MUSTAFFA (dua dari kanan) bersama rakan jemaah di hadapan Masjid Abdullah Ibn Abbas.
Mohd Fadly Samsudin


KOTA Taif menjadi pilihan dakwah Rasulullah SAW selepas usaha baginda mengajak penduduk Makkah kepada akidah dan ajaran Islam tidak berhasil.

Menurut ulama, antara sebab Baginda SAW memilih Taif kerana berhampiran kota itu ada perkampungan Bani Sa’ad iaitu tempat Nabi SAW menyusu dengan Halimatus Saadiah.

Apabila tiba di Taif, Nabi SAW bertemu pemimpin-pemimpin utama Taif dalam kalangan Bani Thaqif.

Dari situ terserlah kebijaksanaan baginda yang memulakan usaha dakwah kepada pemimpin atasan kota itu terlebih dahulu dan tidak terus berdakwah kepada penduduknya.

Bagaimanapun, pelawaan Baginda SAW ditolak dengan cara sangat hina serta dihambur dengan kata-kata kesat.

Baginda berada di Taif selama 10 hari ditemani sahabatnya, Zaid bin Harithah.

Sejak hari pertama lagi, Baginda SAW diejek dan dihina sama seperti penduduk Makkah lakukan yang tidak mahu menerima dakwah baginda.

Sehinggalah pada hari ke-10, penduduk Taif berhimpun dan semuanya membaling batu dan kayu ke arah Nabi SAW dan Zaid sehingga darah mengalir di kedua-dua belah kaki mereka.

Biarpun dalam peristiwa itu, Allah SWT menghantar dua malaikat menjaga bukit dan gunung untuk melenyapkan seluruh penduduk Taif, Baginda SAW tetap bersabar dan tidak perlu berbuat demikian.

Bahkan, baginda berdoa kepada Allah SWT supaya generasi seterusnya yang lahir di bumi itu menjadi orang beriman dan tidak mensyirikkan Allah SWT.

Begitulah hebatnya keperibadian Rasulullah SAW apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan!

Kini, Taif menjadi salah satu daerah pertanian terpenting di Arab Saudi.

Kesuburan tanahnya menjadikan Taif begitu sesuai bagi tanaman sayuran dan buah-buahan selain turut memiliki ladang mawar yang menghasilkan minyak wangi menjadi antara lokasi persinggahan umat Islam setiap kali menunaikan umrah.

Pesara guru, Mustaffa Siraj, 57, menceritakan pengalamannya bersama keluarga berkunjung ke kota Taif yang terletak 80 kilometer dari Makkah itu ketika melaksanakan ibadat umrah awal tahun lalu.

Menurutnya, syarikat pengendali umrah yang mereka ikuti mengatur lawatan ke Taif dengan membawa 25 jemaah.

“Perjalanan dari kota Makkah ke Taif mengambil masa kira-kira dua jam. Ketika menghampiri Taif, jalannya berliku dan perlu melalui pergunungan al-Sharawat.

“Bandar tanah tinggi itu cukup terkenal dengan buah-buahan hawa sederhana, minyak wangi, Istana Shubra dan Masjid Abdullah Ibnu Umar.

“Taif juga dicatatkan dalam sirah Rasulullah SAW di mana baginda pergi berdakwah selepas pemergian isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

“Malangnya, kehadiran Rasulullah SAW tidak mendapat sambutan malah dilontar pula dengan batu,” katanya.

Mustaffa berkata, rombongan mereka sempat pergi ke beberapa lokasi sahaja dan tidak dapat menjelajah ke seluruh kota berkenaan berikutan masa terhad.

“Antaranya, Masjid Abdullah Ibnu Abbas. Abdullah Ibnu Abbas adalah seorang daripada sahabat Nabi SAW yang banyak meriwayatkan hadis selain Abdullah bin Umar, Abu Hurairah, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah, Said Al Khudri dan Siti Aisyah.

“Selain itu, kami turut berpeluang ke kilang minyak wangi Rashid Husain al-Qorashei. Di situ, kami diberi taklimat serta melihat minyak wangi daripada bunga ros dihasilkan.

“Selain minyak wangi, kilang itu turut menghasilkan air bunga ros, sabun, teh dan haruman lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:37 AM