GAMBAR hiasan
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Apakah penekanan utama al-Quran pada peringkat awal kenabian? Ayat yang diturunkan sebelum hijrah boleh menjadi panduan kepada kita yang baru memulakan dakwah kepada orang yang berjinak-jinak mahu berhijrah.

Bagai membina asas bangunan. Begitulah fokus pada peringkat awal ayat al-Quran diturunkan di Kota Makkah.

Ia lebih tertumpu kepada aspek tauhid. Pembinaan hubungan dengan Allah SWT ibarat simpulan tali yang kuat lagi mengikat.

Itulah hubungan iman dan kepercayaan. Dakwah pada peringkat awal mengajak manusia mengenal Pencipta, seterusnya mengiktiraf kebesaran serta keagungan Allah SWT.

Dakwah juga mengajak berterima kasih kepada Allah SWT. Seterusnya, ajakan untuk beriman dengan hari akhirat dan adanya balasan baik dan buruk.

Berikut diperincikan bentuk ajaran berkenaan:

1. Ajaran tauhid mengajak manusia mengenali dan mengiktiraf kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Seruan ajaran paling asas ialah mengajak bersyahadah, ‘La ilaha illa Allah’ (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT).

Ia satu kemerdekaan dan pembebasan manusia daripada syirik dan penyembahan sesama manusia.

Al-Quran menjelaskan yang bermaksud: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).

Dia tidak mengantuk, usahkan tidur. Dia memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara kedua-duanya. Dan Dialah yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya).” (Surah al-Baqarah, 258)

Ayat berkenaan cukup masyhur dengan panggilan ‘ayat al-Kursi’. Susunan bahasanya sangat indah dan maknanya juga hebat.

Ayat itu juga memiliki banyak kelebihan. Paling besar adalah ia mengandungi dasar tauhid yang cuba menjelaskan kebesaran, kekuasaan dan keluasan ilmu Allah SWT.

Malah, sesiapa yang mengamalkan ayat berkenaan akan terpelihara daripada bala bencana dan tidak boleh diusik syaitan.

2. Ajakan berterima kasih kepada Allah SWT di atas limpah kurnianNya.

Daripada pengenalan dan pengiktirafan, maka akan datang reaksi manusia yang digambarkan dengan cara bersyukur.

Hitunglah nikmat-Nya. Pasti kejang hitungan kita sebelum habis mengira. Dengan kesyukuran, kita akan hidup dengan jiwa bijak menghargai.

Jika tidak pandai menghargai, kita hanya akan pandai mengeluh. Jika tidak pandai berterima kasih, kita akan berasa serba tidak ada dan yang ada dirasakan tidak cukup.

Syukur juga akan menghadirkan hati dalam ibadat umum dan khusus. Mensyukuri Allah SWT akan mendidik kita turut menghargai makhluk ciptaan-Nya kerana banyak nikmat hadir dengan perantaraan manusia lain.

Seterusnya, syukur mengikis perasaan angkuh, sombong, bongkak dan takbur ke atas orang lain.

Perasaan syukur yang indah itu berkembang pula kepada perasaan gembira membantu sesama manusia.

Hati tidak lokek saat memberi makan kepada orang miskin, badan terasa ringan menjaga anak yatim serta melayan dengan baik golongan yang lemah dan tertindas.

3. Ajakan beriman dengan hari akhirat dan adanya balasan baik dan buruk.

Kajian demi kajian membuktikan, sistem alam itu akan menemui saat kehancurannya. Ia bergantung sa-ma ada cepat atau lambat.

Semuanya bergantung kepada usaha manusia menjaga alam sekitar serta mengelakkan pencemaran. Namun, semuanya tetap bergantung dengan izin Allah SWT.

Hari pembalasan itu akan muncul kerana ia sudah ditetapkan. Beriman kepada hari akhirat akan melonjakkan motivasi manusia untuk terus melakukan kebaikan.

Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, manusia diamanahkan untuk berbuat baik sesama manusia serta menjaga alam sekitar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Kesimpulannya, hati manusia perlu ‘disentuh’ dan diajak kepada Allah SWT dengan tiga elemen berkenaan.

Maka, panggilan fitrahnya akan melambai. Lubuk hatinya juga akan tunduk dan mengakui dengan izin-Nya jua.

Penulis pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:33 PM