Muhamaad Razis Ismail

STRES adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan dalam sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian manusia.

Antara punca stres membabitkan pekerjaan, keluarga, kewangan dan sebagainya.

Keadaan ini jika tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan memberi kesan buruk terhadap fizikal dan mental.

Antara kesan daripada stres termasuk sakit kepala, emosi tidak stabil, insomnia dan sistem penghadaman terganggu.

Ada juga yang sanggup mengambil tindakan drastik apabila cuba membunuh diri kerana sudah tidak mampu mengawal tekanan yang dihadapi.

Malah berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati wanita lebih ramai berbanding lelaki berdepan masalah dalam mengawal stres kerana lebih emosional.

Perkara ini diakui sendiri Juruterapi Tenaga, Noor Rabiatul Adawiyah Abdullah, 27, yang memperkenalkan rawatan tepuk-tepuk atau lebih dikenali sebagai power tapping untuk melancarkan aliran tenaga dalam badan sekali gus mengurangkan stres.

Beliau berkata, sejak empat tahun menyediakan perkhidmatan itu, kebanyakan pesakitnya terdiri daripada wanita.

TEPUKAN dibuat di beberapa bahagian badan. FOTO: Yusni Ariffin
TEPUKAN dibuat di beberapa bahagian badan. FOTO: Yusni Ariffin

"Perlu diakui bahawa sembilan daripada 10 pesakit yang saya terima adalah terdiri dalam kalangan wanita kerana berdasarkan kajian otak wanita lebih kompleks.

"Malah mereka juga lebih emosional menyebabkan sukar untuk mengawal tekanan yang dihadapi termasuk membabitkan masalah pekerjaan, rumah tangga, anak-anak dan sebagainya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Noor Rabbiatul Adawiyah turut mengakui ada dalam kalangan pesakit mendapatkan bantuannya kerana sudah tidak mampu mengawal tekanan sehingga sudah putus harapan untuk meneruskan kehidupan.

"Dengan kata lain, pesakit seolah-olah mahu membunuh diri. Ada juga yang sudah mengelar pergelangan tangan kerana sudah tidak mampu mengawal tekanan.

"Menerusi panggilan telefon saya bantu pesakit ini untuk kembali tenang dengan mengawal tekanan yang dialami," katanya.

Noor Rabbiatul Adawiyah berkata, rawatan tepuk-tepuk adalah salah satu kaedah terapi dijalankan membantu mengurangkan rasa stres yang dialami pesakit.

ANTARA jenis kayu yang digunakan. FOTO: Yusni Ariffin
ANTARA jenis kayu yang digunakan. FOTO: Yusni Ariffin

"Asalnya rawatan tepuk-tepuk diambil dan diubah suai daripada teknik tapping EFT (Emotional Freedom Technique).

"Menerusi sedikit ilmu dan kemahiran merasa pergerakan tenaga tubuh, saya kaji semula setiap satu 'point' ini dan rasakan kesan aliran tenaga itu.

"Apabila saya dah pasti bagaimana aliran tenaga ini bekerja, saya mula perkenalkan teknik ini kepada kawan-kawan rapat saya dan pesakit yang sudah biasa dengan saya. Hasilnya, ramai yang berpuas hati," katanya.

Terdahulu, sebelum rawatan dijalankan beliau akan menemu bual pesakit untuk mengenal pasti punca sebenar tekanan yang dihadapi.

"Daripada situ, kita dapat tentukan point yang sesuai untuk membuat tepukan bagi menolak aliran tenaga yang tidak bergerak," katanya.

Tambahnya, pesakit kemudian akan diminta menepuk beberapa bahagian seperti di atas kepala, telinga, dahi, dada dan sebagainya.

"Biasanya masalah berkaitan emosi terletak di bahagian dada, beban emosi di bahu dan fikiran di kepala.

TANGAN antara bahagian yang dikenal pasti terdapat ‘point’ yang dapat kurangkan stres. FOTO: Yusni Ariffin
TANGAN antara bahagian yang dikenal pasti terdapat ‘point’ yang dapat kurangkan stres. FOTO: Yusni Ariffin

"Ketika tepukan itu dibuat menggunakan hujung jari atau permukaan tapak tangan, pesakit akan diminta mengawal pernafasan dan lama kelamaan, pesakit akan berasa sama ada ingin muntah atau sendawa.

Pesakit akan terus berasa lega selepas aliran tenaga di dalam badan berjalan lancar sekali gus mengurangkan tekanan yang dialami pesakit," katanya.

Beliau berkata, masalah mengawal stres bukan berpunca daripada keturunan sebaliknya dialami oleh mereka yang tertekan namun tidak menemui jalan keluar.

"Biasanya mereka sudah cuba mengawal stres namun sehingga satu tahap, mungkin sudah terlalu lama, mereka terpaksa mendapatkan bantuan perawat seperti saya untuk membantu melegakan tekanan yang dihadapi.

"Saya hanya membantu memberi panduan kepada pesakit dan semuanya bergantung kepada pesakit itu sendiri untuk membuat terapi kepada diri sendiri," katanya.

Katanya, kaedah rawatan ini boleh dijalankan oleh pesakit itu sendiri berdasarkan panduan yang diberikan.

Mengulas lanjut, Noor Rabbiatul Adawiyah, ada dalam kalangan masyarakat yang membuat tanggapan kaedah rawatan seperti ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:01 AM