GAMBAR Hiasan
Kembara Mukmin

APABILA seorang manusia merasakan dirinya tidak boleh ditegur atau tidak memerlukan nasihat sesiapa, maka dibimbangi jiwanya sudah menyalahi hati seorang hamba Allah SWT.

Seorang hamba yang merasakan dirinya jahil, serba kekurangan dan hina sudah pasti mahukan yang terbaik dan menerima apa sahaja teguran yang diberikan kepadanya.

Sifat dan rasa kehambaan perlu ada dalam hati seorang orang beriman. Apabila diri rasa bertuhan, maka akan timbul pengharapan kepada Allah yang Maha sempurna.

Kita dilahirkan ke dunia ini dengan pelbagai keadaan. Ada yang lahir dalam keluarga senang. Selain itu, ada manusia yang diuji dengan kesakitan, keperitan dan kesusahan.

Semua itu ada hikmah yang kita semua tidak mengetahui hikmah dan kebaikannya. Sebab itu, Allah SWT minta kita sebagai hamba kembali, rujuk serta tawakal kepadanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang sudah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Tawbah, ayat 51)

Bagi mereka yang memperhambakan diri selain daripada Allah SWT, hidupnya akan tertekan dan rasa terhimpit.

Walau seberat mana sekalipun kita alami ujian, pasti kita akan mampu menghadapinya kerana merasakan Allah SWT pasti akan mendatangkan pertolongan serta memberi jalan keluar.

Begitulah yang terjadi kepada Rasulullah SAW yang mententeramkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika mereka bersembunyi di Gua Thur.

Dengan sebab rasa bertuhan juga menyebabkan nabi dan rasul sanggup berdepan kekuatan masyarakat yang menentang mereka.

Bagaimanapun, tiada istilah putus asa dalam diri kerana mereka yakin doa, solat dan sabar itu menjadi jalan mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Mungkin ada dalam kalangan kita diuji dengan kesempitan rezeki ketika ini menyebabkan mereka mengeluh kerana tidak tahan dengan bebanan yang perlu dipikul.

Keluhan itu tidak akan mengubah apa-apa. Kita rasa rezeki itu datang daripada pekerjaan yang kita berkorban untuknya siang dan malam.

Sebenarnya, manusia yang paling mudah untuk mendapatkan rezeki. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. Kemudian ia ingin sangat supaya Aku tambahi lagi. Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (al-Quran yang disampaikan oleh Rasul Kami).” (Surah al-Muddaththir, ayat 14-16)

Dalam ayat itu dinyatakan, bukan rezeki tidak cukup buat diri, tetapi disebabkan kita berasa tamak untuk mendapatkannya.

Sebab itu, ada antara kita berasa tidak cukup serta runsing berhubung rezekinya. Namun, mereka perlu sentiasa ingat, rezeki itu bermakna apa yang ada pada serta mencukupi buat keperluan dirinya pada saat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 9:12 AM