HOSPITAL Umra di Shah Alam.
HOSPITAL Umra di Shah Alam.

HOSPITAL Umra mengorak langkah ke hadapan dengan memasang panel solar di bumbung bangunan hospital itu dalam usaha menjadi pusat perubatan mesra alam di negara ini.

Idea dicetuskan oleh Pengarah Perubatan Hospital Umra Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal itu sebagai inisiatif menggalakkan lebih banyak hospital melakukan perkara sama.

"Dengan bajet 2020 yang dibentangkan pada akhir tahun lalu, kerajaan memberikan insentif berkaitan dengan Tenaga Boleh Guna Semula atau Reusable Energy (RE).

"Hospital Umra membuat keputusan memulakan perjalanannya menjadi hospital rumah hijau pertama dengan menerapkan penggunaan panel solar sebagai hasil dari insentif ini.

"Kami menghabiskan beberapa bulan meninjau syarikat untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan dan akhirnya, kami memilih Verdant Solar Sdn Bhd sebagai syarikat bertanggungjawab mengendalikannya," katanya di hospital berkenaan.

Dr Mohamed Rafi berkata, pemasangan panel solar bagi menghasilkan tenaga solar itu turut mempromosikan rumah hijau kepada pelanggan atau pesakit mengunjungi hospital berkenaan.

"Tenaga solar dapat meminimumkan pembakaran bahan api fosil serta menghasilkan tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui dari matahari dan memberi manfaat kepada alam sekitar.

"Tenaga solar juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, malah ia dapat mengurangkan masalah kesihatan dari segi pernafasan dan kardio," katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan, projek pelaksanaan pemasangan panel solar pada bumbung hospital berkenaan dibahagikan kepada dua fasa.

"Fasa pertama terdiri daripada penyediaan sistem 20.24kWp terdiri 46 Modul PV Suria dan selepas keadaan ekonomi stabil nanti, kami akan bermula dengan fasa kedua dengan anggaran sistem 80kWp.

DR Mohamed Rafi (kiri) menerima sijil penghargaan pemasangan sistem tenaga solar daripada Zeth Lim di Hospital Umra, Shah Alam.
DR Mohamed Rafi (kiri) menerima sijil penghargaan pemasangan sistem tenaga solar daripada Zeth Lim di Hospital Umra, Shah Alam.

"Fasa pertama bermula pada 3 Ogos lalu dan disasarkan diimplentasikan pada 3 Disember lalu, tetapi dengan kecekapan yang ditonjolkan oleh hospital dan Verdant Solar, kami berjaya mengaktifkan dan menghidupakan panel solar yang dipasang itu dua minggu lebih awal," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya memahami terdapat beberapa kriteria lagi sebelum merancang memperkenalkan Hospital Umra sebagai hospital hijau dalam masa terdekat.

"Kami sudah memulakan beberapa usaha bersama kakitangan serta memantau dengan teliti untuk memastikan segala usaha dilaksanakan berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, dalam sektor perubatan, ada beberapa keterbatasan peralatan yang boleh digunakan kembali atau dikitar semula dalam usaha memastikan kebersihan terjaga tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pesakit dan staf.

"Oleh itu, kami menggalakkan kakitangan kami untuk menggunakan barang mereka sendiri seperti alat makan dan bekas untuk mengurangkan plastik, kertas dan pembaziran styrofoam bertujuan untuk menjaga kesihatan persekitaran kita.

"Hospital Umra sangat komited dalam usaha memastikan kesembuhan dan kesihatan semua pesakit serta melindungi persekitaran tempat kita tinggal," katanya.

Sementara itu, Pengarah Verdant Solar Sdn Bhd, Zeth Lim berkata, pihaknya berbangga kerana dipilih dan menghargai usaha Hospital Umra untuk mengambil inisiatif melaksanakan sistem tenaga solar.

"Kami berharap hospital swasta di luar sana akan menjadikan Hospital Umra sebagai contoh dalam usaha membantu menghijaukan alam semula jadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:18 AM