AF kerap dikesan dalam kalangan individu berusia lebih 65 tahun dan wanita.
AF kerap dikesan dalam kalangan individu berusia lebih 65 tahun dan wanita.
Muhamaad Razis Ismail

Tahukah anda, jantung rasa berdebar dan berdegup pantas tanpa sebab antara petanda anda menghidap penyakit Atrial Fibrillation (AF).

Sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menjadi punca serangan angin ahmar.

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Am di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz berkata, AF adalah penyakit yang memberi kesan kepada pengaturan nadi.

"Penyakit ini lebih kerap dijumpai dalam kalangan individu berusia lebih daripada 65 tahun dan lebih banyak dikesan dalam kalangan wanita.

"Perkara ini berlaku berikutan secara purata jangka hayat wanita lebih tinggi daripada lelaki. AF lebih cenderung terkena kepada individu yang lebih berusia," katanya.

Katanya, dalam jantung terdapat satu bahagian dipanggil atrium yang terletak di bahagian atas jantung dan ada sekelompok sel di bahagian atrium ini yang menentukan rentak nadi kita agar sekata.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

"Nadi yang sekata membolehkan darah mengalir dengan lancar dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain di dalam jantung. Bagaimanapun penyakit AF ini mengakibatkan bahagian atrium ini tidak berfungsi dengan sempurna, seterusnya menyebabkan nadi tidak sekata (sekejap berdegup pantas dan sekejap berdegup perlahan).

"Apabila ini terjadi, pengaliran darah di dalam jantung tidak lancar, lalu menyebabkan pembentukan darah beku dalam jantung. Sekiranya darah beku ini keluar dari jantung, ia boleh tersekat di saluran darah di otak dan menyebabkan penyakit lumpuh atau serangan angin ahmar," katanya.

Beliau berkata, risiko menghidap penyakit AF ini meningkat dengan usia dan biasanya berlaku dalam kalangan individu yang memang mempunyai masalah jantung.

"Antara masalah jantung yang dikaitkan dengan penyakit AF ini adalah masalah jantung akibat tekanan darah tinggi, serangan sakit jantung, jantung yang lemah, masalah injap jantung dan pernah menjalani pembedahan jantung.

"Terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan penyakit AF termasuk mengambil alkohol, masalah tiroid, pengambilan ubat penyakit lelah, masalah tidur berdengkur, masalah pernafasan, berat badan berlebihan, kencing manis dan masalah buah pinggang," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa simptom ringan penyakit ini antaranya jantung berdebar, dada kurang selesa dan terasa jantung atau denyutan nadi menjadi laju selain pening serta kesukaran bernafas terutama ketika bersenam.

NEKAD memandu sendiri untuk mengambil bekalan sayur-sayuran di Cameron Highlands.
NEKAD memandu sendiri untuk mengambil bekalan sayur-sayuran di Cameron Highlands.

MAMPU memiliki kedai untuk menjual bekalan sayur kepada pelanggan.
MAMPU memiliki kedai untuk menjual bekalan sayur kepada pelanggan.

"Untuk petanda yang serius, anda tidak boleh bernafas dengan lancar, pitam atau pengsan, sakit dada dan keletihan yang melampau.

"Sekiranya mengalami simptom ini, anda disyorkan ke klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan nasihat, menjalani ujian dan mendapatkan rawatan jika perlu," katanya.

Mengulas lanjut, penyakit AF meningkatkan risiko seseorang itu menghidap penyakit strok atau penyakit lumpuh.

"Ini kerana AF boleh menyebabkan kejadian darah beku dalam jantung yang boleh terlepas ke saluran darah di otak.

"Bahagian otak yang terputus bekalan darah akibat 'sumbatan' darah beku ini akan mula rosak dan menyebabkan pelbagai tanda seperti lumpuh, kesukaran bercakap dan masalah dengan memori," katanya.

Tambahnya, penyakit AF dikesan melalui ujian ringkas electrocardiogram atau lebih dikenali sebagai ECG untuk merakamkan aktiviti elektrik di permukaan jantung

"Ada situasi di mana ECG untuk tempoh masa yang lebih panjang seperti 24 hingga 72 jam diperlukan untuk mengesan AF. Ujian sonarbunyi atau echocardiogram juga sering dibuat untuk memeriksa struktur jantung dan injap jantung.

"Ujian darah untuk mencari sebab berlakunya AF juga sering dilakukan, contohnya untuk menguji tahap hormon tiroid atau kandungan garam galian seperti kalsium, magnesium dan sebagainya," katanya.

PETUGAS kesihatan melakukan saringan Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth II, Sabah. FOTO ihsan KKM
PETUGAS kesihatan melakukan saringan Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth II, Sabah. FOTO ihsan KKM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 7:00 AM