AKTIVITI di dalam hutan dapat memberi ketenangan kepada Suraya.
AKTIVITI di dalam hutan dapat memberi ketenangan kepada Suraya.
Hafizi Ithnin


"Saya sangkakan kursus itu lebih kepada bentuk motivasi. Namun, tidak menyangka ia adalah kursus menjadi pemandu pelancong alam semula jadi yang perlu berada di dalam hutan selama 15 hari.

"Malah, cara kami dilatih juga amat tegas termasuk perlu masuk ke dalam hutan pada sebelah malam. Apatah lagi, saya ini jenis yang penakut! Tetapi itulah katanya 'jodoh pandang pertama," kongsi Suraya Maulana mengenai kisah permulaannya menjadi pemandu pelancong alam semula jadi sejak 2005.

Wanita itu yang mesra disapa Suraya berkata, daripada perasaan takut berada di dalam hutan sekitar 15 tahun lalu, kini jiwanya dan pekerjaan itu sudah sebati. Apatah lagi, dapat memberi kepuasan kepada pengunjung yang menggunakan khidmatnya untuk menerokai Taman Negara Pulau Pinang.

Suraya berkata, menjadi pemandu pelancong alam semula jadi yang sememangnya jarang disertai kaum hawa sebenarnya menyeronokkan jika seseorang itu mempunyai minat mendalam untuk menerokai alam semula jadi.

Katanya, meskipun pemandu pelancong alam semula jadi sinonim dengan golongan lelaki, namun tidak bermaksud golongan wanita tidak mampu melakukan pekerjaan itu kerana pengalaman dan pengetahuan menjadi aspek paling utama.

Jelasnya, tugas pemandu pelancong alam semula jadi mempunyai cabaran tersendiri kerana mereka perlu tahu selok belok laluan di dalam hutan, mengetahui mengenai spesies hidupan flora dan fauna dan paling penting tahu memberi penerangan sebaiknya kepada pengunjung.

"Pengetahuan menjadi pemandu pelancong alam semula jadi ini penting kerana kita membawa pengunjung yang mempunyai pelbagai latar belakang, dari golongan pelajar sehingga pengkaji.

PELANCONG yang dibawa Suraya terdiri daripada pelbagai latar belakang.
PELANCONG yang dibawa Suraya terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Jika kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara itu dan tidak membuat kajian awal, pastinya akan terasa malu kerana pengunjung menjadikan kita ini sebagai sumber mereka untuk mendapatkan maklumat," katanya yang amat berterima kasih kepada pihak Taman Negara Pulau Pinang kerana memberi peluang kepadanya menjadi pemandu pelancong alam semula jadi.

Suraya berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila dia membawa sepasang pelancong dari luar negara yang gemar melihat habitat burung di Taman Negara Pulau Pinang.

Jelasnya, ketika dia bertanya sejauh mana minat mengenai hidupan yang mereka ingin lihat di dalam Taman Negara, pasangan itu tidak memberikan jawapan khusus dan hanya menjawab ingin 'lihat-lihat sahaja.'

"Saya tidak tahu sebenarnya pasangan itu adalah pengkaji burung dan mereka datang ke Taman Negara untuk melihat habitat burung di dalam Taman Negara ini. Kebetulan, ketika mereka datang adalah musim penghijrahan sekumpulan burung dari benua lain ke sini dan mereka bertanyakan saya mengenai burung berkenaan.

"Saya tidak tahu dan sudah pasti merasa agak malu kerana tidak dapat memberikan jawapan kepada mereka. Sebaik sahaja pulang, pelancong itu menawarkan saya dua perkara iaitu sama ada wang (tips) atau buku mengenai burung. Saya memilih buku kerana ia lebih membantu saya pada masa depan," katanya.

Suraya berkata, sepanjang kariernya sebagai pemandu pelancong alam semula jadi di Taman Negara paling terkecil di dunia berkenaan, dia juga sentiasa mencari ilmu dalam menguasai bahasa asing.

Katanya, penguasaan bahasa amat penting bagi memudahkan dia berkomunikasi lebih selesa dengan pelancong asing khasnya. Disebabkan itu, dia mengambil kelas untuk mempelajari bahasa Perancis.

MENYERTAI pelbagai kursus dapat meningkatkan mutu kerjayanya sebagai pemandu pelancong alam semula jadi.
MENYERTAI pelbagai kursus dapat meningkatkan mutu kerjayanya sebagai pemandu pelancong alam semula jadi.

"Saya juga boleh memahami bahasa Hokkien. Selain itu, penguasaan Bahasa Inggeris sudah tentu amat penting. Apatah lagi, jika kita perlu memberi penerangan kepada 'tetamu' asing dan saya tidak mahu mereka pulang dengan membawa maklumat tidak boleh difahami atau tidak menjawab pertanyaan.

"Tambahan pula, apabila kita boleh bercakap dengan bahasa asing yang mereka selesa, ia menjadikan hubungan dengan pelancong ketika di dalam hutan itu lebih baik kerana kita boleh bersembang dengan mereka," katanya.

Malah dia mengakui pernah berdepan dengan detik mencabar sepanjang kariernya sebagai pemandu pelancong alam semula jadi apabila kakinya tercedera dan perlu berehat selama tiga bulan.

"Kejadian itu berlaku pada 2012. Namun sedikit pun tidak menjadikan saya serik untuk meneruskan pekerjaan ini.

"Bagi saya hutan dan laut sudah sebati dengan jiwa. Kadangkala apabila tidak masuk ke dalam Taman Negara seluas 2,562 hektar itu merasakan sesuatu tidak lengkap," katanya yang membawa pelancong tidak kurang tiga kali seminggu ke Taman Negara.

TURUT menjadi pemandu pelancong alam semula jadi dalam kumpulan yang besar.
TURUT menjadi pemandu pelancong alam semula jadi dalam kumpulan yang besar.

Suraya berkata, dia juga bertuah kerana suami, Mohd Salleh Din tidak pernah menghalang minatnya menjadi pemandu pelancong alam semula jadi kerana memahami jiwanya yang cintakan hutan dan laut.

"Sebenarnya suami juga pada awal saya menyertai kursus sebagai pemandu pelancong, dia tahu mengenai latihan itu. Namun, dia tidak memberitahu mengenai cabaran yang perlu saya hadapi dan hanya izinkan sahaja.

"Selepas suami pencen, dia juga menjadi pemandu pelancong alam semula jadi dan tidak kekok kerana sudah biasa dengan aktiviti menerokai hutan sebelum saya berkecimpung dalam bidang ini lagi," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 7:00 AM