan.
RAWATAN menerusi IVF kali ketiga membantunya mendapatkan zuriat. - Gambar hiasan.

Nur berkata, lebih memberi tekanan apabila orang sekeliling menyuruhnya melakukan pelbagai jenis rawatan ibarat dia dan suami tidak berusaha untuk perkara itu.

“Saya rasakan segelintir masyarakat masih tidak peka kepada isu sensitif apabila bercerita membabitkan hal kemampuan untuk mendapatkan zuriat. Ada kalanya cara mereka tidak kena apabila bercakap dengan kita.

“Bohonglah pasangan mana yang tidak mahukan zuriat sendiri selepas berkahwin. Kalau ingin dihitung dari segi jumlah bil rawatan tidak terkira dan rasanya tidak wajar untuk pasangan yang bermasalah seperti kami ini kongsikan hal peribadi sebegitu,” katanya yang mendirikan perkahwinan pada sekitar 2003.

Katanya, pada tahun pertama dia dan suami cuba untuk mendapatkan zuriat secara normal. Pelbagai amalan tradisional dilakukan antaranya berurut dan menjaga pemakanan bagi memastikan mereka berdua berada pada tahap subur dan berjaya mendapat zuriat.

Apabila masuk tahun kedua suami mengajaknya melakukan ujian secara klinikal di sebuah pusat perubatan kesuburan di Shah Alam, Selangor dan keputusan diberikan pakar semuanya dalam keadaan baik.

“Pakar memaklumkan rahim dan tiup folopio saya normal termasuk suami tiada masalah. Sepanjang sesi kesuburan itu kami diajar menjangka waktu subur di samping dibekalkan dengan pil merangsang hormon sehingga awal 2005 dan usaha masih gagal.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan rawatan kesuburan di pusat perubatan sama sehingga doktor menyarankan kami untuk membuat salah satu rawatan kesuburan iaitu ‘Intra Uterine Insemination’ (IUI) pada April 2005 dan ia adalah kali pertama,” katanya.

Ketika diberi peluang untuk melakukan IUI, Nur gembira kerana merasakan rawatan itu dapat membantunya mendapat zuriat dengan mudah.

Bagaimanapun, sangakaannya meleset apabila rawatan kali pertama itu gagal sehingga kali ketiga pada Ogos 2006 keputusan diterima masih negatif.

“Saya tinggal di Klang dan perlu berulang-alik setiap kali melakukan rawatan IUI di Kuala Lumpur. Saya dan suami tidak pernah rasa penat kerana kami inginkan zuriat sendiri. Kosnya juga ketika itu masih mampu dibayar.

“Bagaimanapun, pada Oktober 2006 saya terpaksa menangguhkan rawatan berkenaan kerana mengambil keputusan untuk memiliki seorang anak angkat yang memerlukan saya menjalani rawatan penyusuan ibu,” katanya yang kini anak angkatnya itu sudah memasuki alam remaja.

Nur berkata, dia menyambung kembali rawatan itu selepas anak angkatnya berusia setahun setengah sebanyak tiga kali dan usaha itu masih tidak menampakan hasilnya pada 2008.

MERASAKAN kadangkala orang di sekeliling tidak faham situasi yang dilalui Nur dan suami. - Gambar hiasan.
MERASAKAN kadangkala orang di sekeliling tidak faham situasi yang dilalui Nur dan suami. - Gambar hiasan.

Jelasnya, dia juga melakukan rawatan persenyawaan ‘in vitro’ (IVF) sebayak tiga kali iaitu pada 2010, 2014 di sebuah pusat perubatan sama dan tahun lalu di pusat perubatan yang berlainan.

“Rezeki pada tahun lalu, doa dimakbulkan selepas melakukan pelbagai usaha apabila dimaklumkan pakar bahawa embrio yang dimasukan kali ini menjadi dan dalam tempoh awal kandungan saya mengambil cuti selama seminggu.

“Ketika bercuti, saya hanya berehat di atas katil dan semuanya disediakan suami kerana ingin memastikan kandungan betul-betul melekat pada rahim. Malah, suami tidak benarkan saya banyak bergerak,” katanya.

Nur berkata, usaha itu berhasil sehingga tahun lalu dia mengandung dan selamat melahirkan seorang zuriat secara pembedahan.

Katanya, tidak perlu timbul perasaan malu untuk berkongsi mengenai rawatan kesuburan, tetapi untuk dirinya kisah mengenai status anak angkat perlu dilindungi dan menjaga hati banyak pihak.

“Walaupun saya tidak mengandungkan anak saya yang sulung, tetapi dia tetap anak saya dan tidak ramai tahu mengenai status itu. Dalam masa sama kepada pasangan yang belum dikurniakan zuriat jangan berputus asa.

“Doa dan usaha adalah dua perkara yang sering dipegang saya dan suami,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:00 AM