PATUNG Sphinx menampilkan fizikal wajah manusia yang berbadan singa.
Azhar Mohamed

Sejak berdekad lalu, Mesir menjadi antara pilihan masyarakat Nusantara menghantar anak-anak muda menuntut ilmu.

Bumi barakah itu terbukti sudah melahirkan ramai ulama-ulama terkenal. Di sana terdapat institusi Al-Azhar yang memiliki dana pendidikan wakaf hasil sumbangan umat Islam dari seluruh dunia.

Mesir digelar ‘ardul kinanah’ antaranya bermaksud bumi yang menyimpan anak panah. Ia diumpamakan tempat ‘simpanan’ anak panah yang tidak akan terhenti dengan lahirnya ulama.

Selain itu, Mesir turut menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia kerana terkenal dengan pelbagai tinggalan bersejarah seperti piramid, patung Sphinx serta mengalirnya sungai terpanjang dunia yang bersambung dengan Laut Merah iaitu Sungai Nil.

Guru bahasa Arab dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang, Azhar Mohamed, 35, berpeluang berkunjung ke negara berkenaan pada Aidiladha tahun lalu.

Menurutnya, ia satu pengalaman berharga apabila dapat melihat sendiri kesan pelbagai kesan tinggalan sejarah yang turut dinyatakan di dalam al-Quran.

“Bumi Mesir terkenal dengan kisah salah seorang firaun (pemerintah) yang ditelan laut.

“Ahli sejarah berpendapat firaun yang dimaksudkan adalah Ramses II. Penemuan garam pada mumia Ramses II menjadi antara bukti beliau mati lemas selepas dikatakan bertanggungjawab mengejar Nabi Musa dan Bani Israel di Laut Merah.

“Bagaimanapun, al-Quran tidak menyebut siapa firaun yang sebenar dalam peristiwa itu. Paling penting, sebagai umat Islam kita disaran mengambil iktibar daripada peristiwa itu supaya tidak sesekali merasa sombong dengan kuasa serta harta yang dimiliki.


PEMANDANGAN Kubu Salahuddin Al-Ayyubi.

“Dalam peristiwa itu juga jasad firaun diselamatkan untuk dijadikan tontonan buat manusia hingga ke akhir zaman. Itu janji Allah SWT seperti yang termaktub dalam Surah Yunus,” katanya.

Katanya, destinasi wajib sekiranya berkunjung ke Mesir adalah melawat piramid di Giza iaitu makam firaun yang memerintah Mesir purba.

“Piramid dibina sebagai lambang kebesaran. Apabila raja meninggal dunia segala barang kebesaran dikumpulkan di dalam bilik yang terletak di tengah-tengah piramid berkenaan.

“Di dataran itu terdapat tiga piramid iaitu Khufu, Khafre dan Menkaure. Setiap piramid dibina oleh firaun yang berlainan mengikut zaman masing-masing.

“Melihat ciri fizikal piramid yang disusun sedemikian rupa, kita pasti teruja bagaimana monumen itu didirikan kerana setiap satu bongkah batu itu seberat satu tan.

“Dari situ kita dapat disimpulkan, raja yang memerintah ketika itu memperhambakan rakyatnya demi mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Menurutnya, bumi Mesir juga menempatkan sebuah kubu pertahanan utama sebagai taktik peperangan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.

“Kubu Salahuddin Al-Ayyubi atau qal’ah itu terletak di atas bukit di tengah-tengah kota Kaherah. Ia dibina sebagai pertahanan paling penting dalam sejarah Islam Mesir bagi menghalang serangan tentera Kristian dalam peperangan salib.

“Salahuddin mengarahkan asas kubu itu dibuat dengan mengambil batu yang terdapat di piramid di Giza.

“Di dalam kawasan kubu itu juga terdapat dua masjid iaitu Masjid Muhammad Ali Pasha dan Masjid Al-Nasir Mohammad ibn Qalaun,” katanya.

Menurut Azhar, salah satu budaya masyarakat Mesir yang begitu menonjol dan patut kita contohi adalah ucapan salam sentiasa subur walau di mana saja bertemu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 4:00 AM