NOVEL tulisan Mazni Othman miliki magis tersendiri dalam kalangan pembaca.
NOVEL tulisan Mazni Othman miliki magis tersendiri dalam kalangan pembaca.

DRAMA rantaian popular Sayangku Kapten Mukhriz pernah disiarkan dalam slot Akasia TV3 beberapa tahun yang lalu.

Malah drama terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd itu sebenarnya diadaptasikan dari sebuah novel bertajuk Anugerah Terindah yang ditulis novelis dikenali sebagai Sophilea.

Sophilea atau nama sebenarnya Mazni Othman, 39, adalah anak jati Felda Lasah Sungai Siput (U), Perak.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu sejak dibangku sekolah lagi begitu meminati dunia penulisan kreatif.

Sophilea secara jujurnya mengakui drama Sayangku Kapten Mukhriz memberi impak dan makna yang cukup besar buat dirinya.

"Nama saya mula dikenali ramai apabila wujudnya kumpulan media sosial yang besar ketika drama berkenaan ditayangkan.

"Pembaca novel terutamanya yang baru mula mencari karya-karya saya sebelum ini. Sebagai penulis saya sangat sukakan karya Anugerah Terindah kerana bagi saya ia cukup rencah di dalamnya.

"Novel ini padat dengan nilai keagamaan, kekeluargaan dan persahabatan di samping turut memaparkan kerjaya seorang pegawai perubatan serta pegawai tentera," katanya.

BERSAMA suami ketika menghadiri Anugerah Telenovela 2017.
BERSAMA suami ketika menghadiri Anugerah Telenovela 2017.

Menurutnya, dia mula berkecimpung dalam dunia penulisan selepas membaca karya Ruby Hazri bertajuk Kopi Susu Sepatu Biru.

Sebaik sahaja mendirikan rumah tangga, dia mengikut suami Ahmad Daud Duamin yang ketika itu berkhidmat dalam Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Lumut.

"Sekitar tahun 2004 saya menulis naskhah pertama, Samudera Indah Nian yang mengisahkan kehidupan tentera laut di Lumut. Saya masih ingat lagi betapa gembiranya menerima emel gambar muka depan novel itu daripada pihak penerbit Jemari Seni.

"Ketika itu saya tidak mempunyai laman sosial sendiri. Disebabkan saya sudah bertukar nombor telefon pihak penerbit tidak dapat menghubungi saya untuk memaklumkan yang mereka akan menerbitkan manuskrip itu.

"Entah bagaimana pada suatu hari saya tergerak hati untuk membaca emel. Pada tahun 2009 Samudera Indah Nian adalah naskah pertama saya diterbitkan. Sejak itu minat saya untuk berkarya terus bercambah,' katanya.

Sehingga kini, Sophilea sudah berjaya menulis sebanyak 42 novel dan travelog. Kebanyakan karyanya berlatarkan dunia tentera laut kerana persekitaran hidup yang dilalui di TLDM Lumut selepas berkahwin.

SEBAHAGIAN daripada karya yang dihasilkan.
SEBAHAGIAN daripada karya yang dihasilkan.

ANTARA poster adaptasi karyanya.
ANTARA poster adaptasi karyanya.

Antara karya yang lain dihasilkan Sophilea ialah Sweetnya Dia, Nota Buat Cempaka, Cintaku Seluas Samudera Biru, My Sweet Cik Leftenan, Seteguh Grahara, Bukan Sekadar Lafaz, Cinta Dari Baitullah, Travelog Aku Makcik Navy, Cikgu Kan Kugari Hatimu, Soulmate serta Do You Love Me, Captain.

Novel hasil garapan Sophilea sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pembaca setianya. Ada kalanya novel penulis itu perlu diulang cetak demi memenuhi permintaan luar biasa pembaca.

Gaya penulisannya begitu bersahaja, mudah difahami dan mengasyikkan. Sophilea dilihat bijak membuai hati pembaca berdasarkan jalan cerita yang diolahnya. Bagi Sophilea, penulisan itu melambangkan jiwa.

Selain Anugerah Terindah, terdapat dua lagi karyanya yang turut terpilih untuk diadaptasi iaitu Nota Buat Cempaka dan Pengantin 1 Malam.Kedua duanya terbitan A10 Alliance Sdn Bhd dan menjadi 'trending' di media sosial.

Lebih membanggakan, Sophilea pernah menerima Anugerah Karya Mewangi Sepanjang Zaman 2015, Anugerah Penulis Prolifik Intens Idea 2015, Anugerah Sekuel Terunggul untuk karya Dia Yang Terindah 2015.

Pengalaman paling indah apabila tercalon lima teratas dalam Anugerah Telenovela selain bersaing bersama barisan penulis lain yang tidak kurang hebatnya.

FOTO bahagia Sophilea bersama keluarga tercinta.
FOTO bahagia Sophilea bersama keluarga tercinta.

"Kenangan manis buat diri saya juga apabila memenangi kategori Novelis Seram Terbaik melalui karya Kerana Kau Aku Kembali menerusi Anugerah Buku Negara 2018," katanya.

Menceritakan perkembangan terbaru, Sophilea berkata Misi Lockdown Hati Dia adalah novel yang ditulis ketika seluruh negara melalui dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid -19.

"Ia sebagai tanda penghargaan segala jasa baik dan pengorbanan barisan hadapan yang bertugas tanpa jemu dalam usaha menjaga kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia.

"Saya juga sentiasa berpesan pada diri sendiri untuk menulis perkataan yang baik - baik kerana semua itu akan ditanya kembali pada kita pada satu hari nanti. Sebagai penulis binalah identiti sendiri.

Identiti ini penting untuk membezakan corak penulisan kita dengan penulis lain," katanya.

Sophilea juga tidak terkecuali mempunyai penulis idola seperti kebanyakan orang. Antaranya Nor Suraya, Hamka dan Kang Abid (Habibirahman El Shirazy).

"Impian saya, ingin melebarkan sayap sehingga ke negara jiran seperti Indonesia. Kalau diizinkan Allah, saya mahu karya diterjemahkan ke bahasa Indonesia seterusnya mendapat tempat di hati pembaca di negara itu," katanya sebelum mengakhiri temu bual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 7:01 AM