GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman

KESEMPURNAAN dan kelestarian Islam amat terserlah melalui layanan terhadap semua makhluk Allah di atas muka bumi ini menerusi prinsip maqasid syariah yang meraikan semua sudut kehidupan dan keadaan.

Kehebatan Islam lebih dirasai setiap yang mempercayai, meyakini dan beriman dengan Allah SWT.

Hanya Islam agama yang diiktiraf oleh Allah SWT. Setiap umat Islam dipertanggungjawabkan membina dan membawa imej Islam dengan baik tanpa mengabaikan prinsip asas Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.”

Sikap keterbukaan menerima kepelbagaian harus diusahakan supaya umat Islam dapat membentuk umat bersaudara dengan penuh kasih sayang.

Maka, dalam menyantuni kepelbagaian masyarakat hari ini, kita perlu memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan menyantuni mereka dengan jiwa muafakat dan toleransi yang tinggi.

Setiap manusia berhak disantuni walaupun berbeza fahaman dan pegangan. Bahkan, ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang.

Baru-baru ini, Kumpulan Penyelidikan Islam, Culture and Globalization (ICG-RG), Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif menyantuni golongan gelandangan di sekitar Johor Bahru.

Program bertemakan We Care We Share itu dianjurkan dengan kerjasama Unit Dakwah Tarbiah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor serta dua badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jaringan Harmoni dan Dewan Bidadari Syurga.

Golongan gelandangan perlu dibantu daripada pelbagai aspek supaya mereka dapat berubah dan memperbaiki kehidupan pada masa depan.

Seramai 120 peserta terdiri daripada 55 pelajar, pensyarah, staf UTM serta sukarelawan daripada kedua-dua NGO itu.

Sebanyak 200 bungkusan makanan dan barang keperluan asas diagihkan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Program itu bertujuan untuk membudayakan program kemasyarakatan dalam kalangan staf dan mahasiswa UTM bersama masyarakat setempat.

Kehidupan sebagai mahasiswa bukan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi keperluan masyarakat juga perlu diberi perhatian selaras dengan tuntutan Islam.

Selain itu, program berkenaan dijalankan sebagai penyelidikan untuk mengenal pasti permasalahan, isu serta keperluan golongan gelandangan.

Secara tidak langsung, ia dapat membantu kerajaan mengenal pasti punca serta mengkaji cara terbaik untuk menangani masalah gelandangan di negara ini.

Dalam Surah Hud, ayat 115, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan Allah) kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Ayat itu menjelaskan, Islam tidak hanya terbatas kepada umatnya sahaja untuk melakukan kebaikan, malah Islam datangnya buat seluruh umat manusia tidak kira bangsa, kaum, budaya dan agama.

Penulis pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 8:43 AM