Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Ucapan paling banyak dilafazkan pada bulan raya ini ialah ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ dan dikuti dengan maaf zahir dan batin.

Memohon maaf dan menjadi seorang pemaaf adalah salah satu akhlak yang terpuji.

Tidak mudah bagi sesetengah orang untuk memohon maaf kerana baginya memohon maaf tandanya kita menjatuhkan maruah diri sendiri.

Bagi setengah yang lain pula boleh tidak dapat menerima permohonan maaf atau dapat menerima kemaafan orang lain tetapi tidak dapat melupakan kesalahan yang orang itu lakukan.

Jika kita tidak dapat memaafkan seseorang, maka seolah-olah masih ada perasaan dendam di dalam hati kita.

Dendam adalah sifat keji yang tidak menguntungkan sesiapa pun sama ada orang yang didendam, apa tah lagi diri sendiri yang berdendam.

Hati yang berdendam adalah ciri hati yang tidak bersih dan tidak tenteram.

Pemaaf adalah sifat yang perlu dimiliki setiap Muslim untuk membangunkan satu tingkah laku dan peribadi seseorang.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sedekah itu tidaklah mengurangi sebahagian daripada harta dan tidaklah Allah menambah kepada seseorang hamba kerana (pemberian) maafnya kecuali kemuliaan dan tidaklah pula seseorang bersikap tawaduk kecuali Allah akan meninggikannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sifat pemaaf mencerminkan tenangnya hati dan lapangnya dada seseorang.

Ciri itu diasaskan dengan keimanan dan rasa kasih sayang.

Sifat pemaaf akan membawa kepada hati yang bersih.

Hati yang bersih pula akan mendorong pemiliknya untuk tunduk kepada Allah SWT.

Ada satu peristiwa membabitkan Khalifah Abu Bakar. Beliau bersumpah untuk tidak memberikan nafkah kepada saudara sepupunya bernama Misthah yang miskin sedangkan beliau seorang sahabat Nabi SAW yang turut serta dalam Perang Badar.

Sahabat lain juga bersumpah sedemikian rupa. Ini berikutan Misthah terbabit dalam satu peristiwa berita bohong.

Berikutan itu, ayat 22 Surah An-Nuur diturunkan sebagai teguran.

“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh sebagai seorang yang paling pemaaf.

Malah, Baginda juga tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan yang berlaku kepada dirinya.

Seperti kisah seorang wanita Yahudi yang cuba meracun Rasulullah SAW dengan memberi makanan yang sudah ditabur dengan racun.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW terselamat daripada perbuatan khianat itu. Nabi kemudianya mengutus sahabat untuk memanggil wanita Yahudi itu dan dia mengakui perbuatannya itu untuk membunuh Rasulullah SAW.

Nabi SAW memaafkan wanita itu tanpa menghukumnya.

Satu lagi peristiwa bagaimana Rasulullah SAW memaafkan kaum Muslimin selepas Perang Uhud.

Peristiwa itu menyebabkan Allah SWT menurunkan ayat 159, Surah Ali Imran yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 4:35 AM