SHAHRANITA melayan semua kucingnya seperti keluarga sendiri. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
SHAHRANITA melayan semua kucingnya seperti keluarga sendiri. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
Muhamaad Razis Ismail

LEBIH satu dekad bukan tempoh yang pendek bagi wanita ini menjadikan peguam hartanah sebagai kerjaya.

Berbekalkan pengalaman yang cukup luas dalam kerjaya yang diminati, pada usia 37 tahun itu, Wan Shahranita Saharan atau lebih dikenali Shahranita Saharan muncul antara peguam wanita disegani di negara ini.

Kepakaran yang dimiliki dalam mengendalikan urusan guaman bidang hartanah membolehkannya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sebaris peguam terkemuka lain.

Ada sahaja khidmat nasihat yang diperlukan mengenai hal berkaitan perundangan dan prosedur membabitkan hartanah terutama dalam urusan jual beli rumah dapat dijelaskan secara terperinci.

Ia berdasarkan pengalaman beliau yang dilalui setiap hari dalam bidang hartanah.

Jadi tidak hairan, beliau pernah dijemput menjadi pensyarah separuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kursus profesional amalan guaman hartanah bagi pelajar tahun akhir.

ANTARA kucing kesayangan Shahranita. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
ANTARA kucing kesayangan Shahranita. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

Selain pernah diundang ke beberapa program untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya itu.

Mengakui suka berkata-kata dan berkongsi ilmu berkaitan perundangan hartanah, penulis yang pertama kali menemuinya, cepat selesa seperti bertemu kawan lama.

Shahranita berkata, tidak ramai dalam kalangan rakan peguamnya yang menceburi bidang praktis hartanah.

Antara sebabnya hampir sepanjang masa akan dihabiskan untuk meneliti prosedur, menguruskan fail sehingga satu-satu urusan itu sempurna dan bertemu anak guam di pejabat mahupun luar pejabat.

"Masa yang lama diperlukan untuk meneliti setiap dokumen bagi setiap urusan guaman hartanah termasuk penyediaan dokumen, menyempurnakan urusan jual beli hartanah secara profesional mengikut aturan prosedur guaman yang betul sehingga selesai dan ada kalanya membabitkan urusan transaksi hartanah yang rumit.

"Selain itu, saya juga perlu keluar untuk bertemu anak guam dan beberapa pihak lain termasuk perunding hartanah, pemaju, pihak berkuasa tempatan, pegawai bank dan sebagainya.

BERSAMA seorang kakitangannya. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
BERSAMA seorang kakitangannya. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

"Kadangkala ada masa dan ketikanya saya perlu bawa pulang kerja ke rumah kerana urusan membabitkan hartanah ini memerlukan saya untuk fokus dan teliti dan biasanya satu-satu urusan ini berkait rapat dengan masa," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun minat mendalam terhadap kerjaya itu mendorongnya untuk memberi fokus 100 peratus terhadap satu daripada cabang guaman itu.

"Tidak mudah sebenarnya untuk terus fokus dan beramal dengan kerjaya ini.

"Minat sahaja tidak cukup kerana seseorang itu perlu memiliki kesabaran tinggi apabila menjadi 'pemudah cara' mewakili anak guam bagi setiap satu urusan guaman jual beli hartanah ini.

"Saya bersyukur dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam berdepan pelbagai ragam dan sikap anak guam. Kita sebagai peguam kena faham bahawa anak guam perlu kita didik dan bimbing supaya mereka jelas dan faham betu-betul berkenaan urusan jual beli hartanah yang mereka akan lalui," katanya.

Mengulas lanjut, kesedaran segelintir masyarakat di negara ini terhadap urusan yang membabitkan jual beli hartanah masih kurang.

BERSAMA rakan kongsi di firma guamannya. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
BERSAMA rakan kongsi di firma guamannya. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

PERNAH dijemput menjadi pensyarah separuh masa di UKM. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
PERNAH dijemput menjadi pensyarah separuh masa di UKM. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

"Ada dalam kalangan masyarakat yang tidak mahu melantik peguam mahupun mendapatkan khidmat guaman bagi melindungi hak dan kepentingan mereka dalam urusan jual beli hartanah sehingga berdepan masalah lebih besar," katanya.

Tambahnya, selain itu timbul pelbagai persepsi kurang enak bahawa bayaran yang dikenakan peguam agak tinggi sehingga masyarakat bimbang untuk mendapatkan khidmat guaman.

"Oleh itu, di sini peranan yang perlu dimainkan individu seperti saya dalam memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka secara terperinci dari segi urusan dan prosedur yang akan dilaksanakan dalam urusan guaman jual beli hartanah, anggaran tempoh urusan sehingga selesai termasuk kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung anak guam.

"Apabila kita jelaskan mengapa kos itu ditetapkan dengan bahasa yang mereka mudah fahami dan mengikut jenis urusan hartanah yang akan dilaksanakan, biasanya pelanggan tidak akan membangkitkan soal kos dan perbelanjaan, malah selesa dengan penjelasan yang diberikan," katanya.

Dalam kesibukannya di pejabat, ramai yang tidak mengetahui, Shahranita sebenar menetap bersama bapa dan ibunya yang terlantar di rumah akibat serangan angin ahmar sejak 2012.

"Biarpun sesibuk mana sekali pun, selagi boleh berbakti dengan keluarga saya akan buat sebaik mungkin," katanya.

SERING dijemput untuk berkongsi ilmu mengenai hartanah. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
SERING dijemput untuk berkongsi ilmu mengenai hartanah. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

Beliau juga adalah pencinta kucing sehingga digelar sebagai 'peguam meow' dalam kalangan rakan terdekatnya.

"Sejak daripada kecil saya memang meminati haiwan itu dan pernah satu ketika saya bersama keluarga memelihara hampir 30 kucing di rumah.

"Kini saya memiliki lapan kucing yang dipelihara dalam dan luar rumah," katanya.

Kasih sayang Shahranita terhadap kucing amat luar biasa, apabila dia sanggup membeli, menggoreng dan mengaul isi ikan goreng bersama nasi yang dimasak khusus untuk semua kucingnya.

"Setiap hari sebelum keluar bekerja saya akan sediakan dua mangkuk besar untuk kucing di dalam dan luar rumah. Makanan itu juga disediakan untuk kucing jalanan yang sering ke rumah untuk makan.

"Malah, saya akan pastikan makanan kucing akan sentiasa ada di dalam beg tangan, kereta dan pejabat untuk diberikan kepada haiwan itu yang ditemui di jalanan," katanya.

KELUARGA yang banyak memberi sokongan. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan
KELUARGA yang banyak memberi sokongan. FOTO Aizuddin Saad & Wan Shahranita Saharan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 7:00 AM