Mohd Rizal Azman Rifin

Isu pemimpin dan kepemimpinan sentiasa menjadi buah mulut masyarakat. Syukur, kita berada dalam sebuah negara yang mendukung prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan.

Setiap rakyat yang berkelayakan dibenarkan untuk bersuara memilih pemimpin yang mereka sukai. Soalnya, adakah isu memilih pemimpin boleh dibuat sesuka hati mengikut kemahuan diri?Islam menunjukkan ciri-ciri orang yang sewajarnya diangkat sebagai pemimpin. Ia bukan berdasarkan populariti seseorang saja, sebaliknya dinilai berasaskan kehendak dan kriteria dibawa Islam.

Dalam memperkatakan perkara itu, sebuah kisah daripada seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Uqbah bin Amir, beliau memberitahu pada suatu hari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Apakah kalian mahu saya ceritakan ciri-ciri pemimpin yang baik dan pemimpin yang buruk?’

Kumpulan sahabat menjawab, ‘Kami mahu mendengarnya, wahai Rasulullah.’ Tatkala melihat sahabatnya mula teruja dengan isu pertanyaan itu, baginda menerangkan lebih lanjut dengan bersabda, “Pemimpin paling baik adalah pemimpin yang paling baik bagi kalian, dia adalah pemimpin yang kalian sayangi dan dia juga sangat mengasihi kalian. Kamu berdoa kepada Allah bagi pemimpin itu dan dia juga mendoakan kamu.”

Sambung baginda lagi, “Pemimpin paling jahat adalah pemimpin yang paling buruk bagi kamu. Pemimpin itu sangat dibenci dan dia juga membenci kalian. Kamu berdoa kepada Allah supaya dia mendapat balasan dan dia juga mendoakan kecelakaan kalian.”

Sahabat mendengar dengan penuh teliti apa yang disampaikan baginda kemudiannya mengajukan persoalan, ‘Apakah kami boleh memerangi pemimpin yang keji itu, wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda SAW, ‘Tidak. Biarkan mereka selagi mereka masih berpuasa dan bersolat.’ (Hadis diriwayat oleh at-Tabrani)

Baginda SAW sejak awal lagi mengajar umatnya membuat kaji selidik terhadap ciri-ciri seseorang pemimpin.

Hadis itu membawa maksud, selaku umat baginda kita tidak boleh bertindak berdasarkan kehendak nafsu dan atas keperluan peribadi dalam soal memilih serta melantik seseorang pemimpin.

Kita dididik supaya soal keperibadian dan sahsiah seseorang pemimpin sangat perlu diberikan perhatian.

Pemimpin yang akhlaknya selari dengan prinsip akhlak dan moral Islam adalah ciri-ciri pemimpin baik.

Pemimpin yang akhlak bernadikan prinsip nilai moral Islam pastinya sentiasa mengutamakan rakyat daripada diri dan keluarga sendiri.

Individu seperti itu juga pemimpin yang sentiasa tidak senang duduk kerana terlalu memikirkan untung nasib rakyat jelatanya.

Maka, beruntunglah masyarakat dan negara apabila yang diangkat sebagai pemimpin itu terdiri daripada mereka yang menjunjung tinggi nilai Islam dan sentiasa ‘memperhambakan diri’ demi kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Kita tidak dibenarkan bersekongkol dengan pemimpin yang zalim dan tidak memegang prinsip Islam. Perbuatan seperti itu jelas ditegah oleh Rasulullah SAW.

Baginda tidak sudi memberikan syafaatnya di akhirat kelak baik kepada pemimpin mahu pun terhadap mereka yang bersekongkol dengan amalan jahat dan zalim seseorang pemimpin.

Seharusnya, amaran keras baginda itu sudah cukup menginsafkan sesiapa saja baik seorang pemimpin, rakyat atau pengikutnya.

Sahabat baginda, Nuqman bin Basyir pernah menceritakan bahawa baginda pernah bertemu dengannya dan rakannya yang lain.

Pada waktu itu, dia dan rakannya berada di dalam masjid dan sudah selesai menunaikan solat Isyak. Kata Nuqman, baginda mendongak ke langit seolah-olah ada sesuatu yang menarik sedang berlaku di langit.

Kata Nuqman lagi, baginda kemudian bersabda, ‘Ingat, selepas kematian saya, akan muncul pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Siapa menerima penipuan mereka dan membantu mereka melakukan kezaliman, dia bukan daripada golonganku dan aku juga bukan daripada golongannya. Siapa yang tidak menerima pembohongan mereka dan tidak membantu mereka melakukan kezaliman, mereka itu adalah daripada golonganku.’

Sabda baginda seterusnya, “Ingat, darah setiap orang Islam itu ada balasannya. Ingat, kalimah Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah, ia adalah amalan soleh yang paling kekal.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jadi, sesiapa saja yang bersekongkol dengan sebarang perbuatan salah laku pemimpin dan sanggup ‘membela mati-matian’ pemimpin seperti itu adalah insan yang bakal menemui Allah dengan penuh penyesalan di akhirat kelak.

Justeru, seorang rakyat sewajarnya menjadi mata dan telinga yang sentiasa bersedia untuk menilai dan memantau apa saja siri perbuatan seseorang pemimpin.

Peranan seorang pemimpin sangat besar dan tanggungjawabnya begitu berat. Ia bukan kedudukan penuh selesa, sebaliknya seseorang pemimpin adalah orang yang mampu sentiasa berpaut kukuh atas prinsip nilai kepemimpinan Islam tanpa dicalar imej dan persepsi negatif yang keji.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 1:12 PM