TENANG, sabar dan mempunyai pengetahuan menjadi kunci utama Mira dalam bekerja.
TENANG, sabar dan mempunyai pengetahuan menjadi kunci utama Mira dalam bekerja.
Hafiz Ithnin

"KALAU kita menjadi ketua, jangan pernah meletakkan ego terlalu tinggi kepada kakitangan yang bersama-sama bekerja dengan kita.

"Tegas perlu ada dan hormat itu akan datang sendiri apabila kita bijak mengemudi sesuatu pasukan," jelas wanita berusia 33 tahun itu.

Menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) di Wangsa Maju untuk mengemudi 66 kakitangan bukan sesuatu yang mudah.

Apatah lagi, dalam kumpulannya terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Pemilik nama Nor Hazmira Abu Hanifah atau mesra disapa Mira tidak menyangka dia berada di posisi itu pada usianya 32 tahun selepas berkhidmat sebagai kakitangan JPJ dalam tempoh enam tahun.

Jika bertemu secara langsung, tidak juga menyangka ibu kepada enam anak itu adalah ketua di bahagian paling sibuk di jabatan berkenaan yang perlu melayan 1001 kerenah manusia.

BERSAMA Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail.
BERSAMA Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail.

Mana tidaknya, jika tidak diminta memberikan aksi serius di hadapan lensa kamera 'ditembak' jurufoto kami, Mohamad Shahril Badli Saali wajah keanak-anak Mira jelas kelihatan.

Apatah lagi, wanita itu manis memiliki sepasang lesung pipit.

Berbusana serba merah hasil sentuhan pereka fesyen tempatan, Fyrose Zainuddin ternyata menghidupkan sesi fotografi dalam kandang kenderaan sita di sekitar pejabatnya.

Wajahnya pula ditatahias oleh jurumekap dan penggaya hijab maryamhijabstylist.

"Sebenarnya kalau nak tahu ini kali pertama dalam hidup saya bergambar sebegini. Masa kahwin pun dahulu saya bergambar dengan telefon bimbit sahaja sebab saya seorang yang ringkas.

"Begitu juga kalau bermekap kerana saya tidak suka menata hias muka dengan solekan yang tebal. Cukup menyapu bedak dan lebih penting sentiasa nampak kemas," katanya.

Mira berkata, dia menyertai JPJ pada 2014 selepas terpilih melalui pelbagai ujian fiziikal yang diperlukan badan beruniform itu termasuk ujian kecergasan yang baginya amat terkesan sehingga hari ini.

Jelasnya, latihan ketika di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) JPJ Melaka amat menitikberatkan pengetahuan yang perlu seiring disiplin kerana ia amat penting kepada individu yang bertugas di bawah jabatan itu.

"Ketika latihan, saya masih ingat hampir dua bulan kumpulan kami berlu membawa dua atap genting ke mana-mana dan ia ibarat nyawa. Jadi ia mendidik kita supaya lebih bertanggungjawab apabila diberikan sebarang tugasan.

"Selain itu, ilmu pengetahuan dalam JPJ juga perlu diterokai sebaik mungkin memandangkan ia membabitkan keselamatan orang ramai atas jalan raya yang menggunakan pelbagai jenis kenderaan," katanya yang memiliki Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Anak kelahiran Pasir Pekan, Kelantan itu turut berkongsi pengalamannya di Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJWPKL apabila dia perlu mempunyai ketahanan mental yang tinggi berdepan pelbagai kerenah pengunjung.

SENTIASA anggap rakan sekerja sebagai keluarga yang perlu dihargai dan dihormati.
SENTIASA anggap rakan sekerja sebagai keluarga yang perlu dihargai dan dihormati.

"Bahagian kami ditugaskan di kaunter yang mempunyai bilangan aliran kerja yang amat tinggi kerana perlu melayan pelbagai pertanyaan orang ramai dan memberikan maklumat kepada mereka untuk menyelesaikan masalah. Perkara ini ditempuhi setiap hari tanpa sedikit rasa jemu, malah puas hati menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

"Kesabaran perkara paling utama ketika berada di bahagian ini kerana berdepan orang ramai yang kadangkala tidak diduga tindakan yang agresif termasuk mengajak kakitangan saya bertumbuk dan menengking itu sudah menjadi lumrah," katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, sejak diberi tanggungjawab untuk mengemudi bahagian itu dia sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya apabila orang awam ramai yang datang dalam keadaan marah sekali pun, perlu bertenang dan sebolehnya menjadikan mereka tersenyum sebelum meninggalkan pejabat JPJWPKL.

"Sebagai barisan paling hadapan kita perlu faham mereka yang datang berjumpa kami untuk menyelesaikan masalah. Jadi, kadangkala ada segelintir tidak jelas mengenai prosedur yang perlu mereka patuhi untuk menyelesaikan masalah itu.

"Pelawat juga akan berada dalam keadaan tertekan apabila berdepan sebarang masalah. Lebih penting kami perlu terangkan sejelasnya prosedur yang perlu mereka laksanakan untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Jelasnya, ada juga yang bersikap memberontak kerana merasakan prosedur itu sesuatu yang membebankan.

"Mereka perlu tahu setiap prosedur ada keperluan yang matlamatnya untuk keselamatan sendiri di kemudian hari," katanya.

MIRA kental urus bahagian dengan bilangan aliran kerja amat tinggi di JPJWPKL.
MIRA kental urus bahagian dengan bilangan aliran kerja amat tinggi di JPJWPKL.

Ketika ditanya mengenai caranya menguruskan pasukan, Mira berkata, perkara paling penting menjadikan setiap ahli pasukan seperti keluarga, tetapi perlu ada ketegasan dalam masa tertentu.

"Di bahagian saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk mereka yang hampir sebaya ibu dan ayah. Jadi, sebagai ketua kita perlu bijak mengendalikan kakitangan dengan penuh hormat dan menghargai mereka.

"Selain itu, jika kakitangan berdepan masalah seperti dimarahi orang ramai, saya akan terus datang ke kaunter itu untuk menyelesaikan masalah bersama kerana bagi saya sebagai ketua jangan biarkan anak buah dibebani masalah seorang diri ketika berkerja kerana kita dalam satu pasukan," katanya.

Mira juga menasihatkan kepada individu yang berminat menceburi bidang ini mereka perlu mempunyai daya tahan diri yang baik dari segi fizikal dan mental serta sentiasa mencari ilmu pengetahuan.

"Kalau kita sudah menjadi ketua misalnya jangan melihat kakitangan itu kurang tahu kerana ilmu itu luas dan sebagai manusia, setiap individu dikurniakan kebijaksanaan masing-masing. Jadi, jangan memandang rendah kepada orang lain walaupun berbeza pangkat," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:00 AM