MENERIMA anugerah sebagai pempengaruh terbaik di media sosial pada 2019. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
MENERIMA anugerah sebagai pempengaruh terbaik di media sosial pada 2019. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
Muhamaad Razis Ismail

MEMILIKI kerjaya di sebuah syarikat cari gali minyak terkemuka dengan gaji lumayan, sepatutnya wanita ini sudah boleh berpuas hati dengan pencapaian dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Salwa Mohd Salleh sanggup korbankan kerjayanya itu dengan berhenti kerja pada tahun 2013 untuk memberi tumpuan terhadap keluarganya selepas anak sulungnya berdepan masalah kesihatan.

Selepas itu untuk menampung perbelanjaan keluarga, Salwa mula berniaga secara kecil-kecilan sehingga menjadi antara usahawan wanita berjaya.

Apa tidaknya, dengan pencapaian dan pengalaman yang diperoleh ibu kepada empat anak ini diberi ruang oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memberi tunjuk ajar dan konsultasi kepada usahawan dan perniagaan kecil sederhana (SME) dalam bidang pemasaran dalam talian, penjenamaan dan penulisan kreatif.

Graduan Universiti Auckland, New Zealand ini baharu sahaja menamatkan pengajian sepenuh masa di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi.

Pada bulan depan, beliau yang tinggal di Putrajaya sudah merancang untuk membuat satu lagi sarjana dalam bidang pembelajaran inklusif dan istimewa.

TURUT dipanggil ke sekolah untuk memberi motivasi kepada pelajar. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
TURUT dipanggil ke sekolah untuk memberi motivasi kepada pelajar. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh

Salwa berkata, beliau bermula dengan membuat jualan tasbih secara dalam talian yang sesuai dijadikan sebagai cenderamata untuk pelbagai majlis.

"Pada masa sama, saya buat pelbagai perniagaan sampingan seperti mufin, kek cawan dan menjadi ejen wasiat. Semua saya lakukan asalkan dapat tampung perbelanjaan keluarga.

"Biarpun nampak sedikit tidak fokus, namun menerusi perniagaan ini banyak membantu memahami cara untuk berinteraksi dengan pelanggan dan prospek termasuk meyakinkan mereka dengan mencuba pelbagai teknik pemasaran," katanya.

Beliau berkata, bekerja di rumah sebenarnya mempunyai cabaran yang tersendiri yang perlu dihadapi oleh seorang wanita bergelar ibu sepertinya.

"Sebagai ibu dan isteri, mahu atau tidak memang saya tidak nafikan bekerja di rumah sentiasa ada

gangguan kecil.

"Misalnya, ketika sedang bekerja, saya perlu berhenti untuk siapkan kerja rumah seperti bersihkan rumah, basuh pakaian, memasak dan uruskan anak.

ANAK sentiasa menjadi keutamaan. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
ANAK sentiasa menjadi keutamaan. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh

"Namun saya anggap ini sebagai cabaran untuk menjadi lebih kreatif dan mengajar menjadi seorang yang mampu lakukan pelbagai kerja serentak dalam satu masa selain mendidik untuk mengurus masa dengan baik," katanya.

Dalam kesibukan tugasnya, Salwa dan suaminya yang juga seorang doktor perlu memberi perhatian kepada tiga daripada empat anaknya mempunyai masalah pembelajaran pelbagai.

Salwa berkata, antara hikmah berhenti kerja dan melakukan perniagaan di rumah, dia dapat melihat sendiri perkembangan anaknya.

Katanya, biarpun tiga daripada empat anak didiagnos berdepan masalah pembelajaran, beliau dan suami menerimanya dengan hati terbuka.

"Saya tidak anggap ini sebagai beban dan anak istimewa ini adalah anugerah yang diamanahkan Allah kepada kami sekeluarga.

"Kami sentiasa positif dan optimis dengan sentiasa lakukan yang terbaik untuk anak-anak kami," katanya.

Menurutnya, beliau dan suami memiliki jadual yang cukup ketat untuk memastikan keluarga, pekerjaan dan pengajian tidak terganggu.

"Saya dan suami masing-masing memiliki jadual yang cukup padat untuk pastikan aktiviti kami tidak bertembung.

"Pada masa sama, saya dan suami perlu bergilir-gilir membawa anak untuk temu janji dengan doktor di klinik dan hospital serta program intervensi.

"Alhamdulillah, biarpun kadangkala terpaksa menolak jemputan untuk memberi ceramah dan sebagainya, saya tidak ralat kerana dapat luangkan masa untuk anak-anak," katanya.

BERSAMA suami yang turut melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
BERSAMA suami yang turut melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh

MEMILIKI jadual padat untuk luangkan masa dengan keluarga. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh
MEMILIKI jadual padat untuk luangkan masa dengan keluarga. FOTO Ihsan Salwa Mohd Salleh

Tambahnya, rutin hariannya bermula seawal jam 4 pagi dengan menyiapkan pelbagai tugasan penting sebelum solat Subuh.

"Saya akan bangun lebih awal untuk selesaikan tugasan pelajaran atau pekerjaan termasuk menulis sebelum Subuh. Selepas itu saya akan kejutkan anak-anak dan siapkan mereka untuk ke sekolah sebelum bekerja.

"Pada sebelah petang, kami akan jemput anak di sekolah dan taska. Sebelah petang juga jika keadaan mengizinkan kami lakukan aktiviti riadah bersama-sama.

"Menjelang malam, selepas Maghrib, kami ajar anak mengaji dan lepas Isyak anak-anak sudah tidur," katanya.

Selain sibuk dengan kerjaya, keluarga dan pelajaran, beliau turut aktif mempromosikan kesedaran mengenai kanak-kanak yang berdepan masalah pembelajaran seperti anaknya menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, YouTube, Instagram.

"Sebenarnya masih ramai ibu bapa dan guru yang tidak mengetahui mengenai masalah pembelajaran sekali gus mengakibatkan anak tidak didiagnosis dengan baik.

"Ini seterusnya menyebabkan anak itu tidak mendapat intervensi yang sewajarnya dan tercicir dalam pembelajaran. Akhirnya mereka akan tersisih dalam masyarakat dan tidak mendapat peluang pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:00 AM