PEMANDANGAN Masjid Al-Aqsa dari arah luar.
Mohd Fadly Samsudin

BAITULMAQDIS yang digelar kota al-Quds iaitu bumi suci selepas Makkah dan Madinah perlu sentiasa berada dalam ingatan seluruh umat Islam.

Makkah dan Madinah adalah bandar yang diberkati kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Nabi Muhammad SAW.

Begitu juga Baitulmaqdis, ia penting kerana kaitannya dengan ramai nabi antaranya Nabi Isa AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Yunus AS, Nabi Yusuf AS dan Nabi Syuib AS.

Malah, Baitulmaqdis juga sangat istimewa dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Pada 620 Masihi iaitu sebelum baginda berhijrah ke Madinah, berlaku peristiwa Israk dan Mikraj di mana Rasulullah melakukan perjalanan dari Makkah ke Baitulmaqdis sebelum diangkat ke langit pada malam sama.

Kini banyak syarikat pelancongan menawarkan pakej membawa rombongan dari negara ini bagi menyahut saranan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa mengunjungi tanah yang penuh keberkatan itu.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah bermusafir (dengan tujuan beribadat) melainkan ke tiga masjid, Masjid Al-Haram di Makkah, masjidku di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.”

Pendakwah, Ustaz Nor Azian Man berkata, dalam Islam, Baitulmaqdis adalah destinasi yang sangat penting.

Menurutnya, jika difikirkan secara logik, jika Nabi Muhammad hendak Mikraj ke langit, baginda boleh sahaja naik dari Makkah.

“Bagaimanapun, kenapa Allah membawa baginda ke beberapa tempat terlebih dahulu? Apabila sampai di Masjidilaqsa baru Nabi Muhammad dinaikkan ke langit.


NOR Azian bergambar berlatar belakang Dome of The Rock.

“Itu menunjukkan tempat berkenaan penting bagi menghubungkan umat Islam. Sebelum itu, Nabi Muhammad dibawa singgah ke beberapa tempat dan solat di sana antaranya ke Madinah, Tursina dan Bayt Lahm sebelum pergi ke destinasi utama iaitu Masjidilaqsa,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang hendak ke sana, tetapi mereka bimbang diganggu serta berasa nyawa terancam.

“Sebenarnya, semua orang boleh pergi ke sana tanpa kegusaran kerana ia sama seperti melancong ke negara aman yang lain.

“Malah, kita bebas bergerak termasuk boleh ke masjid pada setiap masa. Kita juga boleh pergi ke tempat yang dikuasai orang Yahudi, misalnya ke Makam Nabi Daud.

“Cuma apabila hendak masuk, kita mesti menutup kepala tidak kira sama ada memakai kopiah atau topi. Jika tiada, boleh guna topi kecil yang dipakai orang Yahudi.

“Ramai jemaah tanya, adakah umat Islam boleh pakai topi itu kerana boleh dianggap seperti menyerupai kaum orang Yahudi.

“Saya nyatakan, tiada masalah sebab itu syarat yang ditetapkan untuk memasuki kawasan berkenaan,” katanya.

Nor Azian berkata, untuk masuk dalam kawasan Masjidilaqsa pada setiap waktu tiada sekatan kecuali jika berlaku tangkapan dilakukan tentera Yahudi.


WAILING Wall iaitu tembok yang menjadi lokasi tumpuan pelancong khususnya orang Yahudi di Kompleks Masjid al-Aqsa.

“Kita boleh datang pada awal pagi. Contoh, jika masuk waktu Subuh jam 4.30 pagi, maka 3.30 pagi sudah boleh masuk untuk beriktikaf.

“Cuma di pintu masuk sempadan, peraturan cukup ketat. Sekiranya, mereka dapati ada yang cuba menangkap gambar, mereka tahan dan tanya beberapa soalan.

“Kita tidak boleh selindung kerana mereka sudah tahu segala maklumat diri kita. Soalan biasa yang mereka soal adalah nama kita, bapa dan datuk,” katanya.

Katanya, kawasan kompleks Masjidilaqsa sangat luas merangkumi masjid tertentu seperti Masjid Buraq (tempat Nabi Muhammad menambat Buraq), Masjid Kubah (Dome of the Rock) serta Masjidilaqsa lama.

“Tidak jauh dari Dome of the Rock, terletak mihrab Nabi Muhammad solat yang pernah diikuti 124,000 nabi yang datang menjadi makmum.

“Selain itu, kawasan batu yang pernah dipijak Nabi SAW ketika hendak dibawa Jibril ke langit turut dikekalkan.

“Semua itu dalam kawasan Dome of The Rock. Masjid itu dibina pemerintah Khalifah Umawi iaitu Abdul Malik bin Marwan sehingga ia menjadikan masjid paling hebat pada zaman itu.

“Binaan masjid itu dari dahulu sehingga sekarang memang seperti itu. Sehingga orang masuk ke Palestin pasti akan dapat lihat puncak kubah emas itu, ”katanya.

Beliau berkata, di dalam kompleks itu juga ada sebuah lagi masjid iaitu Masjid Rahmah.

“Yahudi pernah tutup masjid itu lebih 30 tahun menyebabkan tiada umat Islam dapat solat di situ. Malah, Kristian dan Yahudi juga minta untuk menjadikannya tempat ibadat mereka,” katanya.

Dalam satu hadis daripada Maimunah R.Anha, beliau berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, beri padaku satu fatwa tentang Baitulmaqdis. Baginda menjawab: “Pergi ke sana dan dirikan solat didalamnya. Jika kamu tidak mampu untuk pergi solat di sana, maka hantar minyak untuk dinyalakan pelita di Masjid Al-Aqsa.” (Riwayat Abu Daud)

Nor Azian berkata, solat di Masjidilaqsa pahalanya digandakan menjadi 1,000 kali ganda daripada solat di tempat lain.

“Sekiranya tidak mampu pergi, umat Islam boleh menyumbang wang ringgit bagi membolehkan Masjidilaqsa dapat terus dipertahankan.

“Yahudi akan terus memberi tekanan. Umat Islam di sana tidak pernah meminta, tetapi mereka sangat suka sekiranya kita datang melawat,” katanya.


KAWASAN batu tergantung ketika peristiwa Nabi SAW dibawa Jibril ke langit dikekalkan.

Jika anda ada kisah pengalaman berkelana ke seluruh dunia untuk menimba ilmu, melihat kesan sejarah kaum terdahulu, sejarah kecemerlangan negara yang pernah berada di bawah pemerintahan Islam dan pelbagai lagi, anda boleh kongsikan pengalaman itu melalui e-mel,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 8:45 AM