MASJID Sultan Ahmet di Istanbul, Turki.
Oleh Mohd Khalid Mohd Pattali

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah pemimpinnya adalah sebaik-baik pasukan.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335)

Istanbul di Turki memiliki sejarah tamadun manusia yang amat panjang iaitu hampir 1,600 tahun bermula dengan kerajaan Bizantine sebelum Islam menakluk kota itu.

“Kota Istanbul merupakan sebuah tempat paling strategik dari segi ekonomi dan politik ketika itu kerana kedudukan Selat Bosphorus yang memisahkan Asia dan Eropah,” kata Mohd Khalid Mohd Pattali.

Mohd Khalid, 35, berkongsi kisah penghijrahannya ke Turki sebelum aktif meneruskan misi perniagaan, pengembaraan dan pelancongan dengan wartawan, Mohamad Fahd Rahmat.

“Saya berhijrah ke Turki pada Disember 2013 sehingga Disember 2017 sebelum kembali ke Malaysia selepas empat tahun bermastautin di sana.


RAKYAT Turki sangat menyayangi kucing sehingga membina tempat perlindungan di mana sahaja.

Sejak itu, saya berulang-alik ke Turki. Sebelum ini, saya bertugas di TV Al Hijrah dan terbabit dengan program bantuan kemanusiaan ke Syria.

Ketika itu, saya perlu ke Istanbul kerana untuk sampai ke sempadan Syria, kami perlu melalui kota berkenaan.

Sepanjang terbabit dengan dua misi ke Syria, saya berkenalan dengan beberapa rakyat Malaysia di Istanbul sebelum akhirnya terbabit dengan perniagaan dalam bidang pelancongan.

Peluang perniagaan di Turki sangat terbuka luas dan ia pula mengamalkan dasar terbuka dan memudahkan orang luar untuk menetap dan memulakan perniagaan.

Selepas Rasulullah SAW wafat, kerajaan Islam diteruskan melalui pemerintahan sahabat Baginda diikuti Bani Ummaiyah, Abbasiyah dan yang terakhir iaitu Uthmaniah.

Kerajaan Uthmaniah yang diterajui bangsa Turki bermula di Bursa.

Sehingga kini, jika kita ke Bursa, kita boleh menziarahi makam pengasasnya, Othman Ghazi.


AYA Sofea yang dahulunya adalah gereja dan masjid kini menjadi muzium yang dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Kota Konstantinopel ditakluk Sultan Al Fatih iaitu Khalifah Uthmaniah ke-7.

Penaklukan kota ini disebut oleh Rasulullah SAW ketika Perang Khandak yang mengatakan Kota Konstantinopel akan dibuka oleh pemimpin daripada sebaik-baik pemimpin dan tenteranya pula sebaik-baik tentera.

Di Istanbul juga, kita boleh menziarahi makam sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ayub Al Ansari.

Abu Ayub syahid ketika bersama-sama kerajaan Uthmaniah berperang untuk membebaskan Kota Konstantinopel ketika itu. Makam Abu Ayub boleh dikunjungi di Masjid Eyub Sultan.

Di Istanbul, ada banyak tempat menarik untuk dilawati. Banyak juga masjid yang tersergam indah, sekali gus membuktikan betapa indah dan hebatnya teknologi orang Islam pada waktu itu.

Istanbul juga memiliki Aya Sofea iaitu gereja yang telah bertukar fungsinya menjadi masjid dan kemudian menjadi muzium pada zaman pemerintahan Mustafa Kamal Ataturk.


MOHD Khalid kini mencari rezeki dalam bidang pelancongan di Istanbul, Turki.

Jika kita ke Sanliurfa pula, kita boleh lihat banyak tinggalan sejarah nabi-nabi seperti Nabi Ayub dan Nabi Ibrahim.

Ada juga peninggalan lain seperti tempat lahirnya ibu Nabi Isa, Siti Maryam dan dikatakan gua Ashabul Kahfi pun berada di sini Sanliurfa.

Dari segi budaya, orang Turki sangat patriotik dan mereka akan menggunakan bahasa sendiri walau di mana mereka berada.

Mereka tidak memandang tinggi budaya luar malah beranggapan budaya, bahasa, sukan malah muzik mereka lebih baik daripada orang lain.

Orang Turki kerap disalah erti sebagai orang Arab namun ia sebenarnya tidak benar.

Mereka bukan orang Arab, tetapi memiliki sedikit persamaan dari segi sifat dan makanan.

Namun orang Turki cukup sayangkan haiwan terutamanya anjing dan kucing walaupun bukan milik mereka.

Mereka akan menyediakan tempat tidur selain makanan untuk haiwan ini terutamanya ketika musim sejuk.

Sifat sayang mereka pada haiwan dibawa sampai ke liang lahad di mana kita boleh lihat di kawasan perkuburan orang Turki, ada lubang atau lopak yang dibuat untuk menakung air hujan.

Ia bagi memudahkan haiwan meminum air di takungan berkenaan.


PERKAMPUNGAN berusia 600 tahun di Cumalakizik, Bursa yang juga perkampungan terawal ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:14 AM