TOPIK penyelidikan Dr Rabiah ketika menyambung pengajian PHD adalah identifikasi mayat yang terbakar melalui DNA yang diperoleh dari gigi mangsa kebakaran.
TOPIK penyelidikan Dr Rabiah ketika menyambung pengajian PHD adalah identifikasi mayat yang terbakar melalui DNA yang diperoleh dari gigi mangsa kebakaran.
Hafiz Ithnin


"SYUKUR,setakat ini saya tidak pernah tidak dapat tidur malam. Walaupun melihat pelbagai rupa mayat tanpa identiti, tetapi itu dinamakan kerjaya. Kita perlu menghormati si mati.

"Tidak perlu ada rasa bias, walaupun dia melakukan jenayah sebesar mana pun, sebagai individu yang melakukan penyiasatan kita perlu bersifat profesional,"

kata pakar forensik pergigian berusia 33 tahun itu.

Bagi pemilik nama Dr Rabi'ah Al-Adawiyah Rahmat dia antara tujuh pakar forensik pergigian yang ada di Malaysia ketika ini. Daripada jumlah itu hanya tiga orang kaum hawa menyertai bidang itu.

Sengaja penulis bertanyakan mengenai kerisauan beliau kali pertama melihat mayat yang tidak lengkap, apatah lagi mangsa jenayah, jelasnya ringkas, tidak perlu wujud rasa takut kerana ia adalah tugas yang diamanahkan.

"Setakat ini mungkin lebih 100 kes saya terbabit dalam mencari identiti seseorang itu selepas kematian mereka disebabkan jenayah, kemalangan dan kanak-kanak tidak diketahui identiti mereka.

"Jika ditanya perkara paling mengerikan, bagi saya semuanya mempunyai keunikan tersendiri. Namun, dari segi cabaran itu berbeza kerana ada juga yang perlu saya sendiri mencari gigi yang tertinggal dalam tong sampah akibat mangsa mati dibunuh dan ada juga sudah berulat kerana terlalu lama," kata pakar itu yang lebih mesra disapa Dr Rabiah.

Katanya, dia juga pernah berdepan satu kes membabitkan pembunuh dan mangsanya adalah seorang kanak-kanak.

"Kedua-dua mayat itu saya perlu kenal pasti identiti kerana mangsa kanak-kanak itu adalah anak gelandangan. Jadi, pihak berkuasa memerlukan khidmat pakar forensik pergigian mengenal pasti identiti mereka.

"Manakala si pembunuh itu terjun dalam sungai selepas mengetuk mangsa menggunakan batu. Sebagai pakar perubatan kamu tidak boleh meletakkan emosi dalam pekerjaan walaupun ia membabitkan kes yang dilihat tragis di mata masyarakat. Biar pihak pengadilan yang menghukumnya," katanya.

DR Rabiah terbabit dalam simulasi identifikasi mangsa kebakaran dan berkolaborasi dengan South Australian Police, South Australian Country Fire Service dan South Australian Metropolitan Fire Service.
DR Rabiah terbabit dalam simulasi identifikasi mangsa kebakaran dan berkolaborasi dengan South Australian Police, South Australian Country Fire Service dan South Australian Metropolitan Fire Service.

Kerjaya Dr Rabiah bertitik tolak apabila beliau diberi tanggungjawab untuk menimba pengalaman dalam bidang forensik pergigian di bawah Unit Forensik Odontologi di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) dan Forensik Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada April hingga Oktober 2014.

Ketika itu beliau diperkenalkan dengan pakar forensik pergigian pertama Malaysia, Dr Phrabhakaran Nambiar dan memaklumkan mengenai hasrat untuk serius dalam bidang berkenaan.

"Dr Phrabhakaran ketika itu katakan kepada saya bahawa ramai yang minat, tetapi belum tentu dapat melakukannya kerana bidang itu bukan sekadar memerlukan keberanian, tetapi kemampuan membuat penyelidikan yang mendalam.

"Setiap kes iaitu mayat yang kita terima mempunyai keunikan tersendiri memandangkan setiap manusia mempunyai gigi, cap jari dan DNA berbeza bagi pengecaman identiti," katanya yang menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam bidang Pergigian DNA Pergigian di University of Australia pada Ogos lalu.

Suri kepada Shah Faiz Shawaluddin itu juga bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan suami untuk serius dalam bidang berkenaan.

LARIAN aktiviti kegemaran Dr Rabiah untuk memastikan 'work life balance' dan mempraktikkan kehidupan yang sihat.
LARIAN aktiviti kegemaran Dr Rabiah untuk memastikan 'work life balance' dan mempraktikkan kehidupan yang sihat.

"Pada awalnya memang mereka agak risau kerana bidang ini memerlukan kita melihat pelbagai keadaan mayat dan kadangkala perlu ke lokasi kejadian untuk mendapatkan sampel.

"Namun, saya jenis bukan suka bercerita mengenai cabaran ketika bertugas kepada mereka. Jadi, suami dan ahli keluarga memahami bahawa ini adalah kerjaya yang menjadi pilihan," katanya yang kini turut menjadi pensyarah di Fakulti Pergigian UM.

Bagi anak ketiga daripada enam beradik itu, kerjaya sebagai pakar forensik pergigian mempunyai kemanisan tersendiri apabila menjadi salah satu daripada bahagian yang dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan sesuatu kes.

"Perkara yang paling manis ialah ketika saya masih di bawah Dr Phrabhakaran, beliau terbabit dalam kumpulan pengecaman mangsa tragedi MH17 dan saya di bawah kumpulannya.

"Jadi apabila kami dapat membantu mencari identiti mangsa yang terkorban hasil kajian, ia adalah penghargaan terbaik untuk diri sendiri kerana kami dapat memberi kepuasan kepada ahli keluarga yang menginginkan kepastian mayat itu adalah waris mereka,

" katanya.

Nasihatnya kepada wanita terutama yang ingin menjadikan bidang forensik pergigian sebagai kerjaya, ia adalah satu bidang yang menarik untuk disertai.

"Dalam bidang ini, tidak wujud persempadanan jantina kerana keberanian setiap manusia itu boleh dipupuk walaupun perlu berdepan perkara yang sukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 7:01 AM