PENYERAHAN sumbangan kepada wakil Pusat Jagaan Insan Nur Cahaya.
PENYERAHAN sumbangan kepada wakil Pusat Jagaan Insan Nur Cahaya.
Oleh Hartini Mohd Nawi


KETIKA negara berterusan mengharungi gelombang ketiga akibat peningkatan kes pandemik Covid -19, ramai yang terkesan dan tiada sumber pendapatan.

Prihatin terhadap nasib dan kebajikan golongan yang disasarkan kurang berkemampuan, mendorong Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor menunaikan tanggungjawab khidmat sosial dengan mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Insan Nur Cahaya, Kajang.

Menurut Pengurus Operasinya, Azan Mukminah Saffin, objektif utama program ini untuk menyantuni pusat jagaan itu sambil beramah mesra selain menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan bebanan yang ditanggung penjaga pusat terbabit.

"Kami dimaklumkan pusat jagaan ini menempatkan penjagaan untuk warga emas, pesakit mental dan perlindungan ibu tunggal. Kehadiran kami diharap sedikit sebanyak memberi keceriaan dan kegembiraan buat 20 penghuninya," katanya.

Katanya, Hospital Pakar KPJ Kajang bukan sahaja komited dalam memberi perkhidmatan perubatan berkualiti dan terbaik kepada pesakit malah turut aktif dalam menjalankan program atau aktiviti kebajikan tanggung jawab khidmat sosial kepada masyarakat setempat.

Terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan. Turut serta dalam program itu ialah sebahagian kakitangan dari jabatan kemalangan dan kecemasan serta unit rawatan rapi.

Pada masa sama, Azan Mukminah turut menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

KAKITANGAN Hospital KPJ Kajang bergambar kenangan dengan sebahagian daripada penghuni Pusat Jagaan Insan Nur Cahaya.
KAKITANGAN Hospital KPJ Kajang bergambar kenangan dengan sebahagian daripada penghuni Pusat Jagaan Insan Nur Cahaya.

"Dalam situasi pertambahan kes yang agak membimbangkan ketika ini, kami ingin menasihati orang ramai bahawa kita belum menang dalam peperangan Covid -19 ini.

"Justeru, kita perlu menitikberatkan amalan pemakaian pelitup muka, kebersihan diri, kekerapan mencuci tangan dan menjaga jarak sosial.

"Kita perlu sentiasa berwaspada dan saling mengingati antara satu sama lain. Ingat jika kita alpa, akibatnya bukan sahaja mengancam pada diri kita dan keluarga malah seluruh rakyat Malaysia juga akan terpalit sama. Mari kita bersatu

dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:40 AM