X
KETIKA menyertai program bersama orang asli di Taman Negara Pahang. FOTO Ihsan Nur Farhana Hasni
KETIKA menyertai program bersama orang asli di Taman Negara Pahang. FOTO Ihsan Nur Farhana Hasni
Muhamaad Razis Ismail

DIDORONG rasa ingin tahu mengenai dunia luar membuatkan wanita ini aktif menjalankan pelbagai aktiviti sukarelawan.

Bukan hanya di negara ini, malah Nur Farhana Hasni, 28, yang kini bertugas di syarikat penghantaran makanan, Grab Food turut terbabit pelbagai aktiviti kebajikan ketika menuntut di California State University Fullerton (CSUF), Amerika Syarikat.

Antaranya menjadi sukarelawan di Unit Penyelidikan Penyu Universiti Malaysia Terengganu (SEATRU), program agihan makanan di Los Angeles, menyertai aktiviti agihan makanan dengan Kechara Soup Kitchen di Kuala Lumpur dan Program Tautan Kasih di kampung Orang Asli Taman Negara, Pahang bersama Kembara Amal Venture (KAVE).

Bukan itu sahaja, dia turut meluangkan masa menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sekolah rendah di Yayasan Teratak Che Dah, Rawang, Selangor.

NUR Farhana aktif pelbagai aktiviti sukarelawan untuk belajar lebih menghargai kehidupan
NUR Farhana aktif pelbagai aktiviti sukarelawan untuk belajar lebih menghargai kehidupan

SERTAI program sukarelawan anjuran syarikat.
SERTAI program sukarelawan anjuran syarikat.

Nur Farhana mengakui dia mula terdetik untuk terbabit aktiviti sukarelawan kerana perasaan ingin tahu mengenai kehidupan yang luar daripada persekitaran hidup di bandar.

"Dari kecil memang saya mempunyai cita-cita untuk meneroka dunia seorang diri. Ketika cuti semester universiti, saya menyertai program sukarelawan SEATRU dan saya banyak belajar mengenai kehidupan sebenar.

"Di sana, saya berpeluang menjaga penyu selama seminggu. Di situ saya belajar bagaimana menjalani kehidupan tanpa Internet dan bergaul dengan orang lain," katanya.

Katanya, pada mulanya keluarga bimbang dengan keselamatannya yang aktif dengan aktiviti sukarelawan.

"Sebagai contoh, saya pernah pergi ke tempat berbahaya seperti Skid Row, Los Angeles yang dipenuhi gelandangan yang kadangkala agak agresif.

"Bagaimanapun, selepas dapat buktikan saya boleh berdikari dan jaga keselamatan diri, mereka mula memberi sokong sepenuhnya.

MURID di Teratak Che Dah.
MURID di Teratak Che Dah.

"Selain itu, saya juga ditemani kawan baik yang turut menambah keyakinan keluarga saya," katanya.

Berkongsi perkara yang tidak boleh dilupakan, anak keempat daripada enam beradik ini berkata, banyak pengalaman diperoleh ketika menyertai program 'Union Rescue Mission' di Los Angeles.

"Di situ saya berpeluang berinteraksi dengan ramai gelandangan. Di sana, gelandangan terdiri daripada askar yang sudah berpencen, orang tidak mampu membayar sewa rumah, malah ada juga doktor yang sudah bankrap.

"Sesetengah mereka bekerja sebelah siang namun malam mereka tidur di tepi jalan raya dalam khemah. Tetapi, itu realiti gelandangan di sana berbanding di negara ini," katanya.

Ditanya bagaimana membahagikan masa dengan kerjayanya, Nur Farhana bersyukur kerana syarikatnya banyak menjalankan pelbagai aktiviti sukarelawan.

"Setiap bulan, ada sahaja aktiviti yang dijalankan.

PROGRAM sukarelawan di SEATRU.
PROGRAM sukarelawan di SEATRU.

PROGRAM ‘Union Rescue Mission’ yang disertai di Amerika Syarikat.
PROGRAM ‘Union Rescue Mission’ yang disertai di Amerika Syarikat.

"Biarpun tidak sempat sertai badan bukan kerajaan, saya dapat lepaskan rindu dengan aktiviti sukarelawan menerusi program anjuran syarikat sendiri," katanya.

Tambahnya, sepanjang menyertai aktiviti sukarelawan, dia banyak belajar untuk lebih menghargai kehidupan.

"Sebagai manusia, kita sentiasa bandingkan diri kita dengan orang lain namun kita tak sedar ada lagi orang yang lebih susah dan banyak dugaan dalam kehidupan mereka.

"Saya belajar untuk hargai apa yang dimiliki dan cuba untuk terus menolong orang lain yang lebih memerlukan apabila mempunyai peluang.

"Kadangkala bantuan yang diberikan itu tidak sebesar mana namun mungkin kita tidak tahu sebenarnya ia sangat bermakna kepada orang lain," katanya.

Menurutnya, untuk menjadi sukarelawan yang baik, seseorang itu perlu berfikiran terbuka dan cepat belajar.

"Setiap kali pergi ke sesuatu tempat, kita perlu hormati budaya dan pantang larang yang perlu dipatuhi.

"Mulakan dengan kecil dan benda yang kita minat. Jika sukakan aktiviti pantai, cari program di kawasan pulau. Selain itu, boleh gunakan media sosial.

"Di Malaysia ada banyak organisasi dan badan bukan kerajaan yang boleh disertai untuk bersama-sama menyumbang ke arah kebaikan," katanya mengakhiri perbualan.

MAJLIS graduasi.
MAJLIS graduasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:00 AM