GAMBAR hiasan.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Orang berilmu sentiasa menjadi rujukan masyarakat. Apatah lagi apabila membabitkan ilmu agama.

Pengetahuan agama yang dimiliki seseorang menjadikan dirinya dipandang mulia. Sememangnya orang yang memiliki ilmu agama mendapat kedudukan yang istimewa.

Allah SWT menjelaskan hal itu menerusi firman-Nya bermaksud: “…Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Hakikatnya, setiap Muslim perlu mencari dan mendalami ilmu agama. Ia satu kewajipan kerana kefahaman mengenai agama mesti didasari ilmu.

Usaha menimba ilmu agama tidak boleh ditangguhkan hanya apabila umur mencapai tua. Sebaliknya, ketika usia mudalah ilmu perlu dicari sebanyaknya.

Hanya dengan ilmu, seseorang dapat memahami Islam dan melaksanakan tuntutan agama dengan baik.

Walau bagaimanapun, antara cabaran tatkala diiktiraf sebagai orang berilmu ialah apabila diajukan soalan kepadanya.

Jawapan kepada soalan itu pula berada di luar pengetahuannya. Janganlah sesekali merelakan diri bercakap sesuatu yang tidak diketahui dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Terdapat tanggapan bahawa imej seseorang ilmuwan akan tercalar kerana tidak dapat menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Persepsi seperti itu perlu diperbetulkan bukan sahaja dalam pemikiran masyarakat, tetapi dalam kalangan ilmuwan sendiri. Usah ada golongan ilmuwan agama yang sanggup mengatakan sesuatu yang tidak diketahuinya hanya kerana mahu kelihatan hebat di hadapan orang ramai.

Ilmu yang dimiliki manusia amat terbatas. Sehebat manapun ilmu seseorang, dirinya tetap memiliki kelemahan dalam beberapa perkara.

Tidak ada manusia yang sempurna keilmuannya di dunia ini.

Itulah perbezaan jelas antara Khaliq (Allah SWT) dan kita semua sebagai makhluk-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman, ayat 27)

Memahami hakikat itu, maka tidak sukar untuk diri yang diiktiraf sebagai orang berilmu lantas mengungkapkan kata-kata: “Maaf, saya tidak tahu” tatkala tidak dapat menjawab sesuatu persoalan.

Meskipun ungkapan itu amat berat bagi sesetengah orang, namun tindakan mengungkapkannya jauh lebih baik daripada memberi jawapan yang salah.

Mengakui diri mempunyai kekurangan pada saat orang lain memberi pengiktirafan dan sanjungan adalah perbuatan terpuji.

Ketika Rasulullah SAW diajukan soalan mengenai roh, perkara itu tidak dalam pengetahuan Baginda SAW, maka Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isra’, ayat 85)

Melakukan pembohongan terhadap ilmu agama adalah satu jenayah yang perlu dihindari  setiap umat Islam.

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:17 AM