PADANAN warna dan gaya ketika bertudung mampu menyerlahkan si pemakai.
PADANAN warna dan gaya ketika bertudung mampu menyerlahkan si pemakai.
Hafiz Ithnin


KINI, kepelbagaian cara pemakaian tudung menjadikan penampilan seseorang Muslimah itu lebih tampak ayu, malah mempunyai aura tersendiri apabila berada di hadapan khalayak khususnya yang berkerjaya.

Bagi yang bekerja di pejabat tentunya dari pagi hingga petang. Malah, ada juga wanita berkerjaya perlu menghadiri pelbagai acara sehingga ke malam, pastinya gaya dan keselesaan tudung menjadi perkara yang amat diberi perhatian.

Perunding Gaya Tudung, Fyrose Zainuddin berkata, gaya 'clean and cut' yang tampak ringkas kurang menggunakan jarum atau pin boleh dijadikan pilihan wanita bekerjaya terutama yang berada di pejabat sehingga malam kerana perlu menghadiri acara atau mesyuarat.

Jelasnya, gaya 'clean and cut' itu juga memudahkan si pemakai untuk membuka dan memakai kembali tudung jika perlu terutama untuk mereka yang ingin menunaikan solat dan dalam masa sama mahu memastikan gaya tudung dalam keadaan baik.

"Pemilihan tudung jenis bawal atau selendang juga boleh disarankan kerana apabila wanita itu berada di pejabat atau bekerja terlalu lama, mereka inginkan sesuatu yang ringkas, tampak cantik dan pastinya gaya tudung itu memberikan keselesaan sepanjang hari. Apatah lagi, jika hendak solat, ia perlu dibuka dan dipakai semula dengan segera.

"Jadi, pemilihan gaya yang ringkas dan tidak memerlukan terlalu banyak pin atau jarum amat disarankan supaya ia mudah sahaja untuk dipakai kembali. Pemilihan tudung siap pakai juga yang kini pelbagai gaya di pasaran boleh menjadi pilihan golongan bekerjaya," katanya.

Fyrose berkata, pemilihan jenis kain tudung juga amat penting kerana ia bukan sahaja mampu memberi keselesaan kepada si pemakai, malah jika tersilap memilih jenis kain seperti terlalu tebal boleh memberi kesan kepada kurang pendengaran.

PEMAKAIAN tudung ke pejabat perlu selesa dan dalam masa sama tidak mengetepikan gaya.
PEMAKAIAN tudung ke pejabat perlu selesa dan dalam masa sama tidak mengetepikan gaya.

"Jenis kain yang tipis, mampu melindungi rambut dan tidak panas amat disarankan kepada wanita bekerjaya yang berada lama di tempat kerja kerana kita tidak mahu disebabkan pemilihan kain yang salah mengakibatkan rasa kurang selesa seperti kepala menjadi berpeluh dan ia boleh menyebabkan rambut rosak.

"Paling utama, jangan kerana terpedaya dengan gaya pin tudung tebal menyebabkan kita merasakan ia sesuai dipakai untuk jangka panjang ke pejabat kerana ia boleh menyebabkan kita bukan sahaja terasa panas, malah mengganggu pendengaran. Jangan kerana tampak bergaya, tetapi bila orang bercakap kita tidak dapat dengar," katanya.

Tambahnya, pemilihan anak tudung juga amat penting kerana ia juga memberi keselesaan kepada si pemakai. Sebaiknya gunakan anak tudung yang mempunyai ciri-ciri memeri supaya tidak menyakitkan cuping telinga apabila pakai terlalu lama.

"Pemilihan warna anak tudung juga penting bagi membantu ia nampak serasi dengan warna tudung. Contohnya, jika tudung berwarna lembut seperti merah jambu kusam, pastikan anak tudung juga berwarna yang sama atau hampir sama kerana kita tidak mahu gabungan itu kelihatan pelik apabila digabungkan bersama.

ADA pelbagai cara lilitan dan ikatan untuk bertudung.
ADA pelbagai cara lilitan dan ikatan untuk bertudung.

"Dalam almari juga sebaik-baiknya mempunyai beberapa helaian anak tudung berwarna nude kerana ia amat mudah untuk digabungkan dengan pelbagai warna tudung. Selain itu, warna anak tudung seperti hitam dan putih juga perlu ada dalam koleksi kerana turut mudah disuai padan," katanya.

Tambahnya, wanita bertudung juga sentiasa mengalami masalah kain tudung rosak akibat tergarit pin atau berlubang kerana jarum yang menyebabkan kelihatan amat ketara apabila dipakai.

"Di pasaran sebenarnya sudah ada jenis pin jenis magnet yang amat membantu menyelesaikan masalah kerosakan tudung kerana pin atau jarum. Selain itu, mengurangkan penggunakan pin atau jarum dalam penggayaan tudung.

"Tambahan, ada juga aksesori seperti cincin yang bukan sahaja mampu menjadi penyeri, malah membantu ikatan tudung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:45 AM