NORAINI di hadapan premisnya di Tangkak, Johor
NORAINI di hadapan premisnya di Tangkak, Johor
Muhamaad Razis Ismail


BIARPUN sudah memiliki pekerjaan yang baik di dua syarikat besar, seorang wanita sanggup mengambil risiko untuk menceburi bidang perniagaan.

Dua sebab utama, Noraini Nordin, 38, berbuat demikian iaitu mahu merealisasikan impian suami untuk berjaya dalam perniagaan dan mempunyai masa menjaga dua anak yang masih kecil.

Keputusan yang dibuat sembilan tahun itu membuahkan hasil, apabila perniagaan makanan sejuk beku iaitu bebola ikan dan kek ikan di Tangkak, Johor kian dikenali ramai.

Noraini berkata, pada mulanya niat untuk berniaga hanya untuk membantu suami, Salihin Abdullah, 42, yang mempunyai impian memiliki perniagaan sendiri

Katanya, biarpun suami sudah memiliki pekerjaan sebagai pengurus di sebuah syarikat besar, dia mencuba pelbagai jenis perniagaan tetapi tidak berjaya.

"Jadi sebagai seorang isteri saya tanamkan niat untuk merealisasikan impian suami walaupun saya juga mempunyai pekerjaan sebagai eksekutif di sebuah syarikat besar.

BERSAMA suami yang banyak beri sokongan
BERSAMA suami yang banyak beri sokongan

"Pada masa sama, saya didorong untuk meluangkan

lebih masa dengan anak yang masih kecil kerana sebelum ini sering dihantar ke rumah pengasuh," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada awal pembabitan dalam perniagaan, dia berdepan pelbagai cabaran kerana tidak memiliki pengalaman dalam bidang itu.

"Tambahan pula, pada ketika saya perlu menjaga dua anak yang masih kecil kerana tinggal berjauhan dengan suami yang hanya dapat pulang pada hujung minggu disebabkan tuntutan kerja.

"Dalam tempoh itu pelbagai ujian yang dihadapi termasuk rumah pernah dipecah masuk dan paling tidak boleh dilupakan saya pernah dihina kerana tidak miliki harta sehingga dimasukkan ke hospital apabila mengalami tekanan perasaan.

"Bagaimanapun dengan sokongan dari keluarga termasuk ibu dan suami membuatkan saya terus kuat untuk lakukan terbaik dalam bidang perniagaan," katanya.

Kini, berkat kesabaran dan kegigihannya berdepan pelbagai cabaran, beliau boleh berbangga dengan usahanya sendiri apabila produk Aini Pinky Food dikenali ramai.

"Bermula bekerja sendiri di rumah, kini saya memiliki sembilan pekerja sepenuh masa terdiri daripada penduduk setempat dengan menyewa lot kedai dengan jualan mencecah puluhan ribu sebulan.

"Lebih mengembirakan, pada awal tahun lalu, suami buat keputusan untuk bersama-sama mengembangkan perniagaan ini," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Noraini menetapkan beberapa sasaran untuk dicapai pada tahun ini antaranya memperoleh pensijilan halal bagi semua produk keluarannya.

PRODUK yang mendapat sambutan ramai
PRODUK yang mendapat sambutan ramai

"Selain itu saya mahu membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai penduduk setempat, berkongsi rezeki dengan memiliki agen dan stokis di seluruh Malaysia.

"Di masa hadapan, saya berhasrat memiliki sebuah kilang yang menuju ke arah revolusi industri 4.0 dan dapat memasarkan produk ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:16 AM