FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

HAMPIR tiga tahun ini saya banyak menanggung perbelanjaan isi rumah kerana pendapatan suami tidak tetap. Suami bekerja di bengkel kereta.

Dia ada masalah kesihatan dan kerap tidak hadir bekerja. Saya pula hanya kerja sendiri iaitu dengan mengambil upah mengasuh anak jiran dengan pendapatan

RM1,400 sebulan.

Menurut suami, disebabkan dia tidak dapat kerja kuat lagi, saya yang perlu kuat bekerja dan bertanggungjawab menanggung perbelanjaan keluarga. Adakah patut dalam keadaan sekarang, saya yang perlu memberi nafkah kepada suami?

Nasuha, Damansara Damai

KEWAJIPAN penyediaan nafkah untuk isteri dan anak-anak berkuat kuasa di saat seorang lelaki mengambil tugas selaku suami dan sebaik sahaja menjadi bapa kepada anak-anaknya.

Firman Allah dalam Surah at-Talaq, ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.

“Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

Dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf...”

Oleh itu, kewajipan itu tetap dipikul suami dan bapa selagi mana orang yang menerima nafkah itu berada di bawah tanggungannya.

Begitu juga dalam penguatkuasaan undang-undang. Sudah diperuntukan mengenai kewajipan menanggung nafkah isteri dan anak-anak di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri.

Di dalam Seksyen 61 (Kuasa mahkamah untuk memerintah nafkah bagi seseorang tertentu) “Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang yang pertama itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.”

Manakala di bawah Seksyen 73 (Kewajipan menanggung nafkah anak):

n Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

n Kecuali seperti di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah hukum syarak supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Di dalam kitab al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah oleh Abdullah Rahman al-Jaziri, cetakan Dar Ihya al-Thurath al-arabi, Beirut, Lebanon, juzuk keempat, hal. 592, ada menyebut antara syarat yang menjadikan bapa wajib menanggung nafkah anak-anaknya ialah:

l Hendaklah bapa berkemampuan

l Hendaklah anak-anak mereka tidak berupaya walaupun dengan pekerjaan yang sesuai dengan mereka

l Hendaklah bapa berkemampuan menangung nafkah isterinya dan anak-anak selama satu hari satu malam.

Justeru, bapa hendaklah berusaha lebih keras untuk mencari rezeki sehingga dia mampu membiayai sekurang-kurangnya kifayah ‘adna (keperluan asas) isteri dan anak-anaknya. Sekiranya bapa gagal, pihak ketiga iaitu waris kepada anak atau mana-mana badan kerajaan yang berkaitan perlu membantu memenuhi kadar keperluan asas nafkah anak itu dengan memberi hutang kepada

si bapa dan pembayaran dibuat setelah bapa itu mampu.

Sekiranya bapa hilang upaya dan sakit yang tidak berpotensi untuk sembuh, maka waris anak boleh diperintahkan mahkamah untuk membiayai nafkah anak itu sehingga memenuhi keperluan asasnya.

Jika waris kepada anak itu tidak mampu, hilang upaya atau tidak dapat dikesan, maka pihak kerajaan daripada bahagian baitulmal dan badan yang bertanggungjawab perlu mencukupi keperluan asasnya.

Pentaksiran kadar nafkah atau keperluan asas adalah dengan mengenal pasti keperluan asas isteri dan anak-anak yang boleh dikategorikan sebagai daruriyyat (asas), kemudian mengenal pasti keperluan lain (bukan asas) yang termasuk dalam klasifikasi hajiyyat (kehendak) dan tahsiniyyat.

Isteri dan anak-anak wajar menerima kadar nafkah sama dengan kualiti kehidupan atau sosiekonomi pembiaya dari segi kualiti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Itu adalah maksud kifayah iaitu pengertian kadar nafkah adalah menetapkan satu amaun munasabah dengan melihat kepada status sosioekonomi pihak-pihak.

Misalnya bagi orang berpendapatan rendah, kadar nafkah yang dipertimbangkan adalah dengan melihat keperluan daruriyyat pihak-pihak sahaja, sementara bagi golongan berpendapatan sederhana, keperluan yang diambil kira boleh melibatkan keperluan diperingkat hajiyyat, sementara bagi golongan berpendapatan tinggi, keperluan sampingan yang termasuk dalam perkara tahsiniyyat.

Bagi situasi di atas, isteri tidak diwajibkan untuk menanggung dan memberi nafkah kepada suami.

Bagaimanapun, sekiranya isteri tiada masalah dan reda serta sanggup bersabar, tiada halangan jika dia bekerja lebih keras untuk menanggung semua keperluan rumah tangga termasuk suami.

Namun, jika tidak mampu lagi bersabar atau keperluan asas yang jelas tidak mencukupi, isteri mempunyai ruang untuk mendapatkan nafkah mencukupi dari pihak waris suami dan ia menjadi hutang yang perlu dilunaskan suami apabila berkemampuan kelak.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 2:00 AM