X
PAUL menyiapkan produk untuk pelanggan. FOTO Ihsan Salini Idris
PAUL menyiapkan produk untuk pelanggan. FOTO Ihsan Salini Idris
Muhamaad Razis Ismail

AKSESORI piuter memainkan peranan penting bukan sahaja menambah pesona penampilan, malah dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang.

Ia turut menjadi pelengkap gaya sama ada wanita mahupun lelaki yang menjaga penampilan.

Dahulu, aksesori ini hanya digunakan dalam majlis tertentu sahaja.

Bagaimanapun, kini ia sudah seperti menjadi trend terutama kepada golongan muda.

Antara aksesori yang mendapat sambutan termasuk kerongsang, gelang kaki dan cincin menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengurus Paulini Heritage Craft, Salini Idris berkata, kesedaran terhadap aksesori berasaskan logam semakin meningkat sejak 10 tahun lalu.

"Sejak mula berjinak-jinak dengan industri ini, penerimaan terhadap produk piuter dilihat meningkat mendadak dari segi pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Dari segi latar belakang pula terdiri daripada mereka yang berusia 20 hingga 65 tahun dan ada juga berusia 90 tahun turut beli barangan piuter ini untuk dijadikan sebagai hadiah.

"Kraftangan Malaysia memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program dan pameran untuk membantu pengusaha kraftangan di negara ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

SALINI (kanan). FOTO Ihsan Salini Idris
SALINI (kanan). FOTO Ihsan Salini Idris

Menurutnya, aksesori yang menjadi pilihan termasuk rantai tangan, rantai leher, kerongsang, anting-anting dan cincin.

"Aksesori seperti ini menjadi pilihan kerana unik selain harganya juga mampu milik dan boleh menarik perhatian," katanya.

Salini berkata, bahan piuter lebih lembut dan mudah dibentuk berbanding tembaga selain lebih berkilat.

"Untuk menambahkan keutuhan aksesori itu, kaedah saduran emas dan perak digunakan untuk pastikan setiap rekaan kelihatan eksklusif," katanya.

Tambahnya, pelbagai motif aksesori yang dihasilkan antaranya bunga raya, daun sireh, rama-rama bunga orkid dan warisan.

"Ini adalah lima motif utama yang mendapat sambutan menggalakkan dan saya akan olah setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini ciri-ciri tradisional masih mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Bagaimanapun, motif seperti ini hanya sesuai untuk majlis tertentu sahaja seperti majlis perkahwinan.

"Oleh itu, saya menyuntik nafas baharu dengan mengolah rekaan yang dihasilkan lebih kontemporari dengan menggabungkan ciri-ciri tradisional dan moden.

"Aksesori dengan ciri-ciri kontemporari ini sesuai untuk semua majlis yang sesuai digayakan pelbagai lapisan masyarakat seperti guru atau pekerja di pejabat yang menggunakannya untuk disesuaikan dengan busana kerja," katanya.

KERONGSANG sesuai dijadikan cenderahati. FOTO Ihsan Salini Idris
KERONGSANG sesuai dijadikan cenderahati. FOTO Ihsan Salini Idris

Katanya, kelebihan menggunakan aksesori piuter, ia tidak dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dan boleh dijadikan sebagai koleksi terhad kepada pemiliknya.

"Saya boleh janjikan satu rekaan aksesori piuter ini, ia hanya dihasilkan dalam jumlah 50 ke bawah. Sehubungan itu, kebarangkalian untuk menemui jenis yang sama adalah sangat rendah.

"Selain itu juga, aksesori ini lebih selamat daripada risiko jenayah ragut dan sebagainya berbanding emas," katanya.

Dalam pada itu, Salini turut mengambil inisiatif membangunkan laman web sendiri untuk menjual semua produk dihasilkan secara dalam talian selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

"Covid-19 mengakibatkan ramai peniaga terjejas. Oleh itu, saya bersama rakan kongsi, Paul Kok Chee Keong bertungkus-lumus membangunkan sendiri laman web yang mula beroperasi pada 20 Mac lalu.

"Saya juga sertai Facebook E-Kraf Bazar yang mengumpulkan ramai pengusaha kraftangan di seluruh negara hasil inisiatif Kraftangan Malaysia

"Saya berpendapat peniaga lain pun perlu ubah kaedah perniagaan lebih dengan memberi fokus terhadap dalam talian," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Salini berhasrat untuk meluaskan pasaran aksesori piuternya ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 7:00 AM