ROMBONGAN Kembara Ibrah Tauhid di lokasi kubur Firaun dikenali sebagai Valley of The Kings.
Mohd Fadly Samsudin


LUXOR, Mesir adalah kota purba yang terletak di tebing Sungai Nil. Orang Arab menyebut Luxor dengan panggilan ‘al-aqsur’ yang membawa makna ‘kota istana..

Wilayah itu terkenal dengan zaman pemerintahan raja Firaun yang mencetuskan peradaban Mesir Purba termasuk raja yang membangunkan kota itu iaitu Amenothep (Minepthah) III dan Ramses II.

Setiap Firaun mendirikan istana dan kubu mereka sendiri. Apabila disebut Firaun, fikiran kita pasti terbayang individu yang mati ditelan laut akibat melakukan penindasan dan kezaliman selain tidak mahu mengikut ajaran dibawa oleh Nabi Musa.

Bagaimanapun, Firaun itu sebenarnya adalah raja atau pemerintah. Ahli sejarah berpendapat, firaun yang dimaksudkan dengan kejadian ditelan Laut Merah itu adalah Ramses II.

Bagaimanapun, al-Quran tidak menyebut siapa firaun yang sebenar dalam peristiwa itu.

Pengarah Urusan Munajat Travel & Tours, Muhammad Hafiz Ikram Che Hassan berkata, hasil pengalaman mengembara ke Mesir, banyak yang dapat disaksikan seperti tinggalan firaun termasuk binaan yang dihasilkan dengan sentuhan teknologi hebat.

Menurutnya, ‘Kembara Ibrah Tauhid’ untuk meneroka keajaiban bumi bersejarah itu turut disertai 23 peserta dan berlangsung selama 11 hari.

“Sepanjang kembara, fokus kami adalah untuk ke Luxor bagi melihat pelbagai kesan tinggalan sejarah sejak ribuan tahun dahulu. Luxor turut terkenal sebagai antara kawasan muzium terbuka terbesar di dunia.

“Ketika berada di Kaherah, kami melawat beberapa tempat popular seperti Piramid Giza, Sphinx, Masjid Saidina Hussein dan Masjid Al-Azhar.

“Kami juga berkesempatan melawat Montazah, Istana Raja Farouk dan Kubu Qaitbay di Alexandria sebelum terbang ke Aswan. Dari Aswan kami menaiki kereta api dari Stesen Ramsis, Kaherah ke Luxor yang mengambil masa 12 jam perjalanan,” katanya.

Menurut Muhammad Hafiz, setibanya di Luxor, mereka dibawa ke Port Nile Cruise bagi urusan mendaftar masuk untuk menaiki kapal pesiar menyusuri Sungai Nil menuju ke Aswan.

“Sebelum bertolak, kami sempat melawat Kuil Karnak dipercayai dibina sejak 2000 tahun Sebelum Masihi.

“Kuil itu dibangunkan sebagai persembahan kepada tiga tuhan atau dewa Mesir kuno iaitu Amun Ra (dewa matahari), Mut (isteri) dan Khons (anak).


MUHAMMAD Hafiz (kanan) bersama peserta rombongan ketika melawat kawasan Kuil Isis.

“Kuil Karnak turut merangkumi runtuhan bangunan kuil lama, tiang lama dan beberapa tempat ritual masyarakat Mesir Kuno. Pada tiang itu boleh dilihat ukiran yang menceritakan kehebatan Firaun yang memerintah dan dewa yang mereka sembah,” katanya.

Beliau berkata, mereka kemudian bertolak ke West Bank Luxor dan melawat Hatchepsut Temple dan Valley of the King.

Valley of the King adalah kawasan makam raja dan bangsawan disemadikan. Dalam perjalanan menyusuri Sungai Nil, rombongan turut berhenti di beberapa lokasi termasuk Kuil Kom Ombo yang sinonim dengan Dewa Buaya.

“Masyarakat Mesir kuno percaya dewa itu menjaga Sungai Nil dan perkampungan mereka daripada dilanda banjir.

“Di pertengahan laluan antara Luxor dan Aswan, kami melawat Kuil Edfu. Di situ terdapat tempat penyembahan Dewa Horas yang digambarkan sebagai seekor helang. Mereka percaya keselamatan kerajaan dan jiwa dikawal oleh dewa itu,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, tiba di Aswan, mereka perlu menaiki bot untuk ke Pulau Philae dan melawat beberapa tapak arkeologi utama di sana.

“Di sana terdapat banyak batu granit yang digunakan untuk menghasilkan patung pada zaman pemerintahan Mesir kuno yang berpusat di Luxor.

“Malah, ada teori daripada ahli arkeologi yang menyatakan, batu yang digunakan bagi membina piramid di Giza juga diangkut dari Aswan melalui Sungai Nil dengan jarak lebih 500 kilometer,” katanya.

Menurut beliau, selepas beberapa tempoh, dengan menggunakan peralatan lebih maju, ahli arkeologi mendapati, batu piramid itu dihasilkan daripada tanah liat yang dibakar dengan suhu yang sangat tinggi.


KAWASAN Kuil Edfu.

“Sebenarnya, perkara itu sudah dinyatakan di dalam al-Quran. Allah SWT menukilkan kata-kata Firaun yang bermaksud: “...oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang yang berdusta.” (Surah al-Qasas, ayat 38)

“Selain itu, kami turut ke perkampungan Nubian di tepi Sungai Nil yang kini menjadi lokasi pelancongan di Aswan.

“Masyarakatnya berasal daripada bangsa Nubia berketurunan Afrika. Mereka menyambut kami dengan hidangan teh pudina dan roselle.

“Pada sebelah malam, kami meneruskan aktiviti di dek atas kapal dengan melaksanakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, sesi tazkirah serta perkongsian ibrah sepanjang lawatan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:47 AM