PEMANDANGAN di sekitar kawasan khemah pelarian Syria di Reyhanli.
Muhammad Mujahid Yusup

Melancong ke Turki pasti menjadi pilihan ramai terutamanya ke lokasi popular seperti merasai pengalaman menaiki belon udara panas di Cappadocia, berkunjung ke Muzium Hagea Sophia serta Masjid Biru di Istanbul.

Negara empat musim itu juga sangat kaya dengan sejarah dan keindahan alam semula jadi.

Namun, tidak ramai mengetahui terdapat sebuah tempat di Turki iaitu Reyhanli yang cukup terkenal dalam kalangan aktivis kemanusiaan yang bergiat aktif membantu pelarian Syria di sana.

Di Reyhanli terdapat sebuah daripada tiga pintu sempadan yang menghubungkan Turki dan Syria.

Pelarian dari Syria itu menetap di khemah atau menyewa rumah murah bagi meneruskan kehidupan mereka.

Di sana juga terdapat gudang penyimpanan barang, kilang roti dan pusat asuhan anak yatim milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar di Turki iaitu IHH yang berperanan menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk kawasan perang, gempa bumi dan konflik.

Pada setiap hari, kilang roti IHH menghasilkan lebih 100,000 keping roti untuk diagihkan kepada rakyat di Syria yang terjejas akibat konflik yang melanda negara berkenaan.

Reyhanli berdekatan dengan Bandar Antakya. Perjalanan ke Bandar Antakya mengambil masa selama 15 minit dari Lapangan Terbang Hatay.

Antara tarikan yang ada di bandar itu adalah Muzium Arkeologi Hatay, Masjid Habib Enajjar dan Gereja purba St Peter.

Antakya juga sebuah bandar yang amat istimewa kerana menyimpan jasad seorang pendakwah yang Allah SWT ceritakan dalam Surah Yasin iaitu Habib An Najjar.

Insan istimewa itu disebut Allah SWT dalam Surah Yasin, ayat 20. Beliau bukan seorang atau ulama, tetapi hanya seorang tukang kayu di Bandar Atakya.


PENULIS bergambar di kawasan sempadan di Reyhanli yang memisahkan Turki dan Syria.

Bagaimanapun, dengan keimanan yang teguh, beliau mengajak kaumnya untuk turut beriman dengan rasul yang diutuskan Allah SWT kepada mereka.

Kesudahannya, ajakan Habib An Najjar bukan sahaja ditolak, malah dia dipukul hingga mati.

Kisah insan mulia itu dirakamkan oleh Allah SWT untuk menunjukkan kepada kita betapa besarnya cabaran sebagai seorang pendakwah untuk menyeru kepada kebaikan menghadapi pelbagai rintangan.

Di dalam buku Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah karya seorang tokoh pendakwah, Fathi Yakan ada menyebutkan, pendakwah akan sentiasa menghadapi dugaan.

Penulis penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Darul Quran-Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 7:57 AM