GAMBAR hiasan.
Suriany Awaludin

ADAKAH tepat tindakan bagi kebanyakan suami atau isteri menamakan pasangan masing-masing sebagai penama pada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), takaful atau insurans sedangkan jelas penama hanya berperanan sebagai pemegang amanah?

Selain itu, ramai juga isteri atau wanita lebih berminat menamakan anak-anaknya sebagai penama kerana membayangkan sekiranya dia meninggal dunia, wang simpanan itu akan digunakan oleh suami untuk berkahwin lain dan sebagainya.

Bagaimanapun, wang itu tidak boleh dikeluarkan sehingga anak mencapai usia 18 tahun.

Izat

Jelebu

Perkembangan mutakhir ini, urusan pentadbiran serta pengurusan harta individu khususnya orang Islam di negara ini semakin baik.

Ini kerana terdapat pelbagai institusi menawarkan produk pengurusan harta ketika hayat pemiliknya.

Malah, kesedaran demi kesedaran juga dipupuk di  semua peringkat masyarakat agar jelas dan memahami secara keseluruhannya mengapa pengurusan harta perlu dibuat ketika masih hidup.

Begitu juga dengan konsep penamaan harta. Ia adalah satu kaedah pengurusan harta.

Amalan penamaan atau melantik penama ke atas sesuatu harta yang disimpan dan dilaburkan di institusi kewangan diterima pakai dan sah diamalkan di Malaysia berdasarkan undang-undang meliputi penamaan ke atas harta sama ada bagi orang Islam dan bukan Islam.

Penama yang dilantik itu akan menerima faedah daripada harta atau memiliki harta itu selepas berlakunya kematian pihak penyimpan.

Penamaan atau melantik penama biasanya berlaku di KWSP, Tabung Haji, Bank Simpanan Nasional dan lain-lain termasuk wang insurans nyawa.

Tujuan sebenar penamaan ialah bagi memudahkan penama mengeluarkan duit atau harta itu untuk dimanfaatkan oleh waris si mati dengan segera tanpa perlu mendapat perintah daripada pihak yang menguruskan harta pusaka berkenaan.

Namun ramai dalam kalangan masyarakat Islam masa kini salah faham mengenai hal berkenaan.

Ada beranggapan meletakkan penama pada sesuatu harta mereka adalah wasiat. Apabila seseorang penyimpan meninggal dunia, maka wang itu akan dibayar kepada penama yang  menerima pusaka dan akan menjadi hak mutlak penama berkenaan.

Kedudukan itu jelas menyalahi hukum faraid dan wasiat dalam Islam.

Menurut Kamus Dewan edisi ke-3, ia mentakrifkan penamaan sebagai perihal menamakan dan pencalonan.

Misalnya, surat penamaan waris itu hendaklah dianggap sebagai satu wasiat kepada seorang waris manakala penama pula ditakrifkan sebagai orang yang dinamakan (dikemukakan) sebagai waris dan lain-lain.

Penama Islam hanya berperanan sebagai wasi sahaja dan bukannya benefisiari.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk membahagikan wang yang dinamakan kepadanya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Individu yang dinamakan adalah wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan simpanan pencarum kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia.

Sebagai penama, mereka berhak mengeluarkan wang berkenaan.

Namun dalam kebanyakan kes, menjadi amalan juga di dalam masyarakat kita menamakan pasangan masing-masing sebagai penama.

Malah, ada juga yang menamakan anak-anak mereka sebagai penama walaupun umur anak masih kecil dan tidak mencapai usia 18 tahun.

Keadaan itu secara asasnya tidak bersalahan dan bertentangan dengan hukum syarak.

Ini kerana penama sudah terikat sebagai orang yang berhak mengurus
dan mentadbir harta pusaka seseorang selepas kematiannya dan bukannya sebagai pemilik mutlak harta pusaka itu.

Jika tidak dinamakan pasangan, siapa lagi yang layak dan berhak dinamakan? Di dalam hukum pembahagian secara faraid sekalipun pasangan adalah orang yang menjadi ahli waris yang layak menerima pusaka.

Penamaan pasangan sekurang-kurangnya memudahkan serta mempercepatkan penyelesaian pembahagian pusaka si mati kerana penama boleh terus mendapat atau membuat pengeluaran tanpa melalui prosedur lain dengan pelbagai pihak.

Seandainya yang meninggal itu suami dan penamanya isteri yang tidak pernah bekerja, mempuyai anak yang ramai dan masih kecil, sudah pasti akan merumitkan keadaan jika si isteri tiada tempat bergantung dan memerlukan wang dengan kadar segera.

Atau mungkin waris si mati ditimpa musibah yang amat memerlukan kewangan dengan kadar segera. Maka, masalah seperti itu dapat diatasi tanpa membebankan pihak lain.

Namun, bagi penamaan kepada anak yang di bawah umur atau ibu bapa semakin tua, ia dilihat kurang bersesuaian.

Anak yang masih kecil perlu menunggu masa yang terlalu lama untuk membolehkan harta atau wang dikeluarkan dan dibahagikan kepada waris yang berhak.

Begitu juga jika yang dinamakan itu adalah ibu bapa si mati. Jika ibu bapa sudah uzur, sukar untuk membuat urusan bagi membolehkan wang itu diagihkan kepada waris.

Justeru, untuk penamaan seseorang individu itu sebagai penama, setiap orang perlu membuat penilaian bijak dari semua aspek.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:14 AM