GAMBAR Hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

ZAMAN mutakhir ini, boleh dikatakan sebagai zaman yang kebanyakan manusia lebih gemar mencipta persepsi berkenaan sesuatu perkara. 

Ada sahaja yang diandaikan, walhal ia belum pasti benar atau tidak. Itulah realiti yang berlaku terhadap kita sebagai pengguna laman sosial yang sentiasa dihujani pelbagai persepsi.Misalnya, apabila kita melihat ada pihak yang selama ini bermusuhan dan kini mahu berbaik dan bersatu hati, ada pula buruk sangka dilemparkan.Manusia begitu cepat sekali membuat andaian dan sangkaan yang bukan-bukan.Persoalannya, adakah sifat sebegitu ada dalam ajaran Islam? Mengapakah kita cepat melepaskan lisan untuk berkata-kata palsu dan lebih terarah kepada sangkaan buruk.Buruk sangka itu sebenarnya penzahiran daripada keadaan hati yang kotor dan penuh dengan karat dosa. Ia sekaligus menggambarkan si pelaku itu seorang pendengki atau manusia yang tidak senang melihat pihak atau orang lain beroleh kesejahteraan dan kedamaian. Keadaan hati yang sudah dihuni perasaan iri hati dan dengki itulah yang menggerakkan anggota lidah membuat pelbagai andaian buruk.Hakikatnya, sifat buruk sangka dan suka menaburkan persepsi negatif sangat ditegah Islam. Kita seharusnya lebih banyak meneliti sirah Nabi dan sahabat Baginda dalam mencari pedoman hidup supaya apa yang dilarang seperti amalan berburuk sangka itu tidak dilakukan.Contoh terbaik tentunya daripada Rasulullah SAW. Banyak kisah perjalanan Baginda SAW ketika hayatnya mempamerkan betapa luhur dan murninya hati Baginda SAW.Baginda SAW tidak sekadar berteori dalam menyampaikan ajaran Islam, sebaliknya menunjukkan teladan agar dicontohi umatnya.Misalnya, ketika Rasulullah SAW pergi ke perkampungan Taif untuk mencari tempat baharu yang lebih selesa dalam misi dakwah Islam, Baginda terpaksa berhadapan dengan suasana cukup kritikal. Masyarakat Taif bukan sekadar menghalau, malah sampai ke tahap mengejek dan membaling batu hingga Baginda SAW cedera.Bagaimanapun, Baginda SAW tidak cepat melontarkan rungutan dan membuat persepsi negatif terhadap sikap masyarakat Taif.Sebaliknya, Baginda memohon kepada Allah agar keturunan mereka akan menerima Islam. Hayatilah doa dan harapan Baginda SAW terhadap masyarakat Taif itu yang bermunajat kepada Allah dengan kata-kata: “Ya Allah ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu. Aku mengharapkan agar zuriat mereka kelak akan beriman dengan seruanku.”Lihatlah bagaimana positifnya minda Nabi Muhammad SAW yang tidak lekas melemparkan sangkaan buruk terhadap mereka yang masih enggan menerima dakwah. Hanya doa dan harapan dipohon kepada Allah. Kisah Baginda SAW ketika di Taif itu sepatutnya mampu mendidik hati kita supaya tenang menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Ia turut mengajar diri manusia supaya bersikap positif dan tidak berburuk sangka terhadap pihak yang lain.Apabila kita menyaksikan ada dua pihak saling menghulurkan tangan untuk kembali eratkan silaturahim, maka wajib kita meraikannya. Hati kita sepatutnya ‘berbunga’ dan berdoa semoga mereka yang berdamai itu akan kekal selama-lamanya dalam situasi yang diredai Allah SWT.Itu seharusnya kita lakukan dan bukannya mencipta andaian buruk yang boleh merenggangkan hubungan.Dalam Surah al-Hujurat, ayat 12, Allah SWT mengingatkan hamba-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu ialah dosa.”

>>Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 8:32 AM