FOTO hiasan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
FOTO hiasan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dengan sebab rahmat Allah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentu mereka menjauh dari sekelilingmu.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Sebuah episod rancangan televisyen ada memaparkan kisah individu yang berhijrah amat menyentuh hati saya.

Seorang bekas pondan yang kembali ke pangkal jalan ditanya mengapakah dia sanggup bergelumang dengan dunia itu?

Dia menjawab, masyarakat yang terus-menerus mengutuk membuatkan jiwanya memberontak.

Kutukan yang diterima membuatkan hatinya keras dan tetap meneruskan caranya walaupun di hatinya terdetik ingin berubah.

Dalam hidup ini, kita bertemu dengan ramai manusia bermasalah. Ramai orang ingin memberi nasihat, tetapi lebih ramai memberi nasihat dengan cara negatif.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah berkata kepada sahabat Baginda mengenai kisah seorang Arab Badwi yang kencing di dalam masjid yang bermaksud: “Biarkanlah dia! Tuangkanlah saja setimba air. Sesungguhnya kalian diutus untuk mempermudah, bukan untuk mempersulit.”

Saya juga teringat satu cerita seorang penceramah veteran mengenai monyet yang ditiup angin.

Apabila angin bertiup dengan kuat, maka semakin kuat si monyet berpaut pada pokok kelapa itu.

Sebaliknya, apabila angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, maka layulah si moyet dan kemudian terlepaslah ia daripada pautan pokok itu.

Beliau ingin menyatakan, apabila manusia dilayan dengan provokasi dan konfrontasi, maka akan lebih kuat dia melawan.

Sebaliknya, apabila dilayan dengan kelembutan, dia akan lebih mudah menerima nasihat dan pandangan.

Setiap manusia mempunyai ego. Apabila orang mencabarnya, maka dia akan bertindak mempertahankan egonya.

Tanyalah pada diri sendiri, apakah tindak balas kita apabila orang lain cuba membuktikan cara kita salah?

Kebanyakan orang akan tetap mempertahankan pendirian mereka walaupun di dalam hati berbisik  caranya itu jelas salah.

Lihat contoh bagaimana seorang warden asrama yang mempunyai cara lembut dalam menangani pelajar bermasalah.

Mungkin kebanyakan guru lain suka berdamping dengan pelajar cemerlang, sebaliknya dia suka berdamping dengan pelajar bermasalah.

Usah kita cepat menghukum manusia, sebaliknya ambil masa untuk memahami.  Setiap tindakan manusia mempunyai cerita di sebaliknya.

Orang yang menjadi kaki pukul biasanya dibesarkan di dalam keluarga yang ganas.

Gadis yang terjebak dalam masalah sosial biasanya datang daripada keluarga yang kurang kasih sayang dan perhatian.

Pelacur juga ramai datang daripada keluarga miskin. Ambil masa untuk memahami dan bukannya menghukum.

Menghukum itu hanya kerja Tuhan kerana Dia Maha Mengetahui segala aspek sebelum menjatuhkan hukuman.

Kita hanyalah manusia yang mempunyai akal fikiran dan ilmu yang terhad.

 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, yang berat memikirkan penderitaanmu, sangat menginginkan kamu (beriman dan selamat), amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.”  (Surah at-Taubah, ayat 128)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:17 PM