NASI dikepal antara ‘persembahan’ berbeza.
NASI dikepal antara ‘persembahan’ berbeza.
Nurul Husna Mahmud


BENTO dalam bahasa Jepun memberi makna satu saiz hidangan yang dibawa dari rumah. Tradisinya saiz hidangan itu mencukupi nutrisi lengkap lauk, sayur-sayuran selain pengambilan karbohidrat hingga pencuci mulut.

Budaya itu meluas di negara matahari terbit itu apabila suri rumah menyediakan hidangan dalam memastikan keluarga terutama anak-anak mendapat akses makanan sihat menerusi hidangan dari rumah.

Menariknya mengenai budaya ini ia bukan sahaja mementingkan hidangan seimbang, malah 'persembahan' turut menjadi seni dalam kalangan mereka yang menyediakan hidangan terbabit.

Gaya persembahan dalam penyediaan itu dipanggil 'kyaraben' (bento berkarakter) yang mana biasanya tema dipilih berdasarkan karakter popular daripada animasi, komik hinggalah permainan video.

Satu lagi gaya cukup popular ialah 'oekakiben' atau bento bergambar iaitu dekorasi mirip karakter individu, haiwan, bangunan, monumen atau bunga-bungaan.

MEMASTIKAN hidangan sihat dinikmati keluarga.
MEMASTIKAN hidangan sihat dinikmati keluarga.

Visual unik itu boleh menjadi tarikan kepada anak-anak untuk menikmati hidangan terbabit.

Bagi penyediaan makanan di Malaysia, boleh sesuaikan selera anak mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu 'suku-suku separuh' bagi memastikan khasiat anak-anak mencukupi untuk kekal cergas sepanjang hari.

Pilihan protein seperti ikan tuna yang bukan sahaja kaya kalsium, malah ia juga mengandungi Omega-3 dan DHA memberikan khasiat penting kepada kanak-kanak.

KANAK-kanak akan tertarik dengan hiasan bento.
KANAK-kanak akan tertarik dengan hiasan bento.

Berikut adalah tip boleh dijadikan panduan dalam penyediaan bento:

1. Pelbagaikan variasi warna supaya hidangan makanan nampak menarik.

2. Gunakan ramuan yang disukai kanak-kanak seperti jagung, lobak merah, tomato dan suai dengan cita rasa mereka.

3. Pelbagaikan variasi salad atau buah-buahan untuk membantu anak-anak belajar makanan segar.

4. Saiz hidangan penting. Biar kecil, tetapi mengandungi pelbagai variasi untuk pelbagaikan sumber nutrien.

BEKAS cantik juga antara konsep boleh menarik perhatian anak-anak untuk menikmati sajian.
BEKAS cantik juga antara konsep boleh menarik perhatian anak-anak untuk menikmati sajian.

5. Potong makanan kepada saiz lebih kecil dan sebaiknya dalam saiz setiap satu suapan. Pelbagaikan jenis potongan atau teknik penyediaan seperti kepal, gulung dan sebagainya.

6. Penyediaan makanan itu juga perlu dilakukan mengikut tempoh selamat untuk dimakan iaitu tiga hingga empat jam.

7. Bagi penyediaan sajian segar seperti salad dan buah, pastikan dibasuh terlebih dahulu.

8. Siapkan keperluan kulteri iaitu sudu dan garfu selain pisau kecil. Jangan lupa juga tisu basah atau napkin memastikan anak selesa sepanjang menikmati sajian
terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:40 AM