GAMBAR hiasan
hmdigital

1. SEBAIK selesai melaksanakan solat fardu, seorang bangun dan terus mengerjakan solat dua rakaat lagi.

Bagaimanapun, dia syak sama ada berniat qabliyah atau ba’diyah.

Orang yang syak mengenai qabliyahnya atau ba’diyah disunatkan supaya mengulangi semula solat sunatnya dengan niat qabliyatan atau ba’diyatan kerana tidak memadai solatnya disebabkan syak pada ta’yin iaitu mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir.

2. Berapa rakaat paling minimum untuk melaksanakan solat sunat Awwabin?

Sekurang-kurangnya dua rakaat dan memadai dengan niat untuk mengerjakan solat sunat. Bagaimanapun, seelok-eloknya hendaklah disebut jenis solatnya.

3. Mengikut pendapat fuqaha, paling banyak bilangan rakaat bagi solat dhuha adalah 12 rakaat. Terdapat juga dalam kitab Syarah Raud yang menyatakan hanya empat rakaat sahaja.

Namun, ulama juga mengatakan yang afdalnya adalah lapan rakaat. Persoalannya, kenapakah tidak dikatakan yang lebih afdal itu ialah yang lebih banyak?

Kenapakah yang lebih sedikit itu pula yang afdal? Sama halnya dengan solat musafir, solat qasar hanya dua rakaat dianggap lebih afdal daripada tamam (sempurna) empat rakaat?

Mengikut pendapat yang muktamad, paling banyak bilangan rakaatnya ialah lapan rakaat dan itulah yang afdalnya.

Adapun pendapat yang mengatakan bilangan empat rakaat itu afdal, pendapat itu sebenarnya ditolak.

Demikian yang disebut oleh al-Imam Nawawi dalam kitab Minhaj.

Syeikh Ramli Kabir dan Ramli Saghir menyebut, hanya lapan sahaja dan itulah yang muktamad.

Sekiranya seseorang itu mengerjakan solat sunat dhuha 10 rakaat, maka lapan rakaat itu dikira sebagai solat sunat dhuha.

Dua rakaat lagi itu terbatal dan ditolak jika sengaja dilakukan.

4. Perlukah solat sunat Qudum iaitu kembali daripada musafir dikerjakan di dalam masjid dan tidak boleh dilakukan di tempat lain walaupun di rumah sendiri?

Adakah disyaratkan supaya dilakukan sebelum seseorang masuk ke dalam rumahnya? Jika tidak, maka adakah tidak terhasil solat sunat Qudum?

Berkata Syeikh yang empunya terjemahan, “Tidak aku lihat dalam mana-mana syarah kitab yang ditulis oleh kebanyakan ulama melainkan semua mereka berpendapat mengatakan hendaklah dilakukan solat dua rakaat di dalam masjid. Dua rakaat yang dimaksudkan itu selain daripada dua rakaat (yang dilakukan) selepas dia masuk ke dalam rumahnya.”

Ini jelas menunjukkan solat sunat Qudum hendaklah dilakukan di masjid dan hendaklah dilakukan setelah dia memasuki rumahnya terlebih dahulu.

Sumber: Kitab Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan disusun Almarhum Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:50 AM