X
BERHIJAB bukan penghalang dalam kerjaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERHIJAB bukan penghalang dalam kerjaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafiz Ithnin

"TIADA apa yang perlu dirisaukan mengenai rezeki kerana semuanya daripada Dia," kata wanita berusia 30 tahun ini.

Mungkin ada antara kita yang sedar kehadiran model berdarah campuran Malaysia-British ini yang menjadi penghias iklan di televisyen atau media sosial yang menggayakan pelbagai busana milik pereka fesyen tempatan.

Tidak ketinggalan si pemilik nama Victoria Nur Mohamad Shah Johan itu atau lebih mesra disapa Vic sering kali menjadi pilihan untuk model di atas pentas peragaan.

Ketika sesi fotografi dilakukan bersama Vic semestinya mudah bagi penulis dan jurufoto, Mohamad Shahril Badri Saali mendapatkan sisi terbaik untuk menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM) kali ini.

Mana tidaknya bekerjasama dengan seorang model yang sudah melebihi dua dekad di dalam industri itu sudah semestinya tiada masalah. Ketika sesi temu bual dilakukan, Vic cukup matang mengatur setiap butir kata yang dilontarkan kepada penulis.

Apatah lagi ketika ditanya perasaan selepas membuat keputusan berhijab, bagaimana dengan hala tuju kerjayanya sebagai seorang model?

Meskipun kelulusan dalam bidang undang-undang, Vic memilih dunia peragaan sebagai kerjaya. Jadi, lebih rasional bertanyakan mengenai hala tuju kerjayanya memandangkan anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini menjadikan bidang itu sebagai sumber periuk nasinya.

Vic berkata, dia memakai hijab kerana sudah sampai masanya. Tiada paksaan daripada sesiapa.

Malah, tidak juga berhijab secara 'berfasa' kerana mungkin ada sesetengahnya lebih selesa untuk berselendang terlebih dahulu sebelum berhijab penuh.

"Perkara yang paling utama bagi saya ialah menjadi individu yang istiqamah selepas berhijab kerana apabila mengenakan tudung ia bukan sekadar perlu menutup rambut tetapi aurat seorang wanita. Saya masih dalam perjalanan menjadikan diri lebih istiqamah sebagai wanita berhijab," katanya yang mula membina nama di dalam dunia peragaan sejak di sekolah menengah.

MASIH belajar untuk menjadi individu yang istiqamah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MASIH belajar untuk menjadi individu yang istiqamah. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Jelas Vic, sebelum ini dia lebih bebas untuk menyarungkan pelbagai jenis busana yang diberikan pereka fesyen membawa sebarang watak dalam iklan.

Katanya, apabila sudah memakai tudung dia perlu menjadi individu yang lebih memilih untuk memakai busana atau memegang watak di dalam iklan. Malah perlu sedar transformasi diri sudah dilakukan bukan kerana paksaan tetapi ikhlas daripada jiwa seorang wanita Islam.

"Sebenarnya saya juga tidak mewar-warkan mengenai diri sudah bertudung kepada orang lain. Sebaik sahaja bangun dari tidur, niat sudah menguatkan diri untuk memakai tudung sehinggakan rakan rapat juga terkejut dengan penampilan ini.

"Menariknya, ketika baru mengenakan tudung terdapat tawaran untuk saya menjadi model memperagakan pakaian mereka. Saya maklumkan sudah bertudung dan tidak akan memakai pakaian yang tidak sesuai dengan penampilan terkini. Pihak yang menawarkan itu tidak menolak, malah mencadangkan pilihan pakaian yang lain sesuai untuk wanita bertudung kepada saya," katanya.

Anak kepada pasangan Mohamad Shah Johan Bradbury dan Samiah Othman itu berkata, dia percaya berubah diri ke arah lebih baik, tentunya maha pencipta turut memberikan hikmah kepada hambanya dan juga ujian.

Ketika berbual bersama Vic, dia juga memaklumkan ibunya sudah menemui Ilahi pada April 2014 kerana barah payu dara. Malah dia juga mempunyai minat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan nasib golongan pesakit itu.

Meneruskan perbualan anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, sebenarnya memakai tudung bukan lagi sebagai satu penghalang untuk menjadi model kerana ketika ini industri fesyen Muslimah berkembang dengan pesat bukan sahaja di Malaysia malah dunia.

BERDARAH campuran Melayu-British. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERDARAH campuran Melayu-British. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Pereka fesyen antarabangsa sendiri pun menyedari bahawa industri fesyen Muslimah semakin berkembang dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran. Jadi apabila seorang model itu sememangnya memakai tudung bagi pendapat saya ia lebih menjiwai.

"Malah, bagi model yang mempunyai nama besar dalam industri fesyen sendiri mereka mempunyai suara untuk menilai busana yang dihasilkan oleh pereka fesyen kerana sebelum dijual ke pasaran, model adalah antara individu terawal yang dapat merasai kualiti sesuatu busana.

"Begitu juga dengan keadaan fesyen Muslimah kerana konsep pakaian yang dihasilkan perlu mempunyai ciri diinginkan kumpulan sasar iaitu selesa, tidak panas dan anggun. Jadi apabila seorang model itu sememangnya sudah bertudung pasti mereka boleh memberikan pandangan mengenai pakaian dalam segmen itu kepada pemilik jenama busana," katanya.

Ketika ditanya mengenai adakah ingin mempunyai jenama fesyen pada masa depan, katanya sebagai seorang model pastinya impian itu sentiasa ada.

"Pertama sekali saya bertudung bukan untuk kerjaya dan kedua, saya memang mempunyai minat untuk jenama fesyen yang mungkin berkonsepkan Muslimah. Namun, ia masih dalam perancangan.

"Sejak memakai tudung saya sendiri mula peka mengenai jenis-jenis kain untuk menghasilkan sehelai tudung terutama perlu selesa, mudah dipakai dan mempunyai corak fabrik yang menarik," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 7:00 AM