PELUKIS minyak wanita seperti Aishah hanya dalam kelompok kecil.
PELUKIS minyak wanita seperti Aishah hanya dalam kelompok kecil.
Nurul Husna Mahmud

Pengalaman itu turut dilalui Nor Aishah Alli, 39, yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan lukisan dipamerkan dalam majlis atau tempahan korporat.

Menurut pelukis cat minyak itu, tahun 2019 disifatkan paling gemilang dalam pencapaiannya selama lima tahun dalam bidang seni kreatif itu apabila bakatnya mendapat pengiktirafan dari Malaysia Productivity Corporation Sdn Bhd (MPC) dan Tourism Productivity Nexus (TPN) Malaysia.

Namun dia akur pandemik Covid-19 memberi cabaran getir kepada usahanya bukan sahaja mengembangkan karya, malah kerjayanya yang selama ini yang banyak bergantung kepada pameran acara tempatan.

"Saya menjangkakan pencapaian cemerlang ketika 2019 dapat diteruskan pada tahun lalu. Maklumlah pada 2019 banyak kejayaan yang dicapai termasuk pengiktirafan dari luar apabila dijemput menghadiri pameran eksklusif di Bali, Indonesia.

"Dalam pameran itu saya satu-satunya dari Malaysia dan berpeluang mempamerkan lima karya cat minyak dalam khalayak pengunjung terdiri daripada kelas atasan. Sayangnya ketika itu tidak dibenarkan merakam foto sebagai kenangan kerana isu keselamatan," katanya.

Tambah Aishah, cabaran buat artis wanita sepertinya adalah konsisten dalam pembabitan pameran atau acara seumpamanya bagi menarik minat orang menghargai setiap karya

diketengahkan.

"Pengkarya cat minyak biasanya didominasi pelukis lelaki dan hanya terdapat segelintir kecil wanita. Keadaan itu mencipta peluang atau cabaran kerana ada kemungkinan pelukis wanita akan 'tenggelam' kerana peminat lukisan tidak menyedari kehadiran mereka.

AISHAH mempelbagaikan karya dalam pelbagai bentuk produk.
AISHAH mempelbagaikan karya dalam pelbagai bentuk produk.

"Jadi, bagi artis baharu seperti saya berbanding pelukis cat minyak senior bertahun-tahun dan sudah ada nama, saya sentiasa promosi serta tingkatkan publisiti untuk orang terima karya.

"Apabila ada pihak seperti TPN dan MPC melihat bakat saya serta berhasrat membantu meningkatkan potensi dengan melatih menjadi tenaga pengajar produktif selain tingkatkan kemahiran platform digital itu, saya rebut peluang itu," katanya.

Kemahiran itu dirasakan cukup penting terutama meningkatkan

'survival' dalam tempoh pandemik tahun lalu yang mana memberi kesan kepada pendapatan atau hasil jualan lukisannya.

"Lukisan cat minyak ini boleh dikatakan karya mahal dan nilainya tidak kurang empat angka. Jadi, karya sedemikian biasanya pembeli suka datang ke pameran dan rasakan 'aura' atau 'mood' lukisan itu.

HUBUNGAN baik dengan komuniti dan saling sokong penggiat industri sama.
HUBUNGAN baik dengan komuniti dan saling sokong penggiat industri sama.

"Asalnya saya menggunakan platform atas talian lebih kepada sokongan publisiti dan usaha untuk orang lebih kenal serta dekat dengan karya saya.

"Jadi, saya amat bergantung kepada pameran dan selain itu pendapatan sampingan ialah menerusi kelas lukisan buat golongan dewasa," katanya.

Dalam pandemik semua terjejas kerana tiada sebarang penganjuran acara dan majlis pameran dapat dijalankan dan kelas juga terpaksa ditutup.

Menurut Aishah, boleh dikatakan pendapatan bulanannya sebelum pandemik kira-kira RM4,500 menerusi jualan lukisan dan kelas.

Mengakui pendapatan terjejas lebih 70 peratus dan terpaksa menggunakan platform digital baik untuk jualan mahupun mengendalikan kelas lukisan.

"Saya menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Linkedin, Twitter dan TikTok untuk mempromosikan lukisan.

MENGGUNAKAN platform video bagi membantu sistem pengajaran dan komunikasi.
MENGGUNAKAN platform video bagi membantu sistem pengajaran dan komunikasi.

"Selain itu, saya juga mempelbagaikan karya dalam bentuk produk seperti buku jurnal, magnet peti ais, penanda buku dan sebagainya," katanya.

Bagi kelangsungan kelas lukisan dikendalikan, kata Aishah, dia bersyukur dalam pada tidak dapat menganjurkan kelas secara fizikal, platform media sosial banyak membantu.

"Saya juga mempunyai pelajar dari golongan dewasa yang mengikuti kelas secara personal dan biasanya diajar di studio atau rumah mereka.

"Tetapi, cabarannya ialah pandemik Covid-19 yang menyebabkan Aishah tidak dapat lakukan hal sama dan menggunakan platform seperti zoom serta lain-lain.

"Rezeki dengan norma baharu ini apabila ditawar menjadi tenaga pengajar di Garden International School, Mont Kiara, Kuala Lumpur sejak Ogos tahun lalu," katanya.

Sementara itu, anak didik Aishah yang hanya mahu dikenali sebagai Hanis, 32, berkata, pada awalnya dia sukar membiasakan diri mempelajari kemahiran melukis atas talian.

HANIS teruja mempelajari cara melukis cat minyak.
HANIS teruja mempelajari cara melukis cat minyak.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelas diadakan secara atas talian. Mulanya susah kerana biasa kelas personal dan ditegur secara berdepan.

"Namun lama-lama boleh biasakan diri dan tahu bagaimana interaksi menggunakan atas talian. Banyak masa boleh dimanfaatkan apabila menghadiri kelas secara maya," katanya.

Dalam pada itu kata Hanis, antara tip penting apabila belajar secara maya ialah perlu ada sistem sokongan lain untuk bantu pelajar.

"Sukarnya belajar atas talian sebab tidak dapat 'feel' atau reaksi muka atau bahasa tubuh. Selain itu kalau talian 'buffering' akan ada yang tertinggal. Jadi, pada saya sebaiknya ada rakaman video untuk sokong pembelajaran dilakukan atas talian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 7:00 AM