GAMBAR hiasan
Suriany Awaludin

Adakah jatuh talak seandainya suami ingin mengambil hati seorang wanita dengan menyatakan, dia sudah menceraikan isterinya, padahal mereka masih sah sebagai pasangan suami isteri.

Lelaki itu juga kerap memujuk wanita berkenaan dengan menghantar mesej seperti: “Saya akan ceraikan dia (isterinya) untuk mendapatkan awak.”

Apabila mengetahui suami bertindak sedemikian, bolehkah isteri menuntut cerai secara fasakh kerana menganggap suami menzalimi serta menganiaya dirinya?

Tambahan pula, perbuatan suami berlaku ketika isteri sedang hamil menjadikan kehidupannya sangat tertekan.

Rin, Johor Bahru

Di bawah Seksyen 53 (h) peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri memberi hak untuk isteri membubarkan perkahwinannya secara fasakh dengan alasan:

(h) Bahawa suami menganiayanya iaitu antara lain (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya atau (ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak, atau (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu, atau (v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya, atau (vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum syarak.

Isteri yang ingin membubarkan perkahwinan secara fasakh perlu membuktikan alasan yang didakwa itu dengan pembuktian kukuh dan barulah perintah pembubaran diberikan oleh mahkamah.

Dakwaan isteri mengatakan suaminya pernah mengatakan kepada perempuan lain dia sudah menceraikan isterinya dan akan menceraikan isterinya adalah satu penganiayaan.

Tambahan pula isteri sedang hamil, ini menambah tekanan terhadap emosinya. Dakwaan itu boleh dikaitkan sebagai salah satu alasan penganiayaan yang diperuntukkan di dalam seksyen 53 (h) di atas.

Penganiayaan disebut sebagai dharar dalam Islam.

Al-Shatibi mendefinisikan dharar sebagai penganiayaan suami terhadap isteri dalam bentuk yang boleh mengancam nyawa, keturunan, harta benda dan akal isteri.

Oleh itu, penganiayaan yang berlaku terhadap isteri oleh suami dalam sebarang bentuk sama ada fizikal atau emosi adalah dharar.

Dalam konteks undang-undang, semua perbuatan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada rumah tangga terutamanya isteri sebagai mangsa akan membawa maksud dharar.

Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan dharar syarie ialah bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui hukum syarak.

Perbuatan suami memukul, mengabaikan nafkah atau tidak memberi nafkah langsung, melayan isteri dengan buruk, malah melacurkan isteri adalah antara contoh dharar syarie.

Isteri wajar diberi hak dan perlindungan. Dalam konteks undang-undang, penganiayaan dalam bentuk emosi atau mental termasuk menyakiti hati isteri atau suami sama ada perkataan atau perbuatan seperti menghina, mengeji atau menggunakan bahasa kesat boleh menyebabkan isteri atau suami sakit hati dan tersinggung.

Ternyata, penderaan emosi berbeza dengan penderaan fizikal. Kesan tekanan mental tidak dapat dilihat mata kasar.

Ia meninggalkan kesan terhadap emosi, perasaan dan hidup isteri. Selain penganiayaan, konflik dalam rumah tangga juga tidak lari daripada bisikan dan hasutan syaitan.

Jika tidak dapat bertahan lagi, boleh menuntut cerai. Jika alasan fasakh yang dinyatakan sukar dibuktikan, boleh dilakukan perceraian secara khuluk.

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 9:17 AM