Hilmi Isa

Daripada Muaz, katanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Firman Allah SWT (dalam hadis qudsi) orang yang berkasih sayang kerana keagunganku akan mendapat mimbar daripada cahaya yang diinginkan oleh nabi dan syuhada.” (Riwayat at-Tirmizi)

Pada zaman dahulu, jika memiliki motosikal pun sudah cukup beruntung.

Golongan yang memandu kereta pula dikira sebagai orang kaya. Pada 1990-an, memandu Toyota Corolla SEG sudah dikira cukup mewah.

Orang dulu tidak berharta. Atap rumah bocor di sana-sini. Apabila hujan, mereka berlari menadah air dengan baldi.

Apabila berlaku ribut kuat pula, mereka pasrah dan berdoa kepada Allah SWT kerana ada rumah yang rosak.

Orang dalu juga jarang membawa duit saku ke sekolah dan hanya dibekalkan dengan lempeng.

Bagaimanapun, semangat kekeluargaan mereka sangat kuat. Jika berlaku pergeseran antara adik beradik pun, hanya membabitkan perkara yang kecil.

Hubungan suami isteri juga sangat akrab. Pada awal pagi lagi, mereka bersama-sama pergi menoreh getah dan berkebun.

Sebaik pulang ke rumah, isteri akan mengurut suami yang kepenatan. Perceraian jarang kedengaran.

Hari ini, memandu kenderaan jenama mewah sudah menjadi satu pemandangan biasa.

Kesibukan bekerja menyebabkan hubungan rumah tangga semakin renggang. Suami pula ada yang mengambil kesempatan ‘makan luar’ apabila pergi ke pusat urut.

Lebih menyedihkan, sebilangan isteri menjadi mangsa suami yang melanggani pelacur dan dijangkiti HIV.

Bagaimanapun, dulu kita biasa dengar suami sahaja curang, tetapi hari ini tidak kurang juga hebatnya kecurangan boleh berlaku di pihak isteri.

Isteri orang bercinta dengan suami orang atau lelaki bujang bukan lagi satu perkara yang pelik berlaku.

Ramai lelaki mudah tertarik dengan wanita yang matang dan mampu berdikari.

Pada zaman yang serba mencabar ini, anak menjadi terbiar akibat ibu bapa yang sibuk mencari wang ringgit. ‘

Justeru, eratkan ikatan kasih sayang dalam keluarga. Beri perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada pasangan serta anak.

Masalah sosial boleh diatasi dari rumah. Daripada Ibnu ‘Abbas, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seandainya manusia diberi dua lembah berisi harta, tentu ia masih menginginkan lembah yang ketiga. Yang bisa memenuhi dalam perut manusia hanyalah tanah. Allah tentu akan menerima taubat bagi siapa saja yang ingin bertaubat.” (Riwayat Bukhari)

Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 5:07 PM