GAMBAR hiasan.
Mohd Rizal Azman Rifin

MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Demikian peribahasa masyarakat Melayu yang menasihatkan ibu bapa sentiasa berperanan memberikan pendidikan terhadap anak mereka.

Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun sangat mudah dibentuk keperibadian sahsiah mereka. Tempoh usia sebegitu, ajaran, asuhan dan bimbingan yang disampaikan ibu bapa mahupun guru di sekolah mudah diserap ke dalam jiwa.

Selain ibu bapa dan guru, pihak pengurusan masjid seharusnya memainkan tanggungjawab dan peranan sama dalam menjadikan anak-anak di kawasan kariah mereka dengan diberikan didikan akhlak dan agama yang sempurna.

Gandingan usahasama ibu bapa di rumah, guru di sekolah serta pihak pengurusan masjid bakal membentuk generasi muda Muslim unggul dengan menampilkan akhlak terpuji dan jiwa pendukung agama yang utuh.

Selama ini, pihak masjid lebih terarah kepada golongan dewasa dalam menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Namun, generasi muda juga seharusnya diberikan perhatian sama supaya dapat melahirkan generasi pelapis yang kaya dengan ilmu agama dan memiliki akhlak.

Mencintai masjid sepatutnya dipupuk dari awal bukan sahaja oleh ibu bapa, sebaliknya usaha murni itu perlu digembleng bersama pihak pengurusan masjid.

 Barangkali, dana hasil sedekah kariah setempat kurang digunakan bagi melakukan aktiviti menjurus kepada pemupukan jiwa mencintai masjid dalam kalangan kanak-kanak.

Namun demikian, terdapat masjid di negara ini begitu aktif menggarap idea untuk menjadikan kanak-kanak suka datang ke masjid.

Antaranya, usaha kreatif dicorakkan pihak pengurusan Masjid Mahmudi di Bachok, Kelantan. Pada Ramadan lalu, mereka menawarkan ganjaran hadiah basikal kepada kanak-kanak yang dapat hadir solat berjemaah di masjid pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.

Sasaran pihak masjid adalah golongan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun. Apa yang dilaksanakan adalah kanak-kanak perlu mendaftar nama mereka setiap kali datang ke masjid dan menunaikan solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Menurut imam masjid berkenaan, kanak-kanak yang hadir penuh akan dihadiahkan basikal. Mungkin ada beranggapan usaha dibuat pihak pengurusan Masjid Mahmudi itu memberi impak kurang baik dalam mendidik kanak-kanak solat di masjid kerana mereka datang semata-mata untuk mendapat habuan hadiah.

 Bagaimanapun, pengurusan masjid berkenaan yakin dan optimis pada mulanya memang kanak-kanak akan datang atas sebab mahukan hadiah namun lama-kelamaan akan menumbuhkan tabiat mahu ke masjid untuk beribadat.

Selama ini banyak pendekatan untuk mengajak kanak-kanak dengan cara menasihatkan mereka sahaja. Tidak menjadi kesalahan mengguna pakai kaedah itu kerana ia tetap usaha mendidik.

Usaha dan tindakan pengurusan Masjid Mahmudi itu seharusnya dicontohi masjid lain demi menjadikan masjid sebagai rumah kedua buat golongan kanak-kanak.

Dalam keadaan semasa yang cukup mencabar serta unsur asing yang semakin berkembang dalam dunia hari ini, sudah pasti kita semua tidak boleh berpuas hati dan duduk diam dalam usaha membina generasi muda Muslim yang memiliki jati diri umat Islam sebenar.

 Kini, kita sedang melalui era yang cukup merunsingkan lantaran pelbagai insiden dan fenomena budaya melanda jiwa anak muda Muslim yang seakan-akan sanggup mengetepikan ajaran agama mereka.

Membiarkan anak kita tanpa didikan agama dan akhlak sempurna ibarat ‘barah’ yang akan merosakkan generasi umat Nabi Muhammad SAW yang seterusnya.

Pemupukan generasi umat Islam yang cintakan agamanya wajib kita laksanakan. Kita tidak boleh kalah dengan asakan globalisasi dunia yang lebih banyak memuatkan unsur lagha sehingga melalaikan umat Islam.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:38 AM