MEMBACA teks sahaja boleh menyebabkan si penerima tersalah maksud.
MEMBACA teks sahaja boleh menyebabkan si penerima tersalah maksud.
Hafiz Ithnin


BERDEPAN penularan pandemik Covid-19 memaksa setiap orang menjaga penjarakan sosial.

Bersemuka secara dekat sudah menjadi pilihan terakhir demi keselamatan diri.

Bagaimanapun, proses komunikasi dua hala perlu diteruskan. Mujur dengan perkembangan teknologi, komunikasi maya dapat dilaksanakan.

Pernah atau tidak anda mendapat hantaran teks atau imoji yang kadangkala tersalah erti. Waima, bunyi-bunyi diluahkan menerusi taip juga kadang-kadang boleh melahirkan rasa kurang selesa kepada si penerima kerana tersalah erti.

Ahil Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Timbalan Dekan di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, sebagai pengguna perlu berpada-pada ketika berkomunikasi di alam maya.

Beliau juga melontarkan persoalan, jika klip suara atau klip video pendek pun boleh memberi maksud yang salah dan membuat penerima mesej merajuk atau sedih dengan kita, apa pula kisahnya kalau mesej dalam bentuk teks dan pesanan ringkas dihantar dan diterima?

"Dalam perhubungan sesama manusia, proses komunikasi adalah pengikat yang boleh membawa kemesraan, rasa gembira dan tenang.

"Tidak kira hubungan keluarga, cinta atau persahabatan, komunikasi yang baik membawa kesan yang amat positif," katanya.

Katanya, keadaan yang sebaliknya juga boleh berlaku apabila proses komunikasi tidak berlaku dengan baik. Misalnya, mesej yang dihantar tidak jelas atau mesej yang diterima tidak memberi gambaran keadaan sebenar.

KELAHIRAN pelbagai platform sembang boleh memberi pelbagai kesan kepada pengguna.
KELAHIRAN pelbagai platform sembang boleh memberi pelbagai kesan kepada pengguna.

"Di alam maya, sudah tentu proses komunikasi menjadi lebih rumit. Salah faham di alam maya boleh memutuskan persaudaraan, mengakibatkan pergaduhan dan menerbitkan kebencian," jelasnya.

"Memang benar, ada aplikasi telefon pintar hari ini yang boleh memadamkan mesej yang salah atau mesej yang kita tulis ketika sedang runsing atau marah. Tetapi, hakikat ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berkomunikasi semberono di alam maya," katanya.

Tambahnya, di alam maya kita perlu lebih berhati-hati berbanding ketika berkomunikasi atau berbual secara bersemuka kerana suara, intonasi, raut wajah dan gaya badan adalah sebahagian daripada proses perhubungan manusia.

"Apabila bersemuka, kalau tersalah cakap kita boleh meminta maaf dengan cepat ditambah dengan membuat muka bersalah, mungkin juga kita boleh cepat-cepat bersalam dengan insan di depan kita.

COVID-19 menyebabkan penggunaan platform sembang menjadi pilihan.
COVID-19 menyebabkan penggunaan platform sembang menjadi pilihan.

"Ini semua tidak akan berlaku dalam komunikasi maya, lebih-lebih lagi jika kita menghantar teks pesanan ringkas atau klip suara semata-mata," katanya.

Katanya, paling tidak cuba berbual dengan insan di hujung talian dengan panggilan video atau pun panggilan suara. Mesej melalui teks atau pesanan ringkas seharusnya menjadi pilihan terakhir dalam berkomunikasi.

"Untuk kami penyelidik bahasa, kami tahu bahawa komunikasi bertulis membawa risiko besar kerana penerima mesej berkenaan ada rekod yang boleh dilihat dan dibaca semula.

"Bayangkan apa yang akan berlaku kalau mesej itu dilihat secara negatif oleh si penerima? Apa pula kisahnya kalau penerima mesej itu ibu anda, suami atau isteri atau majikan anda?" katanya.

Dr Airil berkata, jika masih dirasakan perlu berkomunikasi melalui teks, maka hadkan mesej yang dihantar. Mesej yang perlu jawapan panjang lagi rumit, misalnya perlu ditanya melalui panggilan video atau suara. Atau lebih elok lagi jika dapat bersemuka.

"Amalkan tabiat membaca semula dan menyunting mesej melalui teks. Tanya diri anda, adakah anda sendiri faham mesej berkenaan? Lebih utama, adakah mungkin mesej itu akan disalahertikan oleh orang lain? Jika jawapannya ya, maka lebih elok jika mesej itu dipadam sahaja atau disunting sebaik mungkin," katanya.

KOMUNIKASI secara maya hanya berbalas mesej boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud kerana tiada nada.
KOMUNIKASI secara maya hanya berbalas mesej boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud kerana tiada nada.

Katanya lagi, apabila sudah berlaku salah faham kerana mesej di alam maya yang disalahertikan oleh orang lain, berhenti bermesej secepat mungkin dan ambil peluang bersemuka atau paling tidak membuat panggilan video atau suara.

"Perang mulut melalui mesej teks tanpa suara amat senang berlaku antara isteri dan suami, anak dan ibu, antara sahabat karib, malah sesiapa sahaja.

"Jangan kita lupa kata pepatah, mata pena itu lebih tajam dari sebilah pedang. Konsep yang sama terpakai ketika berkomunikasi di alam maya," katanya.

Tegasnya, mesej teks yang lebih tajam daripada pedang boleh merosakkan segala-galanya dalam perhubungan antara manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 7:00 AM