X
MALAYSIA terus aman walaupun banyak negara  Islam bergolak.
MALAYSIA terus aman walaupun banyak negara Islam bergolak.
Mohd Rizal Azman Rifin

Para pendakwah membawa Islam ke Nusantara berdasarkan aliran Mahzab as-Syafie yang berpegang kukuh kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wilayah di Nusantara seperti Pasai, Aceh hingga ke Melaka serta seluruh Asia Tenggara ditinggalkan para pendakwah Islam dengan amalan, budaya hidup dan syariat bersumberkan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah bermahzab as-Syafie.

Sejak detik awal kedatangan Islam, seluruh masyarakat dapat hidup harmoni dengan amalan beragama tanpa dibelenggu jurang perbezaan pegangan aliran dalam agama.

Jika ada perbezaan sekalipun, ia hanya terhadap hal kecil dan bukannya pada prinsip asas dalam anutan agama. Sesekali kedengaran ada pihak tertentu cuba mempromosikan aliran lain.

Misalnya, fahaman Syiah walaupun hanya membabitkan sekelompok kecil, tetapi jika hal itu dibiarkan pasti memberi kesan terhadap masyarakat dan negara.

Betapa dahsyat dan buruknya kesan perbalahan akibat perbezaan dalam pegangan fahaman agama itu berlaku di beberapa negara Islam.

Iraq yang dibangunkan dengan jayanya oleh masyarakat Mesopotamia hingga ke era keemasannya pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyyah, kini hancur lantaran perbalahan mazhab dan fahaman agama.

Golongan Syiah sanggup berbunuhan dengan golongan Sunni. Malah, perang saudara terus berlanjutan sehingga kini. Peluang itu diambil musuh Islam untuk menjadikan negara Islam mangsa dalam percaturan geopolitik demi kepentingan mereka.

Demikian juga apa yang dialami masyarakat Islam di Syria, Palestin, Yaman dan beberapa negara Islam lain. Negara dan masyarakat mereka kucar-kacir dan ramai anak kecil serta bayi menjadi yatim piatu.

Sebab itulah kita wajib bersyukur dengan nikmat keamanan yang dinikmati selama ini. Atas hujah apa sekalipun, keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat wajib dipertahankan tanpa membiarkan ruang untuk dibolosi sebarang anasir yang bakal merugikan kesejahteraan umat Islam.

Sebarang cadangan untuk membenarkan fahaman atau aliran selain pegangan Sunah Wal Jamaah sepatutnya tidak timbul di negara ini.

Dalam menangani isu seumpama itu, umat Islam perlu berpegang dan menjunjung apa yang sudah difatwakan pihak berkuasa agama.

Gesaan pembatalan fatwa dikeluarkan pada 1996 menetapkan Syiah adalah ajaran yang menyimpang daripada Islam. Memetik kata Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menyatakan fatwa Syiah terkeluar daripada ajaran Islam adalah tidak silap, sekali gus tiada keperluan untuk ditarik balik.

Fatwa pengharaman Syiah di Malaysia bukan yang pertama, malah ulama terdahulu seperti Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Qurtubi, Imam al-Bukhari dan Imam al-Ghazali terlebih awal memfatwakan golongan itu terkeluar daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau juga menegaskan, asas fatwa itu cukup kuat kerana golongan Syiah bercanggah dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Rukun Islam Syiah tidak sama dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti terkandung di dalam kitab rujukan mereka, iaitu Usul al-Rafi (jilid dua, halaman 20).

Di dalam kitab mereka (Fashlul Khithab fi Tahrif Kitab Rabbil Arbab) menyatakan al-Quran yang ada sudah diselewengkan. Selain itu, perbuatan mengkafirkan isteri dan sahabat Nabi SAW serta mengamalkan nikah mutaah (kahwin kontrak) terlalu sukar buat kita menerimanya sebagai satu pegangan dalam Islam.

Kita menyedari banyak negara Islam membenarkan fahaman Syiah dianuti di negara masing-masing, tetapi hakikat itu bukan bermakna negara kita perlu mengikut jejak langkah mereka.

Masyarakat Islam beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah merangkumi 70 peratus daripada 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia. Kedudukan itu membuktikan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah majoriti di kebanyakan negara Islam dan hanya beberapa negara sahaja golongan Syiah menguasainya.

Dalam usaha menterjemahkan suatu ekosistem kehidupan masyarakat Islam yang aman damai, maka apa bentuk aliran yang berbeza seharusnya dihindari kerana seandainya dibenarkan bertapak dalam masyarakat, maka ia ibarat api dalam sekam.

Lambat-laun, bibit-bibit perpecahan dan perbalahan akan mula timbul sekali gus boleh menghuru-harakan negara. Ini bukan lagi teori semata-mata, tetapi lihatlah sendiri perbalahan dan pembunuhan sesama umat Islam berlaku masa kini di seluruh negara Islam.

Perbezaan fahaman Sunni dan Syiah adalah suatu aset yang sangat diminati oleh musuh Islam kerana isu itu akan membolehkan mereka mendominasikan negara Islam sewenang-wenangnya.

Mahukah situasi ngeri penuh tragedi turut sama berlaku di negara yang kita cintai ini? Nauzubillah Min Zalik, Semoga Allah SWT menjauhkan kita semua dari situasi buruk itu terjadi kepada masyarakat dan negara ini.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:00 AM