FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Suriany Awaludin

Jika suami meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat, bolehkah harta arwah seperti kenderaan, rumah, barangan di dalam rumah dan wang simpanannya diambil keluarga arwah tanpa sebarang persetujuan balunya.

Sekiranya balu itu tidak bekerja, adakah dia tidak layak untuk menuntut harta sepencarian? Seperkara lagi, selepas pembahagian harta dilakukan mengikut hukum faraid, adakah balu itu berhak untuk membuat tuntutan lebih bahagiannya kerana dia tidak bekerja?

Nani, Seremban

Jika berlaku kematian, semua harta yang ditinggalkan si mati adalah harta pusaka.

Ia wajib diselesaikan mengikut hukum faraid setelah diselesaikan kewajipan seperti perbelanjaan pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat, hibah dan harta sepencarian.

Waris terdekat lazimnya mengambil tugas menguruskan pusaka si mati dengan ditunaikan segala kewajipan yang dinyatakan di atas.

Sesiapa yang menguruskan harta pusaka si mati tidak bermakna dia boleh melakukan apa yang dikehendakinya.

Begitu juga waris si mati, mereka juga tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati sehingga mengetepikan hak waris yang lain.

Pengurusan harta pusaka si mati perlu disegerakan. Tujuannya bagi mengelak terjadinya pertikaian dan perbalahan antara ahli waris, perbuatan tidak amanah dan perkara yang boleh menyebabkan harta yang ditinggalkan menjadi sia-sia kerana gagal dibahagikan kerana waris berlapis selepas kematiannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Berdasarkan ayat itu, Allah SWT memberi peringatan kepada manusia iaitu mengambil dan menggunakan harta pusaka tanpa hak adalah perbuatan yang tidak dibenarkan syarak.

Apa saja tindakan untuk menggunakan harta pusaka tanpa hak perlu mendapat persetujuan semua waris kerana mereka juga ada hak ke atas harta pusaka berkenaan.

Harta sepencarian boleh ditakrifkan sebagai sebarang harta alih atau tidak alih yang diperoleh pasangan suami isteri secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh sesuatu perkahwinan yang sah.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, Seksyen 2 (1) mentafsirkan bahawa: Harta sepencarian ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Berdasarkan Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, dinyatakan berkenaan kuasa mahkamah yang boleh memerintahkan pembahagian harta sepencarian dilakukan.

Dapat disimpulkan, harta sepencarian adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak.

Di bawah Seksyen 122 itu, isteri yang tidak bekerja atau bersama-sama membantu suami memperoleh sesuatu harta dalam perkahwinan boleh membuat tuntutan bagi mendapatkan bahagiannya.

Penamaan sesuatu harta bukan bermaksud milik mutlak si penama kerana ada sumbangan pihak lain ke atas harta itu juga.

Dalam Seksyen 122 juga memperuntukkan:

l Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

l Dalam menjalankan kuasa yang diberi oleh Subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:

a. Takat sumbangan yang dibuat pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.

b. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima kadar yang lebih besar.

Dalam menentukan kadar dalam harta sepencarian, faktor utama yang menjadi pertimbangan mahkamah adalah sumbangan pihak terhadap perkahwinan dan harta berkenaan.

Justeru, sebagai isteri yang tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, dia masih mempunyai hak untuk mendapatkan bahagian mereka dalam harta sepencarian.

Namun, tiada peruntukan khusus tuntutan harta sepencarian selepas kematian dan tidak termaktub secara jelas dalam mana-mana Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.

Sebaliknya, ia terkandung dalam Amalan Arahan No 5 Tahun 2003 JKSM yang menyatakan, masa tuntutan harta sepencarian boleh dibuat ketika tuntutan perceraian, selepas perceraian atau selepas kematian.

Cadangan saya, jika mahu menuntut bahagian dalam harta sepencarian, ia hendaklah diselesaikan dahulu sebelum pembahagian harta secara faraid dibuat.

Selepas mahkamah memerintahkan harta itu adalah harta sepencarian atau tidak dan kadar bahagian yang diperoleh isteri, baki daripada harta sepencarian akan dibahagikan secara faraid dan isteri tetap mempunyai bahagian dalam pembahagian secara hukum faraid.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 2:19 PM