Suriany Awaludin

Bagaimana jika suami tidak memberikan nafkah berupa wang gajinya kepada isteri setiap bulan dan perbelanjaan isi rumah juga ditanggung bersama?

Adakah perkara itu menyebabkan rezeki suami semakin sempit? Suami sudah bertanya isteri dan dia reda untuk sama-sama membantu dalam urusan perbelanjaan keluarga.

Selain itu, isteri menjelaskan tujuannya bekerja adalah untuk membantu suami.

Farhan, Sungai Petani, Kedah

Nafkah yang dipertanggungjawabkan ke atas seorang lelaki yang sudah berkahwin adalah dalam bentuk zahir dan batin kepada isteri dan anak.

Suami wajib menyediakan nafkah zahir seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman serta keperluan asas kepada isterinya.

Dari segi nafkah batin, suami wajib melaksanakan tanggungjawab perkahwinan dengan memberi nafkah batin serta menjaga kebajikan isteri.

Begitu juga kewajipan suami dalam memberi nafkah kepada anak. Seorang suami wajib menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman, pakaian, perbelanjaan perubatan, pendidikan dan kebajikan anak.

Ada dalam kalangan suami menyediakan tempat tinggal isteri dan anaknya dengan cara suami membayar sewa rumah atau ansuran pinjaman rumah.

Selain itu, ada juga suami membayar semula wang kepada isterinya apabila rumah didiami me-reka itu dibayar melalui potongan gaji isteri.

Sekiranya berlaku kedua-dua keadaan itu, maka selesailah tanggungjawab nafkah tempat tinggal oleh suami.

Seterusnya bagaimana pula dengan nafkah lain? Semua kos perbelanjaan yang lain juga perlu disediakan suami iaitu membayar bil bulanan, membeli keperluan makan minum dan keperluan anak juga isterinya.

Jika dilakukan suami itu mengikut kemampuannya dan dibantu isteri daripada hasil wang pendapatannya, itu dikira sebagai nafkah yang ditunaikan suami.

Tertakluk kepada bantuan daripada isteri adalah daripada hatinya yang reda dan ikhlas.

Tidak bermakna seorang suami perlu memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan wang gajinya secara terus sepenuhnya.

Ini kerana sebahagian gaji suami itu ada yang digunakan untuk membayar perbelanjaan tempat tinggal, bil bulanan dan keperluan asas rumah.

Itu juga sudah termasuk sebagai nafkah. Namun, jika suami gagal dan hanya mengharapkan bantuan isteri semata-mata, itu satu kesalahan dan menjadi dosa suami.

Bagaimanapun, dalam aturan perjalanan sebuah rumah tangga, muafakat antara suami dan isteri sangat penting.

Sekiranya dipersetujui bersama dan isteri restu nafkah yang mampu diberikan suaminya serta bersedia membantu suami dengan ikhlas, suami sudah berlaku jujur terhadap isteri dan bertanggungjawab kepada isteri serta rumah tangganya.

Sebaliknya, jika suami sengaja enggan menyediadkan nafkah isteri dan rumah tangga selain membiarkan isteri seorang menanggung segala perbelanjaan rumah tangga, tidak mustahil suami seperti itu akan mendapat ujian daripada Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan cara.

Nafkah kepada isteri umpama memberi sedekah. Ganjarannya akan dibayar semula kepada suami di akhirat kelak.

Meminjam kata-kata ceramah seorang pendakwah, nafkah yang diberikan kepada isteri seolah-olah membantu suami membawa harta suami untuk sementara.

Di akhirat kelak, harta itu akan diserahkan semula kepada suami kerana ia adalah milik suami.

Di dunia suami tidak mampu membawa semua hartanya seorang diri, diagihkan kepada isteri dan anak-anak untuk dibawa bersama.

Di negeri kekal abadi nanti, harta yang banyak itu akan dipulangkan kepada tuannya.

Antara sebab rezeki menjadi sempit kerana tidak memberikan sedikit rezekinya untuk dikongsi dengan keluarga.

Kedua, lokek untuk bersedekah dan mengabaikan zakat. Orang yang lokek dengan anak, isteri dan ibu bapa menyebabkan kehidupan mereka menjadi sempit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana), akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura, ayat 27)

Sebagai hamba Allah, marilah kita muhasabah diri dan kembali kepada apa yang diajarkan Islam. Ujian dan kesempitan hidup berlaku mungkin daripada kesilapan diri.

Antara usaha yang wajar dilakukan jika merasakan diri dalam kesempitan dan putus asa adalah dengan bertaubat, beristighfar, istiqamah dan beramal dengan al-Quran.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:20 AM