WANITA perlu wujudkan satu ruang selesa.
WANITA perlu wujudkan satu ruang selesa.
Nurul Husna Mahmud

Peningkatan kes Covid-19 dari tiga ke empat angka baru-baru ini membuatkan langkah memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di zon merah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan menetapkan sebahagian besar kumpulan pekerja bekerja dari rumah (BDR).

Budaya BDR bertujuan mengurangkan pergerakan sekali gus mengawal penularan pandemik itu turut dikatakan mempengaruhi kecekapan dan kualiti pekerja, sedangkan dari sudut tertentu ia memberi kesan kepada psikologi individu itu.

Melihat kesan kepada wanita pula terutama yang bekerjaya dalam masa sama terpaksa menguruskan hal keluarga dalam tempoh itu.

Biarpun suami sering membantu berkongsi tugas menguruskan keluarga, namun wanita kebanyakannya masih bergelut dengan isu pengurusan anak-anak masih kecil termasuk pengendalian pembelajaran secara dalam talian.

Tidak hairanlah wanita ada yang berpotensi untuk mengalami tekanan apabila melalui fasa BDR.

Tip yang dikongsi Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani ini dilihat boleh membantu wanita menangani tekanan.

Katanya, tekanan itu lebih dirasai wanita bergelar ibu tunggal yang memikul pelbagai peranan serentak.

"Cabaran lebih besar turut dihadapi wanita yang bergelar ibu tunggal.

LATIH anak berdikari atau bantu kerja rumah yang mudah.
LATIH anak berdikari atau bantu kerja rumah yang mudah.

"Bukanlah satu tugas yang mudah bagi wanita untuk mengurus tugas pejabat, mengurus anak kecil serta mengurus sekolah di rumah bersama anak-anak pada masa serentak.

"Semua tugas dan tanggungjawab ini boleh mendatangkan stres kepada diri jika tidak ditangani dengan sewajarnya," katanya.

Antara tip dikongsi termasuk pengurusan kerja pejabat dari rumah seperti:

1.Bangun awal pagi dan mulakan tugas sebelum anak-anak kecil bangun dan mula aktif.

2.Pastikan anda mempunyai tempat untuk membuat kerja pejabat. Anak-anak yang bersekolah juga perlukan ruang belajar. Tidak semestinya bilik khusus, boleh lakukan kerja atau belajar sama ada di dapur atau di ruang tamu mengikut keselesaan dengan gangguan paling minimum.

3. Bersedia untuk bekerja secara fleksibel. Jangan buat diri anda tertekan, bersedia ambil masa seketika untuk berinteraksi dengan anak dan pasangan sambil bekerja supaya hubungan dengan mereka kekal baik.

4. Kekalkan fokus anda. Sekiranya tidak dapat fokus menyelesaikan kerja pejabat untuk tempoh lapan jam seperti kebiasaan di pejabat, jangan bimbang ia adalah perkara biasa, sekurang-kurangnya sebahagian kerja itu berjaya dilakukan. Lakukan dengan fleksibel, kurangkan tekanan dengan bekerja sambil mendengar siaran radio atau membaca maklumat dari internet bagi mengetahui perkembangan semasa. Dengan cara ini produktiviti kerja masih boleh dikekalkan. Ingat jangan terlalu mengharap kesempurnaan.

ANAK perlu ada ruang dan aktiviti sendiri.
ANAK perlu ada ruang dan aktiviti sendiri.

5. Ambil masa berehat sebentar sekurang-kurangnya 15 minit untuk setiap dua atau tiga jam. Selain makan tengah hari, boleh lakukan pergerakan seperti berjalan untuk menggerakkan otot badan.

DR Munzilah
DR Munzilah

Sementara itu bagi pengurusan anak dan keluarga Dr Munzilah menyarankan kaedah atau pendekatan berikut:

1. Mereka yang mempunyai anak kecil, jangan fikirkan kesempurnaan. Kesempurnaan itu memang baik tetapi menjadi terlalu sempurna itu kadangkala akan memberi tekanan kepada diri sendiri dan anggota keluarga yang lain. Adalah normal jika keadaan rumah bersepah seketika, biarkan anak-anak bermain selagi mereka tidak membahayakan diri sendiri.

2. Pastikan anak anda sentiasa sibuk dengan aktiviti mereka. Rancang pelbagai aktiviti anak supaya mereka fokus kepada aktiviti itu sekurang-kurangnya dalam tempoh anda melakukan kerja penting.

3. Ajar anak supaya bersama-sama membantu dalam urusan rumah tangga.

Anak-anak seawal umur empat tahun boleh diajar untuk menyimpan barangan permainan selepas mereka bermain.

ANAK -anak belajar atas talian.
ANAK -anak belajar atas talian.

Anak yang berumur tujuh tahun ke atas boleh membantu melakukan kerja rumah seperti menyapu sampah, membasuh, menyidai baju dan lain-lain.

4. Buat jadual tugasan di samping jadual belajar harian anak-anak yang bersekolah. Pastikan mereka juga bangun awal pagi seperti kebiasaan hari persekolahan dan mulakan tugasan harian dan belajar pada awal pagi. Ajar mereka untuk membuat semakan kerja-kerja sekolah oleh guru yang perlu disiapkan. Semak kerja mereka selepas kerja pejabat anda selesai.

5. Ajar anak-anak untuk menyediakan makanan sendiri atau membantu anda menyediakan makanan dengan masakan mudah.

Ajar anak-anak mengikut keupayaan umur mereka menggunakan peralatan dapur mudah dan selamat seperti 'airfyer.'

6. Sekiranya anak masih kecil dan tidak dapat membantu, lakukan kerja rumah seperti membasuh dan memasak pada sebelah malam dan dapatkan bantuan suami untuk melakukan sebahagiannya. Suami isteri perlu bekerjasama. Anda boleh juga memasak secara pukal dan simpan makanan itu dalam peti sejuk beku, anda hanya perlu panaskan untuk hidang ketika diperlukan. Ini lebih menjimatkan masa!

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:00 AM