Muhamaad Razis Ismail

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, sudah pasti pelbagai persiapan dilakukan untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Antara yang menjadi keutamaan adalah pemilihan busana yang benar-benar mampu membangkitkan kemeriahan terutama di pagi raya.

Bagi kelihatan segak, lelaki juga tidak ketinggalan untuk memiliki baju Melayu terbaik khas untuk Aidilfitri.

Biarpun baru-baru ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak dibenarkan untuk balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, tiada salahnya bergaya dengan baju Melayu baharu di kediaman sendiri.

Tidak lengkap rasanya sambutan Aidilfitri tanpa baju Melayu biar pun perlu sambutannya dalam kebiasaan baharu.

Di pasaran diakui terdapat pelbagai koleksi baju Melayu termasuk yang masih mengekalkan potongan klasik dan tidak kurang juga yang menampilkan gaya moden.

Bagi yang inginkan kelainan, baju Melayu dengan potongan muat padan, lengkap perincian serta warna terang jadi pilihan terutama golongan muda.

Menyedari perkara itu, Pengasas Rifal Exclusive, Mohd Fekri Ahmad berkata, biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, busana baju Melayu tetap mendapat sambutan.

PENGGAMBARAN dibuat di Turki. FOTO Ihsan Mohd Fekri Ahmad
PENGGAMBARAN dibuat di Turki. FOTO Ihsan Mohd Fekri Ahmad

"Sebagai peniaga sudah tentu saya risau jualan baju Melayu pada tahun ini akan merosot kerana pandemik Covid-19, namun sebaliknya berlaku.

"Alhamdulillah, rakyat Malaysia masih mencari baju Melayu walaupun menyedari hanya akan beraya di rumah sendiri sahaja.

"Pada mereka, tidak lengkap tanpa baju Melayu biar pun Aidilfitri disambut secara sederhana, katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya menggunakan strategi perniagaan dengan membuat promosi jualan busana di dalam talian.

"Dalam situasi kebiasaan baharu, saya tidak boleh harapkan perniagaan secara konvensional. Oleh itu saya fokuskan jualan di dalam talian sama ada di Facebook dan Instagram.

"Pada masa sama, saya gunakan video berbaju Melayu di dalam rumah juga masih boleh kelihatan segak, katanya.

Mengulas lanjut, pada tahun ini, pihaknya menampilkan produk baharu iaitu baju Melayu Slim fit Rifal Exclusive.

"Sebelum rekaan ini dihasilkan saya bersama tenaga kerja membuat kajian untuk memastikan keselesaan dan kepuasan pelanggan antaranya bentuk, jenis dan kualiti pada baju yang akan dihasilkan.

"Baju Melayu ini tampil dengan satu poket yang menyerupai kurta.

"Di samping itu juga baju ini dilengkapi dengan zip di tepi baju dan lengan untuk keselesaan dan memudahkan si pemakai, katanya.

Beliau berkata, sejak 2016, pihaknya memberi fokus terhadap produk kurta dan pada tahun ini, mereka tampil dengan produk baju Melayu.

"Baju Melayu turut dihasilkan berikutan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

"Biarpun, masih baharu, sambutan yang diberikan sangat mengalakkan, katanya.

REKAAN slim fit yang mendapat sambutan. FOTO Ihsan Mohd Fekri Ahmad
REKAAN slim fit yang mendapat sambutan. FOTO Ihsan Mohd Fekri Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 7:00 AM