BERSAMA jemaah di Bukit Uhud.
Oleh Mohd Fadly Samsudin


Apabila melihat raut wajah jemaah yang sudah berusia, tambahan pula itu kali pertama mereka menunaikan umrah, momen itulah menaikkan lagi semangat saya untuk memberikan khidmat terbaik supaya mereka dapat menyempurnakan ibadat dengan penuh penghayatan,” kata mutawif, Ustaz Mohd Imran Yusoff, 35.

Menurutnya, pengalaman sebagai mutawif selama empat tahun memberikannya peluang beberapa kali menyantuni jemaah menunaikan ‘haji kecil’ itu.

“Alhamdulillah, sepanjang siri umrah yang saya bimbing, semuanya berjalan lancar seperti dirancang.

“Saya masih ingat lagi, tahun lalu, seorang jemaah wanita yang uzur tidak mahu makan dan minum.

“Berdasarkan rekod kesihatannya, dia menghidap kencing manis dan pelupa menyebabkan saya perlu memberi perhatian lebih kepadanya.

“Dia antara 40 jemaah berasal dari utara tanah air yang diletakkan di bawah bimbingan saya ketika itu. Saya juga bertanggungjawab memantau pengambilan ubat-ubatannya mengikut jadual,” katanya.

Mohd Imran berkata, disebabkan dia tidak mahu makan, tubuh badannya semakin lemah sehingga terpaksa ditahan di wad.

“Ketika itu, kami semua baru tiba di kota Makkah selepas seminggu berada di Madinah. Selama dua hari saya berulang alik ke Hospital Ajyad di Makkah.

“Bagaimanapun, keadaannya masih sama, dia tetap tidak mahu makan dan minum, menolak ubat serta kerap merintih mahu meninggal dunia di Makkah.

“Saya tidak berputus asa dan terus memujuknya. Mengenangkan ibu bapa saya sudah tiada, jadi saya anggap wanita itu seperti ibu sendiri.

“Saya menumpahkan segala kudrat memberikan khidmat terbaik kepadanya. Segala kebaikan yang diperoleh saya harap dapat menjadi sebahagian jariah buat arwah ibu dan ayah,” katanya.


MOHD Imran bersama jemaah selepas selesai melakukan saie.

Beliau berkata, ketika memimpin jemaah di Makkah, Hijr Ismail dan Kaabah adalah tempat paling istimewa dan menjadi dambaan semua insan untuk beribadat di hadapannya.

“Ketika tawaf dilaksanakan, air mata mutawif dan jemaah pasti gugur apabila dapat bertahmid memuji Allah SWT.

“Di Madinah pula, peluang berada di Raudhah untuk berdoa dan beriktikaf di Masjid Nabawi paling istimewa. Betapa besarnya nikmat dapat menziarahi makam Rasulullah SAW serta menyampaikan salam kepada Baginda.

“Saya juga selalu berpesan kepada jemaah, jika mahu mendapat umrah yang mabrur, selalu merujuk mutawif dan tidak malu bertanya jika ada sebarang kemusykilan.

“Selain itu, saya turut mengingatkan jemaah beberapa perkara penting untuk dijaga. Antaranya, mengenai dam atau denda yang dikenakan kepada jemaah kerana meninggalkan perkara wajib atau melakukan perkara dilarang sama ada sengaja, tidak sengaja atau kerana tidak tahu.


MEMBANTU menolak kerusi roda jemaah wanita yang uzur.

“Mengikut pendapat ulama Mazhab Syafie, satu dam bersamaan seekor kambing dan hendaklah disedekahkan dagingnya atau berpuasa selama tiga hari atau memberi makanan kepada enam orang miskin dan setiap seorang diberikan sebanyak setengah gantang.

“Terdapat tiga bentuk hukuman mengikut tahap pelanggaran. Sekiranya melanggar larangan secara sengaja, tanpa keuzuran atau bukan di bawah paksaan, hukumnya berdosa dan jemaah diwajibkan membayar dam.

“Sekiranya melanggar larangan kerana terpaksa, hukumnya tidak berdosa dan jemaah wajib membayar dam.

“Manakala, sekiranya melanggar larangan kerana sebab jahil, uzur, lupa atau semasa tidur, maka hukumnya tidak berdosa dan tidak wajib membayar dam,” katanya.

Untuk berkongsi pengalaman menunaikan umrah, boleh e-mel ke

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 8:03 AM