X
AMALKAN budaya menyimpan. - FOTO Google
AMALKAN budaya menyimpan. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail

KERAJAAN mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) untuk membantu pelbagai lapisan masyarakat.

Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi mengakui dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, golongan yang paling terkesan adalah isi rumah M40 dan B40.

“Peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri antara paling terjejas kerana memperoleh pendapatan secara harian.

“Lebih menggusarkan, statistik yang dikeluarkan sebelum PKP ini, mendapati 75 peratus rakyat di negara ini tidak mampu menyediakan RM1,000 ketika berlaku krisis,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bagaimanapun kerajaan tidak lepas tangan dalam membantu meringankan beban rakyat dan syarikat yang terjejas dengan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi.

“Antaranya dengan menyediakan bantuan kewangan, moratorium dan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membantu masyarakat yang terjejas.

“Berdasarkan kajian mendapati bantuan dan insentif ini membantu rakyat berjimat 50 peratus perbelanjaan bulanan kerana tidak perlu membayar pinjaman, penjimatan minyak kereta dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, biarpun terdapat pelbagai bantuan, masyarakat perlu berjimat cermat dengan mengubah gaya hidup berbanding sebelum ini.

PENIAGA perlu ubah model perniagaan. - FOTO Google
PENIAGA perlu ubah model perniagaan. - FOTO Google

“Pakar ekonomi menjangkakan selepas ini (PKP) ekonomi kembali pulih dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Masyarakat boleh mengubah gaya hidup dengan mengurangkan komitmen bulanan yang besar seperti kereta dan rumah yang biasanya mencecah 40 hingga 50 peratus daripada gaji.

“Jadi untuk berjimat mungkin boleh bertukar kepada kenderaan dan rumah yang lebih murah serta buang segala macam bebanan kewangan yang ada seperti langganan televisyen berbayar, beberapa kad kredit dan sebagainya.

“Gunakan wang sebaik mungkin dengan membeli apa yang perlu sahaja dan sediakan dana simpanan kecemasan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan menggunakan peluang berada di rumah untuk belajar memasak.

“Selepas habis tempoh PKP, boleh kekalkan makan masakan dari rumah berbanding makan luar kerana ia jauh lebih menjimatkan selain menyihatkan.

“Belajar dan mula ajar anak-anak makan untuk hilangkan lapar, bukan untuk kenyang apatah lagi makan sedap,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh ini, untuk menambah pendapatan, masyarakat perlu kreatif dalam meneroka peluang baru yang mampu menjana pendapatan.

“Antaranya menceburi sektor makanan yang memang diakui mendapat permintaan yang tinggi. Peniaga kedai makan boleh mencuba model perniagaan secara dalam talian.

“Selain itu, saya dapati sektor logistik juga turut meningkat dan banyak menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP ini sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan membuat simpanan untuk berdepan krisis.

“Gaya hidup dan tabiat berbelanja juga perlu diubah dengan membeli barang keperluan sahaja untuk elakkan sebarang pembaziran,” katanya.

RAMAI tertekan kerana hilang sumber pendapatan. - FOTO Google
RAMAI tertekan kerana hilang sumber pendapatan. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:15 AM